Jumaat, 28 Januari 2022 | 9:43am
Mohd Razali (kiri) dan Salmiah (duduk dua dari kanan) mengajar orang ramai membuat atap rumbia.- Foto/ Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Razali (kiri) dan Salmiah (duduk dua dari kanan) mengajar orang ramai membuat atap rumbia.- Foto/ Mohd Rashidi Yusuf
Cendol sagu rumbia dihasilkan Salmiah digemari penduduk tempatan dan pelancong asing.-Foto/ Mohd Rashidi Yusuf
Cendol sagu rumbia dihasilkan Salmiah digemari penduduk tempatan dan pelancong asing.-Foto/ Mohd Rashidi Yusuf
Pohon rumbia mempunyai banyak kegunaan.- Foto/ Mohd Rashidi Yusuf
Pohon rumbia mempunyai banyak kegunaan.- Foto/ Mohd Rashidi Yusuf

Produk rumbia jadi tarikan pelancong

Pohon rumbia yang lazimnya tumbuh subur di tanah lembab, gambut dan di tepi sungai atau pesisir pantai mempunyai banyak kegunaan.

Daripada batang dan daunnya yang juga dipanggil pokok sagu ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah ia boleh menjadi tarikan pelancong.

Batang pokok rumbia mempunyai isi lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi, manakala daun rumbia yang keras boleh dijadikan atap.

Justeru, bagi pasangan suami isteri ini, Mohd Razali Dahari, 76, dan isterinya Salmiah Bakri, 66, dari Kampung Bagan, Chepor, Lenggong, Perak, menggunakan bahan berkenaan untuk menghasilkan cendol sagu rumbia.

Ternyata, makanan tradisi ini yang isinya kenyal mendapat perhatian penduduk setempat, pengunjung luar dan pelancong asing untuk menikmati.

Salmiah berkata, mereka mengusahakan produk berasaskan sagu rumbia itu sejak lebih 10 tahun dan mula mendapat perhatian pengunjung luar sejak tiga tahun lalu.

Katanya, mereka usahakan pokok rumbia untuk jadikan sagu dan daun sebagai atap sebagai sumber rezeki.

"Pada mulanya, kami berniat hendak mengusahakan semula apa yang pernah menjadi tradisi orang tua-tua dulu, iaitu membuat sagu rumbia sebagai bahan makanan seperti kuih kole, makanan ayam, itik dan daunnya sebagai atap rumah atau pondok di sawah dan huma.

"Kemudian saya buat cendol daripada sagu. Apabila suami saya jual dan larisnya terutama pada Ramadan, jiran pula menjadikannya sebagai tepung untuk kuih bakar.

"Saya tidak menyangka ramai penduduk kampung, pengunjung luar dan pelancong datang untuk menikmati sagu rumbia.

"Sebelum itu, kami diperkenalkan oleh Abdul Nasir Jalaluddin (pemilik Rumah Tiang 16, Lenggong) kira-kira tiga tahun lalu mengenai potensi pohon rumbia. Selepas diusahakan sehingga sekarang dan menjadi tarikan pelancong," katanya.

Pelancong belajar cara proses sagu

Salmiah berkata, pengunjung termasuk dari luar negara tertarik melihat dan berminat mengetahui penghasilannya bermula menebang pokok rumbia untuk dijadikan cendol dan atap.

Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau dan suaminya sering menerima panggilan daripada Nasir untuk membawa pelancong yang berminat mengunjungi lokasi mereka.

"Kami tetapkan tarikh pelancong datang bagi merasai kelazatan cendol sagu rumbia sambil mendapatkan pengalaman membuat atap rumbia serta merasai kehidupan di kampung," katanya.

Razali berkata, sebelum ini beliau sering menjaja cendol ke beberapa kampung, tetapi sejak kebelakangan ini, tidak lagi keluar ke kampung jiran untuk menjual cendol sagu rumbia kerana sibuk melayani pelanggan termasuk pelancong.

"Saya akan menunjuk cara membuat atap rumbia manakala isterinya mendedahkan cara membuat cendol sagu rumbia.

"Dulu kami jual cendol sagu rumbia di kampung. Sekarang pelancong sendiri yang berminat datang membeli tanpa, jadi tidak perlu dijual di luar lagi.

"Kami sering menerima tempahan atap rumbia dan harganya RM8 sekeping," katanya.

Razali berkata, pelancong datang secara pakej dengan menyediakan program mengenai pengalaman cara menebang pokok rumbia, potong, buang kulit dan belah batangnya, kemudian mengambil sagu dengan menggunakan mesin kelapa.

"Kemudian, proses merendam dan menjemur sagunya sebelum dibuat cendol," katanya.

Selain itu, pelancong juga berminat mempelajari cara merintis daun daripada pelepah-pelepah rumbia dan kemudian dianyam untuk dijadikan atap.

Info:

Pokok Rumbia atau metroxylon sagu

* Sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae atau keluarga Palmae

* Kebanyakan tumbuh di tanah lembap.

* Banyak tumbuh pesisir pantai di Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea.

* Pokok Rumbia boleh dijadikan atap nipah.

* Batangnya diproses untuk hasilkan sagu, produk berasaskan sagu rumbia.

Berita Harian X