Isnin, 6 September 2021 | 10:31am
Osman pemancing kayak dari Bagai Serai, Perak, sanggup berjam-jam berada di lautan memenuhi hobi ekstrem ini. - Foto Osman Wan Ghazali.
Osman pemancing kayak dari Bagai Serai, Perak, sanggup berjam-jam berada di lautan memenuhi hobi ekstrem ini. - Foto Osman Wan Ghazali.
Mohd Fadzli dengan ikan yang dipancing.
Mohd Fadzli dengan ikan yang dipancing.
Mohd Ramdzan dengan ikan GT dan kerapu yang dipancing.
Mohd Ramdzan dengan ikan GT dan kerapu yang dipancing.
Senario indah yang dirakamkan lensa kamera Mohd Ramdzan Rahmat ketika memancing di atas kayak. - Foto/Ihsan Mohd Ramdzan
Senario indah yang dirakamkan lensa kamera Mohd Ramdzan Rahmat ketika memancing di atas kayak. - Foto/Ihsan Mohd Ramdzan

Kayuh kayak 'belah' lautan

DUA belas belas jam meredah ombak dan menongkah arus di bawah terik matahari, kadangkala merempuh badai dengan mengayuh kayak untuk memancing ikan, kini menjadi kegilaan yang semakin popular.

Yang nyata memancing di laut atau bekas lombong turut mengalami perubahan, lantas penerokaan memancing lebih menarik dan mencabar dengan berkayak.

Mereka seronok mengayuh kayak dan sanggup terumbang-ambing di lokasi pada jarak sehingga 7 kilometer (km) seawal jam 7.30 pagi, sebelum balik ke pantai jam 6 petang.

Inilah hobi ekstrem dan lasak mempunyai ribuan pengikutnya di seluruh negara. Mereka menyifatkan memancing dalam bot sudah tidak lagi mencabar.

Malah, kayak pancing ini jadi trend kerana

memberikan kepuasan tersendiri, selain mampu menjadi sebagai satu lagi produk pelancongan di negara ini.

Dayung kayak ke tengah laut

Bagi Ahli kelab Kayak Fishing Melaka, Mohd Fadzli Ahmad, 38, memilih kayak kerana lebih mencabar selepas sekian lama memancing haruan dan ikan pantai.

Kayak pancing memberi kepuasan tersendiri, sambil peminatnya menikmati keindahan lembayung senja.
Kayak pancing memberi kepuasan tersendiri, sambil peminatnya menikmati keindahan lembayung senja.

"Saya pernah mendayung kayak 10 kilometer ke tengah laut kerana ingin mencuba dan melalui pengalaman lebih menarik.

"Berkayak sambil memancing adalah aktiviti sihat dan dianggap sebagai senaman, selain membawa saya kembali kepada keindahan alam.

"Senario paling cantik ketika air laut tenang seperti tasik dengan warna air hijau kebiruan," kata juruteknik kilang di Batu Berendam, Melaka itu," katanya.

Sanggup berbelanja beli kayak

Mohd Fadzli membelanjakan lebih RM4,000 untuk membeli kayak dan kelengkapan keselamatan termasuk alat komunikasi walkie talkie serta jaket keselamatan bagi memenuhi kriteria hobi itu.

gn4id:29677486

Selain kayak kayuhan kaki, beliau membeli kayak dayungan tangan berharga RM1,500. Kayak biasanya dipunggah di atas rak bumbung kereta atau kenderaan pacuan empat roda (4x4) untuk dibawa ke lokasi.

"Kayak pancing biasanya dilengkapi pendayung, tempat memacak joran, alat sonar dan GPS, kotak menyimpan ikan, sauk, gancu dan kotak umpan hidup.

Sebelum ke laut, pemancing kayak lazimnya menggunakan aplikasi Windy untuk mengetahui keadaan angin, ombak dan cuaca bagi bacaan lebih tepat sebagai langkah keselamatan.

"Selenggaran aspek penting sebelum mahupun selepas ekspedisi. Disiplin ini penting untuk keselamatan dan mengelakkan kesulitan ketika di lokasi, katanya yang juga Youtuber popular dengan gelaran Dak Z Zerofour.

2 kali kayak terbalik

Pemancing kayak di Kuantan, Hafizan Hamzah pula teruja dengan aktiviti itu disebabkan cabarannya memerlukan kesabaran, kemahiran, kekuatan fizikal dan mental.

Antaranya, cabaran dan kemahiran memancing ketika musim tengkujuh, biasanya pada Oktober hingga Januari setiap tahun.

"Ombak besar di pesisiran pantai ketika monsun menjadi cabaran yang sangat ekstrem. Saya pernah dua kali terbalik bila kayak dilanda ribut November lalu pada jarak 100 meter dari pantai.

"Masa itu, saya masih baru dengan hobi ini. Namun, inilah cabaran dan kepuasannya. Tetapi kami tidak memancing kalau keadaan laut memang sangat bergelora dan tidak selamat untuk berkayak ketika itu," katanya yang memiliki kayak bersaiz 10.8 kaki seberat 38 kilogram tetapi praktikal berharga RM2,900.

Namun, katanya, pancing berkayak sangat berbeza dan mengujakan sebab semua perkara kena buat sendiri. Daripada berkayuh ke lubuk, kemudian bertarung dengan ikan dan menyauknya ke dalam kayak dalam posisi duduk adalah sangat sukar serta perlu kesabaran tetapi tetap menyeronokkan," katanya.

Terpegun dengan panorama alam

Beliau juga tenang bila di laut kerana merasakan kombinasi pancaran matahari, angin, kocakan ombak dan panorama alam seperti paparan awan pagi serta lembayung petang.

gn4id:29677535

"Saya rasa sangat-sangat terpegun, rasa tenang dan damai bila di laut. Masa itu juga saya dapat bermuhasabah diri," katanya.

Memancing di atas kayak membolehkan Hafizan menyelinap ke lokasi yang sukar atau tidak boleh dikunjungi bot.

Kayak juga mudah dikendalikan dan tidak perlu sauh.

Aktivis pancing kayak dari Crazee Kayak Langkawi, Mohd Ramdzan Rahmat, 28, menganggap berkayak memberi kepuasan riadah bersama rakan sambil memancing.

"Kami menghabiskan masa sehingga 7 jam di laut bagi memancing kerapu, GT dan jenahak," katanya

Fenomena kayak pancing

Fenomena kayak pancing menjadi 'kegilaan' peminat aktiviti lasak juga dilihat merebak ke Singapura, Indonesia dan Brunei.

Di Malaysia sahaja, kira-kira 3,000 pemancing kayak yang menyertai puluhan kelab pancing kayak di seluruh negara menjadikan hujung minggu dan cuti umum 'memburu' lubuk ikan bagi tujuan itu.

Lokasi tumpuan biasanya di sekitar struktur tengah laut seperti tiang jambatan, boya rumah api dan pemecah ombak selain batu karang dan lubuk yang dapat dikesan menerusi sonar.

Perkembangan pesat dan sambutan hangat terhadap kayak pancing diakui pemilik Kayak & Aksesori, Mohd Amirrudin Omar, 29, dari Pulau Pinang yang memberitahu, pancing kayak bertapak sejak sembilan tahun lalu sekali gus menambah ketara jualannya ketara bermula 2019 sehingga sekarang.

"Lebih 2,600 unit kayak pancing dibeli pelanggan di seluruh negara sejak November 2019," katanya.

Ramai beralih daripada bot kepada kayak untuk menjimatkan kos, di samping kelebihannya mampu ke lokasi sukar dijejaki.

Jenis kayak

Ada tiga jenis kayak pancing iaitu model kayuhan tangan dengan satu tempat duduk, kayuhan tangan dengan dua tempat duduk serta model kayuhan kaki dan 'fin pedal'.

Saiz kayak berbeza mengikut beratnya yang antara 23 kg hingga 28 kg, dibuat daripada bahan polietelina berkepadatan rendah (LDPE) serta polietelina berkepadatan tinggi (HDPE) bagi memberikan kelajuan dan keselesaan maksimum kerana ringan, selain tahan cuaca dan apa sahaja keadaan.

"Sebarang kerosakan kecil seperti calar dan rosak akibat pelanggaran yang kuat seperti batu boleh dibaiki dengan menampal material sama dengan cara betul.

"Semua kerosakan boleh diatasi. Kami ada semua alat ganti dan aksesori diperlukan.

"Harga antara RM1,000 hingga M3,000 seunit mengikut model," katanya.

Alatan lain adalah jaket keselamatan dan pendayung. Ramai pemancing menaik taraf kayak dengan komponen seperti kayuhan kaki, 'fin pedal', motor kayak, troli, sauh, sonar dan GPS bagi membolehkan mereka berkayak pada jarak lebih jauh.

Amir berkata, beberapa lokasi kegemaran kumpulan pancing berkayak itu seperti Pulau Bunting di Kedah, selain Jambatan Pulau Pinang 1 dan Jambatan Pulau Pinang 2, Pulau Bidan, Pulau Jerejak serta Teluk Kumbar di perairan Pulau Pinang.

Berita Harian X