Ahad, 12 Julai 2020 | 12:54pm
Jelajah gua antara aktiviti dilakukan pelancong. - Foto/ Mohd Rashidi Yusuf
Jelajah gua antara aktiviti dilakukan pelancong. - Foto/ Mohd Rashidi Yusuf

Hulu Perak terus menggamit

CADANGAN mewujudkan Geopark Kebangsaan di Lenggong dan Santuari Gajah Perak, di Gerik pastinya menggembirakan seluruh penduduk di Hulu Perak, terutama mereka yang terbabit dengan industri pelancongan.

Daerah Hulu Perak (Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong) memang sudah terkenal kerana banyak destinasi menarik yang sering menerima kunjungan pelancong domestik dan luar negara.

Royal Belum, Pulau Banding, Tasik Temenggor (Gerik), penemuan artifak berusia puluhan ribu tahun di Tapak Prasejarah Kota Tampan, Bukit Bunuh, Bukit Jawa dan Perak Man di Gua Gunung Runtuh (Lenggong) hingga terbinanya Muzium Arkeologi Lembah Lenggong (MALL) dan lain-lain adalah buktinya.

Di Gerik terdapat beberapa penempatan Orang Asal, seperti Pos Kemar, Banun, Sungai Tiang, Sungai Kejar, Pos Dala dan lain-lain, menarik untuk dikunjungi sambil menyelami budaya hidup Temiar, Jahai dan suku lain.

Di Pengkalan Hulu pula, kompleks bebas cukai Bukit Berapit di sempadan Malaysia - Thailand sewajarnya diberi perhatian untuk dinaiktaraf sekiranya kerajaan negeri berhasrat menarik lebih ramai pelancong.

Di Pengkalan Hulu juga ada Kampung Tasik dan Kampung Pong (Perkampungan Masyarakat Siam Malaysia) dan ada Gua Gendang dan banyak lagi tempat menarik untuk dikunjungi.

Terlanjur menyebut pasal gua, di Lenggong paling banyak, malah ada rangkaian gua untuk dijelajahi.

Umpamanya, di Kampung Gelok, terdapat rangkaian gua, iaitu Gua Merang, Gua Ansar, Gua Tarzan, Gua Puteri, Gua Gelap, Gua Kelawar dan lain-lain yang sering menerima rombongan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPTA), persatuan belia dan lain-lain untuk aktiviti jelajah.

Gua Gunung Runtuh di Ulu Jepai sudah dikenali ramai kerana Perak Man berusia 11,000 tahun, Gua Tok Giring di Ulu Lenggong dan banyak lagi gua sekiranya hendak disebut satu-persatu.

Tidak kurang menarik, Lenggong juga mempunyai banyak kawasan rekreasi seperti Tasik Raban, Hutan Lipur Kata Kekabu, Kampung Beng (Beng Sekolah, Beng Dalam, Dusun, Durian Lubuk, Durau, Pipit dan Batu Reng) yang jalan perhubungannya adalah tasik.

Kampung Beng pernah digelar Kampung Satu Keluarga Sebuah Sampan (motor bot), menarik pemandangannya dan kini terdapat banyak rumah-rumah pusaka dijadikan inap desa.

Kegiatan rekreasi seperti berakit, berkayak mudik dan menghilir Sungai Perak antara Bukit Sapi, Chepor, Luat, Kota Tampan Air, Beng dan Tasik Raban tentunya sangat memuaskan bagi mereka yang meminatinya.

Sungai Perak, Tasik Raban, Tasik Beng dan ratusan tasik kecil serta suak memang lubuk bagi pencinta aktiviti memancing ikan toman, haruan, Kuang, kerandang, bujuk, tilapia, kalui, baung, udang galah dan sebagainya.

Aktiviti menarik di Hulu Perak tidak terhenti setakat itu sahaja kerana musim ikan mudik ke hulu untuk melepaskan telur adalah pesta tahunan bagi nelayan yang patut dimasukkan juga ke dalam kalendar pelancongan.

Setiap April dan Mei, Julai hingga November adalah pesta ikan loma, patin, kelabau dan Jelawat di Sungai Perak, terutama di perairan sebelah hulu Empangan Chenderoh hingga Empangan Kenering yang berpotensi menarik kunjungan pelancong.

Pesta loma di Kuala Rui di Gerik pula terbukti sebagai pesta tahunan (biasanya pada setiap April dan Julai) yang dikunjungi ribuan penangkap ikan dengan hanya nenggunakan penyauk, termasuk dari Kedah, Kelantan, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, pelbagai produk yang penulis senaraikan sekiranya dimanfaatkan secara yang lebih praktikal, Hulu Perak sangat berpotensi besar untuk menjadi destinasi menarik pada masa depan.

Justeru, cadangan mewujudkan Geopark Kebangsaan dan Santuari Gajah Perak sudah tentu sebagai pelengkap lebih menarik lagi kepada produk-produk sedia ada.

Geopark Kebangsaan seluas 1,762 kilometer persegi juga dilaporkan akan dibina di Lenggong dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka mempunyai pelbagai tarikan semula jadi.

Seekor anak gajah diselamatkan PERHILITAN Johor selepas didapati lebih seminggu berkeliaran secara bersendirian di kawasan Batu 7 Jalan Mawai (Jalan Kota Tinggi-Mersing) sebelum dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Pahang bagi tujuan pemulihan. -Foto NSTP/Ihsan PERHILITAN
Seekor anak gajah diselamatkan PERHILITAN Johor selepas didapati lebih seminggu berkeliaran secara bersendirian di kawasan Batu 7 Jalan Mawai (Jalan Kota Tinggi-Mersing) sebelum dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Pahang bagi tujuan pemulihan. -Foto NSTP/Ihsan PERHILITAN

Pembangunan Geopark Lenggong itu akan menjadi yang kedua di Perak selepas Geopark Lembah Kinta yang diwujudkan pada 2018.

Lenggong sudah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO, justeru wajar usaha ke arah itu wajar direalisasikan.

"Pembangunan di Lenggong berbeza dengan Geopark lain kerana kita akan gabungkan pembangunan dan penjenamaan secara mampan supaya ia mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Lenggong mempunyai elemen dan ciri-ciri yang tersendiri seperti gua, tasik dan rekreasi. Pembangunan kawasan itu nanti akan dapat menarik kehadiran ramai pelancong sebagaimana di Sarawak dan Pulau Langkawi.

Itu di Lenggong dengan Geoparknya, di Gerik pula di bawah kementerian sama, akan di bangunkan Santuari Gajah Perak di atas kawasan seluas 40 hektar dengan kos RM40 juta yang telah pun dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan ia adalah yang ketiga di negara ini selepas Terengganu dan Johor.

Selain itu, terdapat 120 ekor gajah mendiami hutan simpan di Perak dengan majoriti 90 hingga 100 ekor terdapat di Hulu Perak.

Lebih menarik, dua projek besar yang akan bermula awal tahun depan bakal menjadi daerah itu berpotensi menarik kunjungan ramai pelancong dalam dan luar negara.

Berita Harian X