Sabtu, 15 Oktober 2022 | 1:45pm

Redah arus deras, berakit di Sungai Pergau

Berakit menyusuri Sungai Pergau bermula dari Kampung Dendong, mukim Batu Melintang, Jeli, sambil menikmati keindahan hutan dan perkampungan di kiri kanan laluan memberikan ketenangan luar biasa.

Rakit yang memuatkan antara tiga hingga empat individu tidak perlu didayung sepanjang masa, sebaliknya hanya bertenang mengikut arus yang datang dari Empangan Pergau, namun ada kalanya adrenalin berdetak laju jika arus itu menempuh kesukaran.

Walaupun jarak berakit hanya sejauh 2.3 kilometer (km) sehingga ke Gunung Reng, yang terletak di Kelantan ini, tapi jangka masa mencecah satu jam 30 minit dirasakan sekejap kerana selain dihidang dengan panorama indah, orang ramai akan diberikan penerangan jelas mengenai sejarah dan asal usul mukim Batu Melintang.

Perlu kendalikan rakit dengan baik elak terbalik berikutan arus deras. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Perlu kendalikan rakit dengan baik elak terbalik berikutan arus deras. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Buktinya masih terdapat hingga sekarang iaitu kewujudan batu besar yang berkeadaan melintang di tengah Sungai Pergau memerlukan pendayung berhati-hati mengelak jika enggan berlaku kecelakaan.

Keunikan Batu Melintang

Menurut Pengerusi Pertubuhan Cinta Pergau, Abdul Shahrul Mohd Noor, 33, Batu Melintang dibuka oleh Awang Hitam iaitu anak kepada pembesar di Pasir Salak, Datuk Megat Awang Hitam.

"Selepas peristiwa pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak suatu ketika dulu, Datuk Megat Awang Hitam dan pengikutnya melarikan diri ke Kelantan menerusi sungai dan ternampak batu yang melintangi sungai.

Berakit di Sungai Pergau antara aktiviti digemari pengunjung di sini. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Berakit di Sungai Pergau antara aktiviti digemari pengunjung di sini. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

"Beliau kemudiannya meneruskan perjalanan hingga ke Kuala Balah dan mewasiatkan anaknya, Awang Hitam agar mencari semula batu melintang itu dan membuka perkampungan yang dinamakan Batu Melintang malah turut menjadi penggawa pertama di sini," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Abdul Shahrul berkata, tarikan di Batu Melintang tidak hanya bukti asal usulnya tapi juga formasi Gunung Reng itu sendiri yang tersergam megah dan jelas dilihat jika menyusuri Sungai Pergau.

Begitu juga dengan kewujudan satu lagi monunen sejarah iaitu Jambatan Bailey yang merintangi sungai menghubungkan perkampungan di bahagian Lebuhraya Timur Barat dengan mukim Batu Melintang, lensa kamera pasti tidak berhenti merakam panorama sungai dari atas jambatan.

Kata Abdul Shahrul lagi, kira-kira 20 penunjuk arah yang sentiasa bersedia mengiringi sama ada untuk aktiviti berakit, menaiki bot atau 'tubing' orang ramai tidak perlu bimbang akan keselamatan.

"Pembukaan lokasi ekopelancongan ini sebenarnya memberi manfaat kepada penduduk kampung sendiri kerana selain membuka peluang pekerjaan sebagai pemandu arah dan pembuat rakit, kedai makan sekitar juga menerima kedatangan pengunjung yang ramai," katanya.

Imbau zaman kehidupan di kampung

Pengalaman menyusuri Sungai Pergau tidak dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Ali Bjiu yang mencuba aktiviti 'tubing' serta berakit sempena Program Eksplorasi Ekopelancongan Sumber Asli KeTS di negeri ini, baru-baru ini amat mengujakan.

Selain berakit, tubing antara disediakan
Selain berakit, tubing antara disediakan

Menyifatkan situasi itu mengingatkannya dengan zaman kecilnya di kampung halaman di Saratok, Sarawak, beliau tangkas mengemudi rakit yang dinaikinya bersama dua peserta sejauh kira-kira 1.5 km.

"Saya tidak sangka di Jeli ada banyak tarikan ekopelancongan yang sangat berpotensi untuk dibangunkan contohnya aktiviti berakit di Sungai Pergau ini yang ternyata mengingatkan saya ketika zaman kecil di Saratok, Sarawak.

"Khazanah ini perlu dikekalkan dan kawasan persekitaran harus dimajukan bagi memperkenalkan lagi daerah Jeli kepada orang ramai khususnya pelancong asing," katanya.

Program eksplorasi ekopelancongan itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi di negeri ini termasuk Jabatan Perhutanan negeri, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Sebelum menyusuri Sungai Pergau, semua 50 peserta sudah pun lencun berjalan kaki sejauh 1.7 km melawat kawasan penyelidikan FRIM, Jeli sambil melihat sendiri pelbagai tanaman di kawasan itu sebelum melepaskan penat di Lata Mawar.

Pengalaman mendebarkan berakit di Sungai Pergau

Bagi seorang pegawai KeTSA, Muhammad Ezzriq Zainul Ariffin, pengalaman berakit di Sungai Pergau adalah kali pertama dan tidak pernah membayangkan Jeli ada lokasi sangat menarik.

"Memang agak mendebarkan terutama jika melalui arus yang agak laju dan berdepan halangan batuan yang menyebabkan rakit gagal dikemudi dengan baik malah saya berdepan dengan dua kali pengalaman terjatuh dari rakit.

"Walaupun insiden itu agak mencemaskan tapi dengan pemantauan pemandu arah dan memakai jaket keselamatan dan paras air sungai juga tidak terlalu dalam," katanya.

Pemandangan indah melalu hutan dan perkampungan memberikan ketenangan luar biasa. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar.
Pemandangan indah melalu hutan dan perkampungan memberikan ketenangan luar biasa. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar.

Rakit memuatkan antara tiga hingga empat orang tidak perlu didayung sepanjang masa kerana arus keras di Sungai Pergau.- Foto/ Nik Abdullah Nik Omar
Rakit memuatkan antara tiga hingga empat orang tidak perlu didayung sepanjang masa kerana arus keras di Sungai Pergau.- Foto/ Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X