Rabu, 25 Mei 2022 | 10:42am
Pengunjung menikmati pelbagai hidangan makan kampung disediakan di Dangau Mak Ani, di Lengong. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf
Pengunjung menikmati pelbagai hidangan makan kampung disediakan di Dangau Mak Ani, di Lengong. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf

Dangau Mak Ani jadi tumpuan pelancong

"HASIL nyiur atau kelapa berkulit hijau yang diparut dengan menggunakan kukur untuk membuat sambal dan 'diregukan' ulam-ulaman kampung antara menu hidangan tengah hari yang menarik.

"Sambal nyiur segar sangat serasi dengan ulam-ulaman seperti batang lambuk, temu lawak, umbut pisang, umbut tepus dan lebih istimewa kalau musim pucuk sentang serta putat menawarkan kelainan sajian, kata Mak Ani atau nama penuhnya Noraini Othman, 61.

Mak Ani memang sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelancong sejak yang ramai berkunjung ke dangau atau pondok kecil berukuran 4 X 5 meter persegi di Kampung Bagan, Chepor, Lenggong, untuk merasai pelbagai sajian tradisi.

Malah, dangau beratapkan daun rumbia berlantaikan belahan batang pinang yang dibina suaminya, Muhd Taib Jusoh, 63, bersama jiran dan anak-anak, berdiri teguh kira-kira 10 meter dari rumah mereka, jadi tarikan pelancong sejak 2019.

Kawasan berkenaan pula dikelilingi pokok segar seperti pokok belalai gajah, misai kucing, bunga telang, temu lawak, pandan, beka, pisang dan lain-lain, sangat mententeramkan jiwa dan menyegarkan mata memandang.

Jadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa

Menurut Mak Ani, dangau dikenali sebagai Dangau Mak Ani menjadi premis tradisional yang pernah disinggahi ratusan pelancong dalam dan luar negara untuk makan tengah hari yang menghidangkan pelbagai menu kampung.

Pelancong sedang mencuba cara mengukur kelapa. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf
Pelancong sedang mencuba cara mengukur kelapa. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf

Dangau dan beberapa aktiviti permainan tradisional lain diperkenalkan oleh 'Duta Pelancong' di situ, iaitu Nash Jalaluddin (Pemilik Rumah Tiang 16), menambah kepelbagaian tarikan pelancong yang membuat tempahan untuk ke lokasi itu.

Pelancong domestik yang pernah berkunjung dan makan tengah hari di dangau itu adalah dari seluruh negara, selain pelancong asing termasuk dari Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Jepun, Jerman serta negara Eropah.

"Ada yang berulang kali datang selepas kali pertama menikmati lauk-pauk kampung seperti jantung pisang, pucuk ubi kayu, kangkung, leweh dan ulam-ulaman.

"Jika kena dengan musimnya akan dihidangkan ulam jering, kenuak dan petai bersambalkan sambal tempoyak serta sambal belacan.

"Kerabu beka, pucuk betik, jantung pisang dan selom juga antara menu istimewa atas permintaan pelancong dan lebih menyelerakan sekiranya dihidangkan dengan ikan loma, tengalan, kelabau bakar cicah air asam.

"Hanya bayaran RM10 setiap pengunjung boleh makan sepuas-puasnya," ujar Mak Ani.

Mak Ani (dua dari kiri) sedang mengajar pengunjung membuat tikar menggunakan daun mengkuang. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf
Mak Ani (dua dari kiri) sedang mengajar pengunjung membuat tikar menggunakan daun mengkuang. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf

Pelancong juga disajikan sagu rumbia, seperti cendol sagu rumbia, kuih bakar tepung sagu rumbia, koleh sagu rumbia dan lain-lain.

Pelancong asing lihat cara penyediaan sagu

Bermula dari situ minat pelancong mengetahui lebih lanjut proses penyediaannya termasuk penebangan pokok rumbia, potong, buang kulit, belah, mesin sehingga terhasil sagu rumbia dan cara membuat cendol daripada sagu.

Turut disediakan beberapa permainan tradisional seperti congkak, gasing, tarik upih pinang dan lain-lain bagi merasai kehidupan desa pada zaman dahulu.

Mak Ani berkata, pelancong juga diajar membuat tikar daripada daun mengkuang dan menyirat atap daun rumbia.

Pendek kata, menurut Mak Ani apa-apa disediakan kepada pelancong ke Dangau Mak Ani, semuanya menarik perhatian.

Teruja nikmati sajian tradisi

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Iman Alia Anuar, berkata lawatannya ke beberapa Geotapak di termasuk tapak arkeologi Perak Man, rangkaian gua-gua di Gelok, Masjid Raja, telaga biru di Chepor, Replika Perak Man di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, membuktikan kawasan berkenaan sangat berpotensi sebagai daerah tarikan pelancong.

Menariknya, rombongan mereka diterima dengan layanan keramahan komuniti setempat yang benar-benar menunjukkan daerah itu destinasi unik.

Mak Ani dan suaminya mendirikan dangau yang dikunjungi pelancong dalam dan luar negara, sejak 2019.
Mak Ani dan suaminya mendirikan dangau yang dikunjungi pelancong dalam dan luar negara, sejak 2019.

"Lebih istimewa ialah makan di Dangau Mak Ani dengan suasana tenang dan menyegarkan. Di sini kami diperkenal dan disajikan makanan tradisi di Kampung Chepor.

"Di dangau itu, kami diajar mengukur kelapa untuk membuat sambal, menganyam tikar mengkuang, cara permainan congkak, gasing dan tarik upih pinang," katanya bangga Lembah Lenggong turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Permainan tradisional menarik upih mengimbau kehidupan penduduk desa pada zaman dahulu.
Permainan tradisional menarik upih mengimbau kehidupan penduduk desa pada zaman dahulu.

Berita Harian X