Rabu, 2 November 2022 | 11:25am

Merangkak, menggelonsor di gua batu granit terpanjang di Malaysia

JIKA gemar bermain air dan tidak kisah basah kuyup serta cabaran lasak sungai, Gua Batu Maloi di Johol, Kuala Pilah menanti kehadiran pengunjung terutama pencinta aktiviti meneroka gua atau 'caving'.

Gua Batu Maloi sepanjang 2.4 Kilometer di dalamnya dipercayai gua batu granit terpanjang di Malaysia berada di penghujung Banjaran Titiwangsa dan terletak di antara Gunung Datuk dan Gunung Tampin, Negeri Sembilan.

Ia terbentuk daripada tindihan batu besar yang tergolek jatuh dari gunung-ganang berdekatan dan antara tindihan batu-batu itu terbentuk satu laluan gua yang boleh dilalui manusia.

Gua Batu Maloi dipercayai diambil daripada nama Orang Asli yang bernama Maloi diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Jurupandu, Mohamad Zarin Sulaiman, 46, berkata keunikan bentuk muka buminya berbukit dan berbatu-batan terbentuk hasil daripada lipatan gunung kerana terletak di bahagian penghujung Banjaran Titiwangsa.

"Terdapat sebatang sungai mengalir di celahan Gua Batu Maloi yang dikenali sebagai Sungai Johol dan kawasan ini sesuai tempat aktiviti berkelah, mandi-manda dan beristirahat.

Rintangan sangat luar biasa dengna 12 checkpoint sepanjang ke gua batu granit terpanjang di Malaysia. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Rintangan sangat luar biasa dengna 12 checkpoint sepanjang ke gua batu granit terpanjang di Malaysia. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

"Gabungan ekosistem sungai dan gua ini menjadi tarikan kepada pelancong yang gemarkan aktiviti lasak dan penerokaan gua dan pengunjung menjanjikan pengalaman mencabar ketika meneroka yang mengambil masa sehingga enam jam bagi menamatkan cabaran Gua Batu Maloi," katanya.

Perlu stamina teroka gua

Ada 24 checkpoint di dalam gua itu dan bagi kali pertama atau tiada stamina melakukan aktiviti penerokaan gua cabaran yang esktrem.

Ada beberapa laluan di gua memerlukan peserta menyelam di celah batu sebelum menuju ke laluan dan yakin ketika berada di dalam air.

"Jangan risau, pengunjung akan dipantau jurupandu yang berpengalaman dan tidak akan membiarkan peserta bersendirian melakukan aktiviti mencabar.

"Sekiranya pengunjung tidak mampu melepasi halangan sukar masih terdapat laluan alternatif untuk meneruskan perjalanan," katanya Mohamad Zarin.

Perjalanan peserta sentiasa bermain air dan basah kuyup. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Perjalanan peserta sentiasa bermain air dan basah kuyup. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Beliau yang berpengalaman 12 tahun sebagai jurupandu, berkata cabaran menanti sebaik memasuki gua berbatu ini disebabkan keadaan di dalamnya berbeza, ada kawasan penuh dengan air sehingga perlu menyelam, melompat antara batu, merangkak, meniarap, menggelongsor, berenang, memanjat yang kesemuanya dilakukan di dalam air dan di celah-celah batu.

Namun, semua aktiviti itu akan diputuskan oleh jurupandu selepas melihat tahap stamina peserta, selain keadaan semasa di dalam gua terutama ketika musim hujan.

Disebabkan ia menjadi laluan sungai, tidak hairan sepanjang perjalanan peserta sentiasa bermain air dan basah kuyup.

Perlu kekuatan mental dan fizikal

Peserta, Siti Nur Hamida Tun Bahar Sham, 39, teruja kali pertama menyertai cabaran meneroka Gua Batu Maloi.

Beliau tidak kisah menelusuri air sungai yang deras dan dalam disebabkan sentiasa dipantau jurupandu, selain menggunakan peralatan keselamatan seperti tali.

Cabaran menanti sebelum dan selepas memasuki gua berbatu disebabkan keadaan di dalamnya berbeza. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Cabaran menanti sebelum dan selepas memasuki gua berbatu disebabkan keadaan di dalamnya berbeza. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

"Air deras daripada pembentukan batu menyebabkan saya perlu lebih berhati-hati. Sebelum masuk ke gua jurupandu akan memaklumkan boleh atau tidak melakukan aktiviti penerokaan ini.

"Dari checkpoint satu hingga 12, cabaran sangat luar biasa kerana perlu menempuh arus deras, melalui batu batuan yang banyak, menyelam, mengiring, merangkak namun dengan teknik yang betul seperti diajar halangan itu dapat ditempuhi," katanya.

Bagi Siti Nur Hamida Tun, hanya menarik nafas lega selepas checkpoint 12 kerana untuk ke checkpoint 24, hanya perlu meredah arus dan melalui kawasan berbatu dengan memaut pada tali ketika merentasi kawasan arus deras dan dalam.

Katanya di dalam gua, terdapat lokasi menarik seperti Gua Kelawar, Gua Kapal Layar, Gua Batu Buddha dan air terjun mini selain tempat berehat.

Peserta perlu merangkak, melompat, memanjat dan berenang ketika meneroka Gua Batu Maloi, Kuala Pilah. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Peserta perlu merangkak, melompat, memanjat dan berenang ketika meneroka Gua Batu Maloi, Kuala Pilah. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Meneroka Gua Batu Maloi sangat mencabar dan tidak sesuai bagi mereka yang takut air, selain perlu kekuatan mental dan fizikal bagi menangani arus deras.

Justeru, bagi yang gemar aktiviti lasak, melalui batuan yang membentuk tebing tinggi, curam, lorong yang gelap dan berliku-liku serta mengelirukan, Gua Batu Maloi bersedia menanti cabaran anda.

Merempuh pelbagai cabaran menerokai Gua Batu Maloi. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Merempuh pelbagai cabaran menerokai Gua Batu Maloi. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Berita Harian X