Khamis, 14 Oktober 2021 | 11:09am
Kejernihan air berwarna kehijauan dalam kolam tika terkena pantulan cahaya matahari akan bertukar warna kebiruan memukau pengunjung. - Foto ihsan Mohd Fadhil Mohd Zain
Kejernihan air berwarna kehijauan dalam kolam tika terkena pantulan cahaya matahari akan bertukar warna kebiruan memukau pengunjung. - Foto ihsan Mohd Fadhil Mohd Zain

Pantulan cahaya Blue Pool memukau

'TAK kenal maka tak cinta'. Begitulah dirasai ramai pencinta alam apabila hati 'tersangkut' dengan panorama di Blue Pool dan Gunung Sarut sehingga ada sanggup mendaki hampir 60 kali tiba di puncak gunung itu.

Apa tidaknya, keunikan alam semula jadi Blue Pool atau Kolam Biru Gunung Sarut, Setiu, Terengganu ini mampu memukau pandangan mata sesiapa sahaja terutama pendaki gunung tegar.

Kejernihan air berwarna kehijauan dalam kolam tika terkena pantulan cahaya matahari akan bertukar warna seakan kebiruan menjadi faktor utama dikenali dengan nama Blue Pool.

Lokasi Blue Pool sering kali menjadi destinasi persinggahan utama pendaki Gunung Sarut untuk berehat dan mandi-manda di titik temu (checkpoint 1) sebelum meneruskan pendakian sehingga ke puncak.

Laluan trek ke Blue Pool bermula di Lata Payung agak landai memudahkan aktiviti pendakian terutama bagi pendaki baru.

Kebiasaannya hanya mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam meredah hutan belantara untuk sampai ke lokasi terbabit.

Gunung Sarut tertinggi di Setiu

Namun, segala penat lelah seakan terubat apabila berpeluang mandi-manda di situ dan merasai kesejukan air kolam sehingga menusuk ke tulang hitam.

Gunung Sarut adalah gunung tertinggi di Setiu, Terengganu dengan ketinggian 1,229 meter dari paras laut antara lokasi pendakian gunung semakin mendapat perhatian dalam kalangan pencinta alam.

Mohd Fadhil antara individu erawal mendaki Gunung Sarut sebelum singgah di Blue Pool. - Foto ihsan Mohd Fadhil Mohd Zain
Mohd Fadhil antara individu erawal mendaki Gunung Sarut sebelum singgah di Blue Pool. - Foto ihsan Mohd Fadhil Mohd Zain

Peringkat awal laluan trek Gunung Sarut mula dirintis pada 10 Februari 2017 dengan kerjasama Persatuan Terengganu Backpackers dan diwartakan sebagai Hutan Simpan Hulu Nerus dan dikategorikan Hutan Dipterokarpa Bukit.

Panorama Blue Pool tular

Pemandu pelancong bebas, Mohd Fadhil Mohd Zain, 42, berkata beliau antara insan bertuah menjadi antara individu terawal mendaki Gunung Sarut bersama beberapa lagi pendaki lain.

"Kali pertama saya mendaki Gunung Sarut pada 2017, selepas dipelawa beberapa rakan untuk merasai pengalaman mendaki trek laluan gunung di situ," katanya.

Pendaki bermalam di Kem Bonsai sebelum meneruskan ke puncak Gunung Surut.
Pendaki bermalam di Kem Bonsai sebelum meneruskan ke puncak Gunung Surut.

Bak kata pepatah 'Tak kenal maka tak cinta' Mohd Fadhil mengakui keindahan alam semula jadi tersendiri, di Blue Pool dan Gunung Sarut tanpa sedar membuatkan dirinya sudah mendaki hampir 60 kali tiba di puncak gunung.

"Keindahan alam di Blue Pool mula menjadi perhatian netizen selepas mula tular apabila beberapa pendaki yang datang dari luar Terengganu.

"Kebiruan air di Blue Pool biasanya boleh dilihat pada waktu tengah hari, airnya kelihatan seolah-olah air laut jernih hingga boleh nampak bahagian dasarnya yang berpasir," katanya.

Nikmati panorama alam

Beliau berkata, ada sesetengah orang yang memilih untuk mendaki sehingga Blue Pool sahaja, namun kebanyakan pendaki meneruskan pendakian sehingga ke Gunung Sarut bagi menikmati panorama alam di sana.

Pemandangan dari puncak Gunung Surut.
Pemandangan dari puncak Gunung Surut.

"Pengalaman paling tidak dapat dilupakan apabila ditugaskan mengiringi pendaki Persatuan Orang Pekak Terengganu dan Persatuan Orang Pekak Malaysia pada 2019.

"Cabaran mengiringi pendaki orang kurang upaya (OKU) berbeza berbanding dengan insan normal dari segi berkomunikasi dan peserta dibahagikan dalam kumpulan kecil untuk memudahkan pergerakan," katanya.

Beliau juga pernah membawa anaknya berumur lapan tahun untuk menyertai ekspedisi Gunung Sarut beberapa tahun lalu.

"Gunung Sarut sering kali menjadi pilihan pendaki yang berkunjung ke negeri ini kerana mempunyai banyak punca air sungai sepanjang trek laluan pendakian.

"Kebiasaannya jarak masa diambil untuk sampai ke puncak dianggarkan kira-kira enam jam termasuk rehat bermula dari Lata Payung melalui checkpoint Blue Pool, selekoh pokok besar, puncak Nokia (puncak Gasing), Kem Bonsai, puncak Batu Lesung dan view point sebelum tiba ke puncak gunung.

"Pendaki boleh memilih bermalam di Kem Bonsai atau pendakian harian biasanya hanya mengambil masa empat jam lebih untuk naik ke puncak.

Antara kumpulan mendaki di Gunung Surut.
Antara kumpulan mendaki di Gunung Surut.

"Bagaimanapun, sejak tahun lalu aktiviti pendakian di Gunung Sarut terpaksa dihadkan berikutan penularan COVID-19 melanda negara.

"Namun, saya percaya apabila aktiviti mendaki gunung dibenarkan semula walaupun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) pasti ramai teringin untuk menjejakkan kaki ke sana," katanya.

INFO: Blue Pool

  • Tempat persinggahan dan tarikan utama pendaki Gunung Sarut
  • Air kebiruaan dan kehijauan seperti air laut jernih
  • Laluan trek ke Blue Pool bermula di Lata Payung
  • Gunung Sarut terletak di Kampung Payong, Setiu
  • Gunung Sarut 1,229 meter tertinggi di Setiu
  • Berita Harian X