Ahad, 26 Ogos 2018 | 1:31pm
PENGUNJUNG memilih pelbagai juadah di Z&Z Mak Anjang, Jerantut. - Foto Saddam Yusoff
PELBAGAI juadah di Z&Z Mak Anjang, Jerantut. - Foto Saddam Yusoff
Di hadapan kedai makan Z&Z Mak Anjang, Jerantut. - Foto Saddam Yusoff

Bahang asam rom kepala ikan menyelerakan

KEPADA mereka yang menggemari atau ‘hantu’ makanan pedas, anda boleh berkunjung ke pekan Jerantut, Pahang dan cuba nikmati menu tradisionalnya iaitu gulai asam rom kepala ikan kenerak.

Ketika menghirup kuahnya, pasti peluh membasahi kepala dan muka terutama bagi mereka yang kali pertama mencubanya. Begitu juga penulis, lencun kepala berpeluh.

Bagi pengunjung sekitar Jerantut, gerai Z & Z Mak Anjang, terletak di medan selera pekan berkenaan, gulai asam rom kepala ikan kenerak hasil air tangannya, paling sedap.

Sebenarnya, gulai asam rom atau rong adalah masakan tradisional berasaskan biji getah. Cuma ejaannya saja berbeza, kadang-kadang disebut rom, ada kalanya dipanggil rong.

Pemilik gerai Z & Z Mak Anjang iaitu Zaharah Sohar, 60, berkata, lazimnya apabila pelanggan menikmati gulai asam rom dan rasanya sangat pedas, mereka tidak akan berhenti, terus menghirup kuah berkenaan.

“Ada sesetengah pelanggan, mereka berpeluh satu badan, basah kuyup kepalanya kerana menahan pedas. Inilah yang dinamakan keunikan gulai asam rom asli Jerantut.

“Hanya ikan kenerak yang hidup liar di Sungai Pahang paling sedap apabila dimasak gulai asam rom. Boleh juga kita menggunakan ikan patin sebagai ganti, cuma rasanya kurang enak.

“Mengikut cerita orang lama, gulai asam rom dipelopori masyarakat yang mendiami kawasan Jerantut hingga ke Ulu Tembeling dan masakannya paling sedap.

“Sekiranya gulai asam rom dihasilkan di tempat lain, misalnya di Kuala Lumpur, bermakna sajian itu bukan asli dan rasanya pula kurang ‘kick’. Hanya gulai asam rom buatan anak tempatan Jerantut paling menyengat ”, kata Zaharah atau lebih popular dengan panggilan Mak Anjang dalam kalangan penduduk sekitar Jerantut.

Penulis sebenarnya tidak tahan dengan masakan terlalu pedas, tapi apabila berdepan gulai asam rom kepala ikan kenerak, sampai keluar air mata menahan pedas, tetapi seperti kata Mak Anjang, lagi pedas, semakin sedap kuahnya dihirup

Bagi menambah selera, apabila menikmati nasi putih bersama gulai asam rom, nikmati bersama ulam-ulaman dan yang paling popular ialah ulam keladat yang dicicah sambal tempoyak.

Info Gerai Z & Z Mak Anjang

  • Terletak di No 4, Kompleks Niaga Fasa 1, Jalan Bidai, Bandar Baru Jerantut, Jerantut, Pahang. (berdekatan Majlis Daerah Jerantut)

  • Beroperasi setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang

Berita Harian X