Ahad, 22 September 2019 | 10:00am
SUNGAI Jengka.

Nampak jin di dalam air

“KAMU berasal dari mana? Saya berasal dari Jengka”. Soalan itu antara yang paling lazim ditanya apabila seseorang berjumpa individu lain.

Jengka, Pahang yang memasuki 53 tahun ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak bagi menyahut cabaran jihad bangsa Melayu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan yang jauh daripada kemajuan dan pembangunan di bandar.

Jengka meliputi projek Rancangan Pembangunan Tanah yang diusahakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak 1966 bagi sektor pertanian kelapa sawit dan getah.

Menjadi kawasan pertanian terbesar di Semenanjung meliputi kawasan Temerloh, Jerantut dan Maran atau digelar Jengka Tiga Segi.

Ada cerita unik yang ramai masyarakat tidak tahu bagaimana kewujudan nama Jengka. Berdasarkan sejarah, nama Jengka diambil daripada nama sebatang sungai kecil yang terdapat di situ iaitu Sungai Jengka.

Namun terdapat dua mitos perbandingan bagaimana asal nama Jengka itu diperoleh.


MOHD Faizal Mat Jusoh.

Pegawai Tadbir Bahagian Pengurusan Felda Wilayah Jengka, Mohd Faizal Mat Jusoh, berkata terdapat dua pendapat berbeza yang menceritakan mitos asal usul nama Jengka.

Katanya, antara mitos yang popular adalah mengenai pasangan suami isteri dalam kalangan Orang Asli yang hidup berhampiran sebatang sungai yang mengalir deras.

Setiap hari isterinya akan menunggu kepulangan suaminya di beranda yang mengadap sungai sambil mengait segumpal benang.

Di tangannya sentiasa dipegangnya alat mengait yang dipanggil jangka. Ketika leka mengait, alat jangka yang dipegangnya terjatuh ke dalam sungai.

“Oleh kerana terlalu sayangkan jangka itu, dia menangis dan kebetulan suaminya pulang. Suaminya berusaha menyelam untuk mencari alat jangka itu, namun gagal dan akhirnya sungai itu diberi nama Jengka kerana peristiwa itu,” katanya.

Mitos kedua, biasanya diceritakan orang kampung mengisahkan seorang perempuan Orang Asli yang dirasuk makhluk halus dengan teruk.

Dia langsung tidak boleh menjejak kakinya ke tanah. Kemudian Tok Batin berusaha untuk mengubatinya. Maka dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan.

Sebatang sungai yang mengalir deras dipilih di tengah rimba. Apabila perempuan itu memasukkan kakinya ke dalam sungai, ternampak kelibat orang ramai di dalam air.

Masing-masing berkata-kata, “Jin kah?”. Berikutan itu penduduk mula memanggil nama sungai itu sebagai Sungai Jengka,” katanya.


FELDA Residence Tekam.

Bukan sekadar nama, Jengka terus membangun dan mempunyai beberapa destinasi menarik berhampiran kawasan itu, antaranya Pusat Latihan Pertanian Tun Abdul Razak (FELDA Residence Tekam) yang menawarkan pelancongan bertemakan pertanian, kompleks gua Kota Gelanggi.

Mempunyai rangkaian gua di Gunung Senyum. Berhampiran dengan Felda Ulu Jempol terdapat satu kawasan pelancongan berasaskan air terjun, iaitu Lubuk Yu.

Airnya dingin dan kehijauan hutannya menarik ratusan pengunjung pada hujung minggu. Kedudukannya hanya 15 kilometer (km) dari Bandar Jengka,” katanya.


STADIUM Jengka.

Menurut Mohd Faizal, pembangunan Tanah Jengka Tiga Segi memiliki 30 rancangan termasuk lima tanah rancangan yang dibuka lebih awal seperti Tanah Rancangan Ulu Jempol, Sungai Tekam, Sungai Nerek, Kampung Awah dan Bukit Tajau.

“Selain itu, tanah rancangan di Wilayah Jengka dinamakan Jengka 1 hingga Jengka 25. Setiap kawasan Jengka dihuni antara 300 hingga 600 penduduk.

“Tumpuan utama penduduk Jengka adalah Bandar Jengka atau digelar Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang kini memiliki banyak tarikan antaranya Stadium Jengka, FELDA Residence Tekam, Teratak Mercu Resort, Gunung Senyum, Gua Kota Gelanggi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Jengka, air terjun Lubuk Yu, Lubuk Ujid, Taman Tema Air Jengka Wonderland dan banyak lagi.

Info: Mengenai Jengka

* Mempunyai keluasan 121,407 hektar

* Kira-kira 54,734 hektar ditanam kelapa sawit, getah dan koko.

* Setiap tanah rancangan di wilayah dinamakan Jengka 1 hingga Jengka 25.

* Panggilan diberikan penduduk Jengka dikenali sebagai Peneroka.

* Jengka juga diduduki penduduk berasal dari semua negeri di seluruh Semenanjung.

Berita Harian X