Jumaat, 12 Ogos 2022 | 3:26pm
Kumpulan kerbau bebas meragut rumput di Padang Koba Teluk Bakong, Bota Kanan. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Kumpulan kerbau bebas meragut rumput di Padang Koba Teluk Bakong, Bota Kanan. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Padang Koba tambah popular selepas jadi lokasi penggambaran Mat Kilau

MELIHAT sekumpulan kerbau dan kambing bebas mencari tempat meragut rumput, keceriaan orang ramai 'berkubang' di tebing sungai dan panorama indah matahari terbenam mengembalikan nostalgia kehidupan di kampung.

Suasana itu menguak kenangan dan memberi pengalaman unik kepada penulis ketika berkunjung ke Padang Koba, Telok Bakong, Bota Kanan, Perak ini, baru-baru ini.

Lebih teruja apabila Padang Koba terletak di tepi Sungai Perak ini pula semakin popular apabila menjadi lokasi penggambaran filem 'box office' Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang mencetuskan fenomena apabila mengaut lebih RM90 juta selepas lebih 33 hari ditayangkan di pawagam.

Padang di situ menempatkan beberapa struktur binaan seperti jeti, bangsal, pasar, tapak perlombongan dan pertempuran, pasar serta kawasan perkhemahan untuk set penggambaran Mat Kilau.

Bagaimanapun, semua struktur itu sudah dibersihkan oleh krew produksi selepas penggambaran filem itu selesai.

Selain itu, padang berkenaan juga dikatakan pernah menjadi lokasi penggambaran drama Kota Setia ditayangkan pada 1997, selain drama bersiri, Ta'in pada 2003.

Tempat beriadah

Justeru, membuatkan ramai berbangga terutama penduduk tempat kerana Padang Koba menjadi lokasi popular untuk pelbagai aktiviti santai seperti berkelah, bermain layang-layang, menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV), bermain kolam air, mandi sungai dan merakam gambar kenangan.

Antara struktur binaan dipercayai dibina dalam penggambaran filem Mat Kilau di Padang Koba Teluk Bakong. - Foto ihsan pengguna Facebook
Antara struktur binaan dipercayai dibina dalam penggambaran filem Mat Kilau di Padang Koba Teluk Bakong. - Foto ihsan pengguna Facebook

Menurut anak kelahiran Teluk Bakong, Kamarul Baharin Aharuddin, 50, lokasi itu menjadi 'port' anak kampung bersantai dan mandi sungai sejak dari zaman dahulu, dan kini semakin menjadi tumpuan penduduk luar daerah Perak Tengah sejak lebih tiga bulan lalu.

Dinamakan Padang Koba kerana menjadi tempat kerbau atau koba dalam dialek penduduk Bota, meragut rumput turut menjadi tarikan.

"Waktu petang menghidangkan panorama indah menjadikan ramai suka ke sini melakukan pelbagai aktiviti.

"Tambah pula mereka datang untuk melihat kawasan yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Mat Kilau walaupun semua binaan sudah tiada," katanya.

Ikon padang itu lebih dikenali sebagai Paduka Demang. Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyokong lokasi itu menjadi kawasan riadah.

Penduduk mandi-manda dan bersantai di sungai berhampiran. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Penduduk mandi-manda dan bersantai di sungai berhampiran. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

"Ramai mandi di tebing sungai ini, jika air surut dan memang 'port' berkubang budak kampung sejak dahulu, tetapi mandi di kawasan tepi dan keluarga perlu memantau sendiri bagi menjaga keselamatan.

"Kami tak galakkan mandi kerana jika air pasang bagi mandi. Satu papan peringatan diletakkan di kawasan itu," katanya.

Imbau kenangan lama

Penduduk, Sabarudin Zakaria, 56, berkata, kemeriahan Padang Koba mengimbau kenangan lamanya ketika kecil selalu mandi di tepi tebing sungai bersama 15 rakan selepas pulang sekolah.

Peredaran zaman kian melenyapkan aktiviti harian 'budak kampung', namun sebagai penduduk di sini, beliau tetap gembira melihat padang itu berubah wajah lebih meriah.

"Seronok mengenangkan zaman kanak-kanak kerana ini tempat kami 'berkubang' dan mandi sungai hampir setiap hari.

Penduduk datang bersantai dan melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Penduduk datang bersantai dan melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

"Sebelum ini padang agak sunyi dan tidak ramai yang tahu lokasi ini. Kini jadi tumpuan kembali," katanya.

Pengunjung cilik, Nur Athirah Amani Mohd Fadil, 11, berkata, dia meminati filem Mat Kilau dan teruja meskipun hanya melihat tapaknya.

"Saya juga seronok dapat melihat kerbau dengan lebih dekat tanpa rasa takut. Suasana indah sesuai untuk mengambil gambar," katanya.

Warga emas, Ainon Bariah Jasin, 65, berkata, tempat ini sesuai untuk berkelah bersama keluarga sambil menikmati makanan dibawa dari rumah atau dibeli di gerai jualan berhampiran kawasan padang.

"Makan sambil bersembang dan bersantai di atas tikar menenangkan fikiran. Kanak-kanak juga bebas bermain dan berlari. Hanya perlu awasi kerana ada sungai berhampiran di sini," katanya.

Jalan masuk ke Padang Koba. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Jalan masuk ke Padang Koba. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Berita Harian X