Ahad, 3 November 2019 | 10:01am
AKTIVITI beriadah di KLCC. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Taman KLCC tumpuan riadah warga kota

MENGHABISKAN masa sepanjang hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat tidak semestinya memerlukan modal wang ringgit seperti membeli tiket ke taman tema air atau ekstrem, menonton wayang, masuk taman permainan komersial mahupun pusat hiburan berkeluarga.

Bagi mereka yang mementingkan soal perbelanjaan, ia sebenarnya boleh dilakukan tanpa sebarang bayaran meskipun hidup di bandaraya metropolitan andainya bijak merancang untuk memberi kegembiraan kepada keluarga.

Bagi warga kota lazimnya kesemua pergerakan memerlukan perbelanjaan, ia termasuk soal parkir kenderaan, masuk ke sesuatu tempat komersial, makan dan minum malah membuang air juga ada kosnya.


AKTIVITI beriadah di KLCC. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Namun, tidak sekiranya hujung minggu dapat membawa keluarga ke Taman KLCC yang memiliki pelbagai kemudahan rekreasi yang memenuhi kehidupan sosial masyarakat di ibu kota.

Seawal jam 7 pagi lagi, kawasan berkenaan sudah dipenuhi orang ramai yang tiba awal untuk melakukan aktiviti seperti berjoging sambil menyedut udara segar di kawasan taman yang memiliki hampir 2,000 pokok matang dari 66 spesis palma.

Siapa sangka dengan kawasan taman buatan manusia seluas 20 hektar ini turut menarik pelbagai spesis burung yang masih mampu berkicau meskipun berada di tengah-tengah kepesatan pembangunan pencakar langit, khususnya ikon mercu tanda kebanggaan negara, Menara Berkembar PETRONAS KLCC.

Selain memiliki laluan berjoging yang selesa sejauh 1.3 kilometer (km), Taman KLCC juga menjadi antara tarikan ibu bapa membawa anak-anak kecil kerana adanya kolam mandi. Bermula jam 10 pagi, kolam ini dibuka kepada umum khususnya untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah saja.


AKTIVITI beriadah di KLCC. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Air terjun dengan ketinggian tiga meter dan lebih 10 meter panjang menjadi tarikan kanak-kanak yang girang bermandi-manda di bawahnya dengan berlatar belakangkan menara berkembang tertinggi di dunia itu.

Warga Poland, Kamila Mysiewicz, 33, berkata kunjungan pertama kali ke taman itu mengubah persepsi dirinya yang mengakui tidak semua perkara bermanfaat dilakukan memerlukan perbelanjaan.

“Ini kali pertama saya berkunjung ke Taman KLCC selepas diberitahu sahabat bahawa kawasan itu memang selesa, selamat dan menyeronokkan bagi kanak-kanak.


PELANCONG dari Jerman menemani anaknya bermain buaian.

“Tidak sangka memang masih ada lokasi riadah terutamanya di tengah-tengah Kuala Lumpur yang memiliki kolam mandi untuk kanak-kanak disediakan tanpa bayaran.

“Memang tujuan utama saya ke sini adalah untuk membawa anak saya yang berusia dua tahun untuk mandi dan sudah menyediakan pakaiannya dari awal. Malah kemudahan tandas untuk menukar pakaian juga berada berdekatan memudahkan semua pengunjung yang membawa anak kecil,” katanya.

Kamila yang mengikuti suaminya berkerja di negara ini juga melihat persekitaran taman rekreasi itu juga tempat yang selamat meskipun menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.


AKTIVITI berjoging di Taman KLCC turut menjadi pilihan pelancong.

“Saya melihat di mana-mana saja ada pengawal keselamatan yang menjaga pengunjung ke taman ini malah mereka yang datang ke sini juga amat disiplin dan patuh kepada peraturan yang disediakan pihak pengurusan Taman KLCC,” katanya.

Bagi pengunjung tempatan, Mohan Teagarajah, 38 berkata, persekitaran yang cantik, suasana yang tenang dan kemudahan yang selesa menambat hatinya yang pertama kali berkunjung ke Taman KLCC.

“Meskipun kawasan taman ini dikunjungi ramai pengunjung baik warga kota mahupun pelancong luar negara, namun saya masih merasa selesa kerana persekitarannya luas.


AKTIVITI beriadah di KLCC. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

“Masing-masing bersama keluarga dengan aktiviti sendiri, ada yang membawa anak-anak mandi-manda, ada yang berjoging, berjumpa kawan-kawan malah ada kumpulan yang melakukan aktiviti ‘treasure hunt’ (pencarian harta karun) membuatkan kawasan ini cukup ceria dan menyeronokkan.

“Bagi saya ini adalah kawasan riadah yang cukup strategik di tengah ibu kota Kuala Lumpur, apatah lagi mengutamakan aspek keselamatan bagi pengunjung dalam mahupun tetamu negara iaitu pelancong luar negara,” katanya yang turut membawa anak-anaknya bermandi-manda di situ.

Selain kolam mandi, tarikan utama lain buat kanak-kanak adalah taman permainannya yang cukup luas dikhususkan hanya untuk kanak-kanak.

Mereka boleh memanjat, bergayut, menggelungsur, melompat dengan yakin memandangkan segala peralatan mengutamakan ciri-ciri keselamatan di mana lantainya dipasang dengan getah dari bahan EPDM (campuran bahan getah polimer, etilena, propilena dan diololin) yang mengelak dari kecederaan serius apabila jatuh dalam keadaan terhempas.

Info

* Taman berhadapan pusat membeli-belah Suria KLCC.

* Taman KLCC dibuka serentak sempena pembukaan Menara Berkembar PETRONAS KLCC pada tahun 1999.

* Turut memiliki jambatan sepanjang 43 meter yang melintasi tasik dan menjadi lokasi terbaik untuk bergambar berlatar belakangkan Menara KLCC.

* Terdapat tasik buatan, Lake Symphony dengan keluasan 10,000 meter persegi berserta sistem air pancutan setinggi 42 meter dengan pencahayaan berwarna-warni yang boleh diatur cara.

* Taman KLCC mendapat cetusan idea oleh jurubina dari Brazil, Roberto Burle Marx.

Berita Harian X