Ahad, 5 Julai 2020 | 11:01am
Rumah lama orang Perak di Kompleks Desa Warisan iGROW antara tarikan di kompleks berkenaan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
Rumah lama orang Perak di Kompleks Desa Warisan iGROW antara tarikan di kompleks berkenaan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

'Buru' keenakan durian Paduka

TERLETAK kira-kira 70 kilometer (km) dari Ipoh dan kira-kira 25 km dari Teluk Intan, Kampung Gajah, Perak sering menjadi destinasi pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Kompleks Sejarah Pasir Salak untuk mendalami kesan warisan budayanya.

Kompleks itu memorial penting yang menghargai dan mengabadikan jasa, pengorbanan pahlawan tempatan seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharaja Lela dalam mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Bagaimanapun, bukan sahaja menjadi tumpuan pencinta sejarah tanah air, Kampung Gajah turut menjadi antara lokasi tumpuan 'hantu' raja buah terutama yang mengemari durian kampung setiap kali tiba musimnya, selain di Batu Kurau.

Nyatanya kunjungan ke Kampung Gajah boleh diibaratkan seperti serampang dua mata kerana bukan saja boleh melawat tempat bersejarah sekali gus memburu durian nombor satu di Perak suatu ketika dahulu iaitu D148 atau lebih dikenali sebagai durian Paduka.

Pemilik Kompleks Desa Warisan iGROW, Nordin Abdul Malek, 48, berkata, Kampung Gajah bukan sahaja terkenal dengan sejarahnya namun turut dikenali dengan keenakan durian terutama durian Paduka.

Replika durian gergasi dibina di Kampung Pasir Salak, Gajah yang menjadi identiti kampung berkenaan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
Replika durian gergasi dibina di Kampung Pasir Salak, Gajah yang menjadi identiti kampung berkenaan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Durian Kampung Gajah antara yang diburu peminat raja buah itu pada musim durian. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
Durian Kampung Gajah antara yang diburu peminat raja buah itu pada musim durian. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

"Sejak dahulu Kampung Gajah sudah menguasai sektor durian dan raja buah itu melambangkan identiti ekonomi penduduk kawasan berkenaan.

"Dahulu nilai kekayaan seseorang itu bergantung dengan jumlah dusun durian yang dimilikinya. Durian di sini memang terkenal dan sering dicari pengemarnya termasuk durian Paduka," katanya.

Nordin berkata, durian Paduka adalah durian kampung yang ditanam dan dikomersialkan oleh arwah bapanya, Abdul Malek Kulub Aji.

Katanya, lebih istimewa jenis durian berkenaan menjuarai pertandingan durian di Perak pada 1985 dan 1995 sebelum didaftarkan sebagai D148 oleh Jabatan Pertanian.

"Di sini lebih 100 pokok pelbagai jenis dan kira-kira 10 hingga 15 pokok adalah durian Paduka.

"Jumlah pokok berkurangan kerana transfomasi dusun dan banjir besar enam tahun lalu. Semusim dusun kami boleh menghasilkan tiga tan iaitu 1,500 hingga 2,000 buah termasuk satu tan atau 500 biji durian Paduka," katanya.

Isi durian paduka yang pernah dinobatkan durian terbaik di Perak dan mendapat tempat pertama dalam pertandingan buah itu. - Foto ihsan IGROW
Isi durian paduka yang pernah dinobatkan durian terbaik di Perak dan mendapat tempat pertama dalam pertandingan buah itu. - Foto ihsan IGROW

Beliau sudah membangunkan kompleks warisan desa yang menawarkan agro pelancongan sejak 2012.

"Kompleks kami mempunyai 13 bilik yang boleh menempatkan 60 orang dan pelanggan akan di bawa berjalan ke dusun dengan menawarkan suasana kampung sebenar.

"Mereka boleh makan durian terus dari dusun dan duduk di dangau. Sudah ramai pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk diplomat asing datang ke sini merasai keenakan durian paduka.

"Bagaimanapun, kami tidak menjual buah di luar sebaliknya ia untuk pelanggan resort, keluarga dan rakan. Ia juga dijadikan 'penghubung' atau pengerat hubungan," katanya.

Seorang pengunjung, Cheong Weng Chow, 70, daripada Ipoh berkata, menikmati durian di dusun dalam suasana perkampungan sebenar memberikan pengalaman menarik yang sukar diperolehi di tempat lain.

Pengunjung Kompleks Desa Warisan iGROW, Kampung Gajah tidak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan cara membawa durian pada zaman dahulu. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
Pengunjung Kompleks Desa Warisan iGROW, Kampung Gajah tidak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan cara membawa durian pada zaman dahulu. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

"Penginapan di sini juga menarik dengan suasana kampung yang mendamaikan. Saya teruja dapat mengutip dan menikmati durian yang luruh dari pokok sekali gus dapat belajar mengenai durian.

"Setiap kali musim durian saya akan ke sini untuk menikmati keenakan durian paduka. Kami akan tunggu buah luruh dan makan terus di dusun kerana lebih tenang dan seronok," katanya.

Pengunjung, Albert Lee, 59, pula mengelarkan dirinya 'hantu' durian dan mengakui mengemari durian paduka kerana mempunyai ulas yang banyak biarpun bersaiz sederhana selain rasanya yang manis dan berlemak.

"Saya suka durian kampung terutama durian Paduka dan bagi saya rasanya setanding dengan Musang King. Warna dan baunya juga menarik tetapi ia agak terhad, siapa cepat dia dapat.

"Saya juga suka makan durian di dusun kerana perasaannya lebih berbeza berbanding di rumah kerana di sini suasananya lebih tenang," katanya.

Pengunjung gembira menikmati durian dan buah-buahan tempatan lain di dangau. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
Pengunjung gembira menikmati durian dan buah-buahan tempatan lain di dangau. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Berita Harian X