Sabtu, 1 Oktober 2022 | 12:22pm
Pengalaman berharga tidak pernah dirasai penduduk di bandar yang mengingatkan kembali budaya dan sejarah lama. - Foto/Amirudin Sahib
Pengalaman berharga tidak pernah dirasai penduduk di bandar yang mengingatkan kembali budaya dan sejarah lama. - Foto/Amirudin Sahib
rogram Denai Malam menjadi 'signature' Muzium Negara dianjurkan sejak 2017. - Foto/Amirudin Sahib
rogram Denai Malam menjadi 'signature' Muzium Negara dianjurkan sejak 2017. - Foto/Amirudin Sahib
Antara deretan khemah disediakan untuk peserta mengalami pengalaman bermalam di Muzium Negara. - Foto/ Amirudin Sahib
Antara deretan khemah disediakan untuk peserta mengalami pengalaman bermalam di Muzium Negara. - Foto/ Amirudin Sahib

'Glamping' di Muzium Negara

Buat julung kalinya, Muzium Negara tampil dengan kelainan baharu iaitu program 'glamping' di perkarangan Muzium Negara bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai suasana malam di sekitar muzium.

Program yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana muzium sebelum ini juga bertujuan untuk mendekatkan lagi pengunjung dengan muzium, selain mengubah persepsi orang ramai bahawa muzium lokasi yang membosankan.

Pengarah Muzium Negara, Jabatan Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria, berkata sebelum ini pihak muzium ada menganjurkan bermalam sambil melawat di dalam muzium, tetapi kali ini 'glamping' menjadi pilihan kerana ia turut membabitkan peserta terdiri daripada sebuah keluarga.

Katanya, sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik COVID-19, semua aktiviti membabitkan muzium tergendala dan hasil maklum balas orang ramai, mereka menantikan setiap program akan dianjurkan oleh muzium.

Denai Malam @ Muzium Negara Alami Detik Malam Yang Menakjubkan sedia pelbagai program menarik. - Foto/Amirudin Sahib
Denai Malam @ Muzium Negara Alami Detik Malam Yang Menakjubkan sedia pelbagai program menarik. - Foto/Amirudin Sahib

"Justeru, terhasillah program "Glamping @ Muzium Negara" sempena Denai Malam @ Muzium Negara Alami Detik Malam Yang Menakjubkan dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang dua hari program ini dilaksanakan.

"Aktiviti disediakan suatu pengalaman berharga yang pastinya tidak pernah dirasai penduduk di bandar ini kerana ia mengingatkan kembali budaya dan sejarah lama tidak lagi diamalkan sekarang," katanya.

Kelainan ditawarkan dalam program 'glamping' ini ialah peserta dapat merasai kembali persembahan wayang kulit dan dikir barat dibawa khas dengan kerjasama Muzium Negeri Kelantan.

"Malah, ada aktiviti membabitkan budaya Orang Asli iaitu cara menghasilkan hiasan di kepala dan membuat bunga rampai, program bersanding boleh dirasai sendiri peserta dan pertandingan menghasilkan kuih jala.

"Ini penambahan kepada kelainan dilakukan muzium berbanding sebelum ini hanya melakukan lawatan di dalam galeri dan saya yakin pengalaman ini tiada di tempat lain.

"Jadi seni warisan dan khazanah sangat bernilai dan dapat dirasai peserta dan dapat memartabatkan kebudayaan," katanya.

Pelbagai program diadakan

Program Denai Malam menjadi 'signature' Muzium Negara dianjurkan sejak 2017, juga untuk memastikan masyarakat mempunyai sifat kepunyaan, iaitu dengan menganggap muzium menyimpan artifak dipamerkan milik bersama bukan pameran saja.

"Muzium ini kepunyaan setiap masyarakat dan banyak program dilaksanakan untuk menggalakkan mereka berkunjung bagi mengenal sejarah dan aktiviti biasa dilakukan.

"Kali ini jadi 'glamping' sebagai permulaan dan tunggu maklum balas," katanya.

Selepas mungkin dicadangkan membawa program 'glamping' di tapak tanah bersejarah ke muzium wilayah seperti di Muzium Kota Kayang, Muzium Kota Kuala Kedah atau Muzium Sungai Lembing yang ada panorama lebih menarik.

"Mungkin beriadah sambil mengenal sejarah dan tekankan aspek kekeluargaan, aktiviti mengembalikan nostalgia masak cucur dan sebagainya.

"Bagi yang ingin mengetahui lanjut aktiviti selepas ini, mereka boleh berkunjung ke laman sosial di Jabatan Muzium Malaysia atau Muzium Negara Rasmi," katanya.

Pengalaman berharga, unik

Peserta, Hartika Harun, 52, berkata ini kali pertama membawa dua anaknya bermalam di muzium dan beri pengalaman berharga untuk anak-anaknya.

"Anak teruja menyaksikan dikir barat dan wayang kulit kerana mereka belum pernah melihat pertunjukan itu, sukakan pengalaman 'glamping' di muzium.

"Ini pendedahan berharga dan dapat memupuk semangat kerjasama, melihat seni budaya dalam galeri dan sebagainya.

"Saya harap program ini dapat diteruskan dan semoga orang ramai dari luar Kuala Lumpur dapat menyertai program ini juga," katanya yang membawa dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun.

Sean Ong, 42, berkata ini kali pertama beliau membawa keluarganya untuk 'glamping' di dalam muzium berbanding kebiasaan orang memilih aktiviti di kawasan semula jadi.

"Saya membawa dua anak perempuan berusia enam dan 10 tahun untuk mereka bergaul dengan anak dari bangsa lain, selain menyertai aktiviti dianjurkan.

"Anak saya juga tertarik dengan aktiviti wayang kulit dan membuat kuih tradisional serta boleh berkunjung ke galeri pada waktu malam," katanya.

Berita Harian X