Khamis, 27 Oktober 2022 | 9:13am
Replika sarang burung ala Bali tarikan utama di Kampung Agong. - Foto/Nur Izzati
Replika sarang burung ala Bali tarikan utama di Kampung Agong. - Foto/Nur Izzati
Replika seni bina unik seakan-akan berada di Bali. - Foto/Nur Izzati
Replika seni bina unik seakan-akan berada di Bali. - Foto/Nur Izzati
Percutian bersama keluarga memberi penuh makna dengan aktiviti mengimbas suasana di desa. - Foto/Nur Izzati
Percutian bersama keluarga memberi penuh makna dengan aktiviti mengimbas suasana di desa. - Foto/Nur Izzati
Pengunjung mengambil peluang menjelajah seluruh lokasi di Kampung Agong bagi melihat pelbagai tarikan di sini. - Foto/Nur Izzati
Pengunjung mengambil peluang menjelajah seluruh lokasi di Kampung Agong bagi melihat pelbagai tarikan di sini. - Foto/Nur Izzati

Sarang burung ala 'Bali' tarikan Kampung Agong

Memasuki perkarangan Kampung Agong memberikan aura berbeza apabila panorama indah, persekitarannya menghijau, replika seni bina unik seakan-akan berada di pusat percutian di luar negara.

Lokasi terletak di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkonsepkan perkampungan tradisional membuatkan ramai terkenangkan suasana di desa.

Pemandangan tambah menarik apabila ada kebun kelapa dan sawah padi, selain di dalam kawasan ini dihiasi dengan struktur tradisional Melayu desa dan disediakan pelbagai aktiviti kebudayaan.

Pasti ramai teruja dengan menerokai kawasan itu yang dibahagikan kepada tiga bahagian taman dengan tarikan berbeza.

Paling menarik ada pelbagai replika seni bina sarang burung bercirikan ala 'Bali' yang dibangunkan di kawasan sawah padi. Jadi apabila ke sini, terasa seakan berada di Bali.

Berlatar belakangkan panorama sawah padi membuatkan ramai teruja berswafoto - Foto/Nur Izzati
Berlatar belakangkan panorama sawah padi membuatkan ramai teruja berswafoto - Foto/Nur Izzati

Di satu bahagian ada pula rumah tradisional dan inap desa yang didirikan di kawasan berkeluasan 6.07 hektar.

Persekitarannya dilengkapi dengan pelantar, kafe, ruang wakaf beristirahat, buaian gantung, surau dan tram kampung menjadikan kawasan ini satu tarikan pelancong apabila tidak henti-henti dikunjungi pengunjung.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung bagi menikmati suasana kampung antaranya berbasikal, menunggang kuda, selain merasai suasana bermalam di empat inap desa di situ.

Inap desa ini sentiasa mendapat sambutan menggalakkan sehingga mereka perlu membuat tempahan awal untuk menginap di sini.

Terpukau dengan panorama indah

Berbanding sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lokasi ini sunyi sepi tiada kunjungan pelancong, namun selepas fasa endemik sambutannya begitu luar biasa.

Pelbagai aktiviti dan tarikan yang boleh dinikmati pengunjung sepanjang berada di Kampung Agong. Foto/ Nur Izzati
Pelbagai aktiviti dan tarikan yang boleh dinikmati pengunjung sepanjang berada di Kampung Agong. Foto/ Nur Izzati

Diakui, secara tiba-tiba Kampung Agong mendapat kunjungan luar biasa daripada pelbagai pelosok negeri dan luar negara yang terpukau dengan panaroma di sini.

Pada awal pembukaan Kampung Agong dari segi kunjungan agak perlahan memandangkan masih baharu dan kurang seni bina yang menarik ketika itu.

"Selepas pembangunan secara berperingkat dengan mewujudkan pelbagai 'spot' menarik seperti sarang burung ala Bali dan banyak tarikan lain-lain untuk bergambar.

"Sekurang-kurangnya pengunjung mengambil masa dua jam dan ke atas bagi membuat jelajah di seluruh kawasan ini.

"Pelbagai aktiviti menarik juga membuatkan pengunjung puas di sini," katanya Pegawai Pemasaran Kampung Agong, Mohamad Ikram Izzat Roslan.

Tak jemu teroka Kampung Agong

Malah, ramai pengunjung yang memuatnaik gambar dalam laman sosial memberi impak yang positif terhadap tempat ini.

"Melalui tinjauan yang kita lakukan ramai pengunjung yang datang ke sini, selepas melihat gambar menarik yang dimuatnaik dalam Facebook dan Instagram masing-masing.

"Rata-rata mereka sukakan pelbagai replika bercirikan sarang burung ala Bali yang ada di sini dengan suasana kampung yang amat menenangkan," katanya.

Justeru, pihaknya kini dalam proses untuk menambahbaik kemudahan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengunjung tidak jemu dan dengan aktiviti disediakan.

Untuk kelainan turut disediakan tapak perkhemahan dengan jumlah sehingga 25 orang untuk satu masa bagi satu kumpulan dan mereka bebas bergerak di sini

Jadi tumpuan percutian keluarga

Pengunjung Abdul Halim Hamzah, 31, tertarik dengan foto tular di media sosial memaparkan keindahan di Kampung Agong membuatkannya teruja ke sini

"Saya ingat foto tempat yang tular itu di Indonesia, tetapi selepas membaca keterangan gambar memaklumkan lokasinya di Pulau Pinang saya terus mencari maklumat lanjut.

"Kemudian saya ambil kesempatan membawa keluarga bercuti ke sini dengan menaiki ETS dari Kajang, Selangor.

"Setibanya di sini saya terpukau dengan pemandangan sangat indah dan sarang-sarang burung yang ada juga amat menarik. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar," katanya.

Bagi Shahidatul Izwa Azman Shah, 42, pula turut mengakui tempat ini sangat cantik, semua spot gambar dan ada kemudahan lain disediakan memberi keselesaan kepada pengunjung terutama yang datang dari jauh.

"Cuma kita berharap pihak pengurusan dapat menambah bilangan parkir kenderaan memandangkan lokasi ini menjadi tumpuan ramai terutama pada musim cuti sekolah," katanya berasal dari Manjung, Perak.

Berita Harian X