Isnin, 19 September 2022 | 11:08am
Bermalam di Backyard Glamping di kelilingi kebun sayur memberikan pengalaman berbeza. - Foto IG Backyard Glamping
Bermalam di Backyard Glamping di kelilingi kebun sayur memberikan pengalaman berbeza. - Foto IG Backyard Glamping
Suasana malam lebih indah dengan sinaran cahaya lampu menyinari kawasan perkhemahan. - Foto IG Backyard Glamping
Suasana malam lebih indah dengan sinaran cahaya lampu menyinari kawasan perkhemahan. - Foto IG Backyard Glamping

'Glamping' dalam kebun sayur

TREND percutian secara perkhemahan semakin popular termasuk dalam kalangan pencinta alam.

Mana tidaknya, suasana tenang, damai dan menyegarkan dek kehijauan alam semula jadi flora dan fauna, selain siulan unggas, sesekali aliran deras air sungai membuatkan ramai teruja lena dibuai mimpi.

Malah, kini tidak perlu lagi menyewa khemah, sebaliknya dengan adanya konsep 'glamping' iaitu gabungan glam (glamour) dan 'camping' (berkhemah) membuatkan aktiviti percutian menjadi tambah menyeronokkan serta unik.

Tambah mengujakan jika berkhemah dalam kebun sayur dengan konsep 'glamor camping' pasti lain memberikan suasana berbeza.

Apa tidaknya, glamping biasanya dikaitkan dengan perkhemahan ala mewah dan selesa, sedangkan kebun sayur sering kali dilihat sebagai tempat agak kotor serta busuk dengan bau baja terutama najis ayam yang menusuk hidung.

Namun, bukan itu pengalaman yang dialami sepanjang bermalam di Backyard Glamping, sebuah tapak perkhemahan berusia tiga tahun di Taman Sedia di Tanah Rata, Cameron Highlands.

Pelbagai aktiviti berkhemah dalam kebun sayur dalam suasana tenang. - Foto Adha Ghazali
Pelbagai aktiviti berkhemah dalam kebun sayur dalam suasana tenang. - Foto Adha Ghazali

Aktiviti ‘outdoor’ melakukan masakan secara DIY turut memberi pengalaman menarik. - Foto IG Backyard Glamping
Aktiviti ‘outdoor’ melakukan masakan secara DIY turut memberi pengalaman menarik. - Foto IG Backyard Glamping

Meskipun dikelilingi kebun sayur seluas kira-kira 0.2 hektar, udara sekitar kawasan itu tetap segar. Tiada sedikitpun bau baja mengganggu, malah kawasan sekitar tapak khemah juga sentiasa bersih dan selesa.

Tak payah susah angkut khemah

Pemiliknya, Elmi Fazuin Ramli, mengakui kebun sayur diusahakan keluarganya itu hanya menggunakan baja organik. Lantas, tidak akan ada bau kurang menyenangkan seperti najis ayam dan sebagainya sehingga boleh mengganggu keselesaan pengunjung.

Beroperasi sejak 2020, lokasi nyaman dan damai itu menyediakan 10 khemah pelbagai saiz di dua tapak iaitu 'uphill' dan 'downhill' yang semuanya ditempatkan di sekitar kawasan kebun sayur.

Perjalanan menyusuri laluan menuju ke bukit mungkin ditemani ‘Koki’, iaitu kucing yang mesra pengunjung. - Foto/Adha Ghazali
Perjalanan menyusuri laluan menuju ke bukit mungkin ditemani ‘Koki’, iaitu kucing yang mesra pengunjung. - Foto/Adha Ghazali

Sesuai dengan konsep glamping atau 'glamour camping' pengunjung tak perlu bersusah payah mengangkut khemah sendiri serta segala kelengkapan lain, sebaliknya pilih sahaja khemah yang disediakan bersesuaian mengikut cita rasa masing-masing, sama ada bercuti sendiri, berdua, mahu pun datang bersama keluarga.

Dari segi bajet, usah risau kerana harganya jauh lebih rendah berbanding kemudahan glamping disediakan di mana-mana tempat lain. Cuma syaratnya, anda perlu bersedia untuk sedikit mendaki di laluan kira-kira 30 meter yang disediakan kerana tapak glamping di sini, duduknya sedikit tinggi di atas bukit.

Banyak 'spot' kaki lensa

Jika bernasib baik, perjalanan anda menyusuri laluan atas bukit mungkin ditemani 'Koki' - seekor daripada tiga kucing milik pemilik tapak khemah yang cukup mesra dengan pengunjung.

Penulis merakam kenangan di Backyard Glamping, Cameron Highlands. - Foto/Adha Ghazali
Penulis merakam kenangan di Backyard Glamping, Cameron Highlands. - Foto/Adha Ghazali

Manfaatkan peluang bersantai di ruang piknik sambil bersembang dengan rakan atau keluarga. - Foto Adha Ghazali
Manfaatkan peluang bersantai di ruang piknik sambil bersembang dengan rakan atau keluarga. - Foto Adha Ghazali

Walaupun sedikit mencabar, secara peribadi ia pengalaman cukup menarik terutama bagi yang gemarkan suasana alam semula jadi. Malah, ia ibarat satu kepuasan apabila berjaya sampai ke puncak sebaik melihat khemah tersergam menanti, dengan suasana tenang dan dingin.

Bagi yang gemar bergambar, anda tak akan kecewa kerana banyak 'spot' sedia menunggu untuk santapan lensa kamera. Pendek kata, anda pasti sibuk memuat naik foto di akaun media sosial mengenai memori yang dirakam sepanjang di lokasi terbabit.

Di sebelah malam pula, suasana kawasan tanah tinggi dengan suhu sejuk sambil ditiup angin dingin cukup menyamankan. Ditemani kopi panas sambil sesekali disapa bunyi reriang dan burung hantu yang menyahut, semestinya paling ideal untuk mencari ketenangan selepas sibuk dengan hiruk-pikuk harian yang memenatkan.

Cipta kenangan indah

Bercerita lanjut, Elmi Fazuin berkata, apa yang ada di tapak perkhemahan itu sebenarnya disediakan khusus berdasarkan pengalamannya sendiri selaku seorang aktif dalam aktiviti luar sejak kecil, khususnya perkhemahan.

"Saya memang biasa dengan 'outdoor' (aktiviti luar) sejak kecil lagi dan kini walaupun selepas berumahtangga dan ada anak, aktiviti itu masih diteruskan.

"Jika dulu, tapak ini menjadi lokasi saya dan keluarga berkhemah dan Alhamdulillah, sejak kita buka tempat ini ramai beri sambutan tak kiralah Melayu, Cina atau India. Pendek kata, semua bangsa datang dan suka tinggal di sini," katanya.

Ditanya mengenai khemah disediakan, Elmi Fazuin berkata, pihaknya menyediakan lima khemah bersaiz 'family' untuk keluarga sehingga lima orang, tiga saiz 'couple' untuk pasangan dan dua lagi khemah 'single' bagi yang menetap sendirian.

"Selain khemah, kita turut menyediakan beberapa 'spot picnic' sebagai ruang santai untuk makan-makan, serta tapak unggun api yang semuanya untuk pengunjung mencipta saat indah sepanjang di sini. Pelbagai kemudahan seperti tandas selesa dan ruang pantri juga disediakan untuk tetamu memasak dengan kelengkapan asas disediakan," katanya.

Lokasi percutian popular

Jika berasa renyah membawa bekalan bahan mentah, anda tak perlu risau kerana anda boleh menempah bahan untuk 'steambot' atau panggang yang berkonsep 'DIY' ('do it yourself'). Ia pasti memberi pengalaman menarik untuk anda bersama rakan atau keluarga.

"Bagi yang tidak gemar memasak, usah risau kerana Kampung Sedia sememangnya dikelilingi banyak kedai makan dan kafe. Jika sanggup menapak sedikit, nak cari makan memang bukan suatu yang sukar," katanya.

Mengenai perancangan, katanya beliau berhasrat menambah nilai beberapa lagi unit khemah, selain aktiviti untuk pengunjung termasuk memberi pengalaman menanam dan memetik sayur di kebun.

"Itu memang dalam perancangan kita dan Insya Allah akan ada nanti," katanya.

Untuk rekod, Cameron Highlands kini antara lokasi tarikan peminat aktiviti 'outdoor' dengan beberapa tapak perkhemahan sering penuh ditempah pengunjung. Selain Backyard Glamping, beberapa tapak turut popular di kawasan tanah tinggi ini seperti Kem Sungai Pauh, Hola Campsite, Pine Valley Villa & Camper Site.

Banyak ‘spot’ sedia menunggu untuk santapan lensa kamera merakam panorama di kawasan perkhemahan dan sekitarnya.- Foto/Adha Ghazali
Banyak ‘spot’ sedia menunggu untuk santapan lensa kamera merakam panorama di kawasan perkhemahan dan sekitarnya.- Foto/Adha Ghazali

Berkhemah di kebun sayur dengan konsep glamping membuatkan percutian lebih unik. - Foto/Adha Ghazali
Berkhemah di kebun sayur dengan konsep glamping membuatkan percutian lebih unik. - Foto/Adha Ghazali

Selain pengalaman berkhemah dalam suasana dingin tanah tinggi, pengunjung juga boleh mengisi masa dengan mengunjungi pelbagai lokasi tarikan lain di Cameron Highlands, khususnya melawat ladang teh dan memetik strawberi, yang menjadi antara acara wajib di situ.

INFO: Mengenai Cameron Highlands

  • Lokasi percutian dan pelancongan popular
  • Kawasan pembekal utama sayur-sayuran negara.
  • Lebih 4,000 hektar kebun sayur diusahakan 2,200 petani dan pekebun.
  • 1,100 metrik tan sayur sehari, nilai RM400 juta setahun.
  • Berita Harian X