AIR Terjun Dara Senawang, namanya sahaja membuatkan ramai teruja ingin bersantai di sini menerokai suasana bening dan kehijauan alam sekitarnya.
Bertepatan dengan Negeri Sembilan yang beralih pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), susulan COVID-19, memberi peluang orang ramai melepaskan 'gian' untuk beriadah di sini.
Malah, lokasi terbabit juga menjadi 'port' baharu kepada peminat basikal untuk meneruskan aktiviti rutin hujung minggu.
Selain menguji cabaran dan ketahanan mendaki bukit, peminat basikal dapat menikmati kesegaran dan kesejukan air terjunnya bagi melepaskan penat-lelah berkayuh.
Tidak hairan, Air Terjun Dara, kini menarik perhatian ramai peminat basikal khususnya dari sekitar Seremban dan luar daerah itu melakukan aktiviti riadah secara berkumpulan.
Hujung minggu jadi tumpuan
Terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Bandar Baru Senawang, air terjun pada ketinggian kira-kira 200 meter dari aras laut itu amat unik kerana dipenuhi keindahan flora dan fauna disebabkan belum terusik.
Kedudukannya jauh dari kawasan perumahan dan penempatan penduduk dan tersembunyi di kawasan hutan kaki Gunung Angsi, ternyata amat mengasyikkan.
Setiap hujung minggu, antara lima hingga 10 kumpulan atau kelab basikal melakukan aktiviti kayuhan ke lokasi itu.
Lalu denai mencabar
Bagi Kelab Basikal Perpatih Senawang (KBPS) yang mempunyai 50 ahli, kerap menjadikan Air Terjun Dara sebagai lokasi kayuhan kerana ia tidak jauh iaitu sekitar 15 kilometer dari pekan Bandar Baru Senawang.
Lazimnya, ahli kelab itu akan memulakan perjalanan seawal jam 8 pagi dan sampai ke lokasi kira-kira 8.30 pagi.
Presiden KBPS, Jamari Ishak, berkata untuk sampai ke kawasan air terjun itu mereka perlu mendaki bukit sejauh kira-kira satu kilometer dari pintu masuk mendaki, iaitu jalan utama ke kawasan itu.
Laluan pendakian sedikit mencabar kerana perlu melalui beberapa denai tidak rata dan berbukit sekali gus mampu menguji kecekapan individu berbasikal.
"Siapa sampai ke destinasi itu pasti mengujakan kerana lokasi air terjun yang dingin dan nyaman," katanya.
Lokasi tumpuan pelancong
Peminat berbasikal pasti tidak akan melepaskan peluang menyejukkan badan menikmati kedinginan Air Terjun Dara itu yang bersih dan jernih.
Jamari berkata, Air Terjun Dara, ditemui sekitar lima tahun lalu, menyebabkan ramai tidak mengetahui kedudukan kawasan riadah berkenaan yang mempunyai empat tingkat kawasan air terjun.
"Kami antara individu terawal menemui kawasan air terjun ini. Saya lihat lokasi ini menarik dan berpotensi sebagai kawasan tumpuan pelancong," katanya.
Jadi tumpuan selepas PPN
Dengan PPN, ramai dari sekitar Seremban membawa ahli keluarga, berkunjung ke Air Terjun Dara untuk beriadah.
"Ramai datang adalah kalangan ahli kelab berbasikal," katanya yang juga kakitangan sebuah institusi kewangan di Senawang.
Kakitangan swasta, Afifi Hafiz Mohd Nor, 30, yang julung kali datang ke situ, akui Air Terjun Dara lokasi mampu menggamit kedatangan pengunjung jika ia dapat dipromosikan.
Beliau berkata, air terjun itu terletak berhampiran bekas Kelab Golf Tuanku Ja'afar Senawang.
"Kami masuk melalui jalan menghala kawasan bekas kelab golf berkenaan dan terus menyusuri denai kecil untuk sampai ke sini.
"Walaupun terpaksa melalui sedikit cabaran pendakian, namun saya rasa amat teruja apabila sampai ke lokasi air terjun ini.
"Selain dapat menikmati air yang sejuk, segar, di sini juga dapat melihat pemandangan alam semula jadi yang belum terusik dan pengunjung boleh merasai nikmat berendam dalam air terjun di kolam pada ketinggian 25 meter yang sejuk semula jadi," katanya yang aktif berbasikal sejak beberapa tahun lalu.
Jaga persekitaran elak pencemaran
Zulkefle Husain, 56, berkata lokasi ini boleh menjadi tempat beriadah yang baik kerana mudah sampai walaupun kereta tidak boleh sampai ke kawasan berhampiran air terjun.
Pesara tentera itu berkata, pengunjung hanya perlu berjalan kaki dari kawasan kaki bukit dan mendaki kira-kira satu kilometer.
"Tempat ini sesuai beriadah dan mandi bersama keluarga.
"Walaupun kawasan air terjunnya kecil tetapi menarik, ia cukup untuk menyegarkan badan dan merasai kesejukan airnya.
"Saya rasa seronok ke sini kerana jauh daripada kesibukan. Saya berharap semua menjaga kebersihan dan kesegaran alam semula jadi dengan tidak meninggalkan sampah-sarap atau bekas makanan sewenang-wenangnya supaya terus terpelihara daripada pencemaran," katanya.