Rabu, 30 Mei 2018 | 12:30am
Faizal melayan pelanggan membeli nasi buluh untuk juadah berbuka puasa di gerainya terletak berhampiran Pasar raya AEON Big Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Faizal melayan pelanggan membeli nasi buluh untuk juadah berbuka puasa di gerainya terletak berhampiran Pasar raya AEON Big Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Nasi Pring juadah 'survival', jana rezeki Ramadan

SHAH ALAM: Pengalaman memasak makanan ikhtiar hidup menggunakan sumber alam ketika berkhemah di hutan, mencetus idea seorang pemuda untuk mencipta kelainan ketika berniaga di bazar Ramadan.

Nasi Pring atau lebih dikenali nasi buluh adalah hidangan yang dimasak dengan cara membungkus beras di dalam daun, sebelum ia dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar seperti lemang.

Faizal Rahman, 38, mengakui nama Nasi Pring dipilih sebagai sentuhan komersial kepada juadah survival itu memandangkan perkataan 'pring' bermaksud buluh dalam dialek Jawa atau Bugis.

"Hampir setiap bulan saya dan rakan ada aktiviti masuk hutan seperti di Grik, Perak dan Gombak untuk memancing, berkhemah dan mendaki yang mana kebiasaannya memakan masa antara dua tiga hari.

"Di hutan semua kita buat ala-ala survival termasuk memasak dengan menggunakan apa sahaja yang ada di hutan khususnya dalam buluh dengan juadah dibalut daun lerek yang menghasilkan bau harum," katanya ketika ditemui di gerai miliknya berhampiran Pasar raya AEON di Seksyen 23, di sini.

Faizal berkata, idea berniaga nasi buluh tercetus selepas rakan yang tidak berkesempatan menikmati keenakan juadah 'survival' itu, memintanya berbuat demikian walaupun bukan ketika menjalani aktiviti di hutan.

"Saya biasa memasak ala 'survival' untuk kumpulan mendaki dan memancing dalam hutan selama beberapa hari, selain melayan permintaan rakan yang tidak dapat turut serta dengan aktiviti itu yang meminta saya memasak nasi buluh di luar.

Hidangan Nasi Pring oleh Faizal Rahman yang mendapat sambutan orang ramai di gerainya terletak berhampiran Pasar raya AEON Big Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Hidangan Nasi Pring oleh Faizal Rahman yang mendapat sambutan orang ramai di gerainya terletak berhampiran Pasar raya AEON Big Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

"Daripada situ saya dapat idea untuk berniaga Nasi Pring di bulan Ramadan dan ini kali pertama saya mencuba untuk berniaga nasi dalam buluh," katanya.

Sebagai permulaan, katanya beliau menyediakan dua jenis lauk pilihan untuk dimakan bersama nasi buluh iaitu rendang ayam dan rendang daging yang dijual dengan harga RM8 setiap set.

"Nasi buluh boleh dimakan dengan apa sahaja lauk. Buat permulaan saya masak rendang ayam dan rendang daging, selain sambal belacan serta ulam seperti bendi, kacang botol, ulam raja serta ulam pegaga.

"Kalau sambutan menggalakkan, saya akan pelbagaikan menu dan setakat ini ada cadangan rendang kambing dan selepas itu mungkin ayam pansuh sebab menu itu memang sesuai dimasak dalam buluh," katanya.

 FAIZAL menunjukkan nasi buluh yang mendapat sambutan orang ramai. - Foto Faiz Anuar
FAIZAL menunjukkan nasi buluh yang mendapat sambutan orang ramai. - Foto Faiz Anuar

NASI Pring atau lebih dikenali nasi buluh . - Foto Faiz Anuar
NASI Pring atau lebih dikenali nasi buluh . - Foto Faiz Anuar

Ubah suai cara masak

Untuk memenuhi permintaan, Faizal berkata kaedah memasak juga disesuaikan dengan lokasi, selain berusaha mendapatkan bekalan bahan mentah mencukupi terutamanya buluh, daun lerek atau daun bemban.

"Kalau masak nasi buluh secara tradisional kena bakar macam bakar lemang yang biasa kita lihat di mana-mana. Jadi saya ubah suai cara memasak dengan menggunakan tong besi dan api gas, yang mana pembakarannya lebih sempurna.

"Melalui kaedah ini ia hanya mengambil masa kira-kira 40 minit. Kalau bakar guna api, tidak praktikal memandangkan kita tinggal di bandar dan saya tidak mahu mengganggu jiran dengan asap yang banyak di kawasan perumahan tempat saya tinggal," katanya.

Beliau berkata, proses memasak nasi buluh sebenarnya mudah kerana mengguna pakai konsep asas memasak lemang.

HASIL cetusan idea Nasi Buluh oleh Faizal Rahman yang mendapat sambutan orang ramai membeli juadah berbuka puasa di gerainya terletak berhampiran Pasar raya AEON Big Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
HASIL cetusan idea Nasi Buluh oleh Faizal Rahman yang mendapat sambutan orang ramai membeli juadah berbuka puasa di gerainya terletak berhampiran Pasar raya AEON Big Seksyen 23, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

"Beras dibasuh seperti biasa dan dikeringkan. Masukkan anggaran segenggam setengah beras ke dalam daun lerek yang sudah dibasuh, kemudian lipat, bungkus dan masukkan ke dalam buluh. Sehelai daun memang untuk satu bahagian.

"Air kemudian dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar. Satu ruas buluh boleh memuatkan tiga hingga empat bungkus nasi," katanya.

Mengenai sambutan, katanya hari pertama berniaga lebih 20 bungkus terjual walaupun sasaran asal ditetapkan 50 bungkus sehari, tetapi jumlahnya semakin meningkat sehingga kini mencecah 50 bungkus sehari.

Faizal berkata, beliau merancang untuk mengembangkan perniagaan nasi buluh selepas Aidilfitri dan kini sedang mencari tapak bersesuaian untuk tujuan itu.

Berita Harian X