Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:57am
Taman Tema Escape, di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Beriadah dalam hutan

Beriadah dalam hutan berlatar belakangkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna, permainan lasak, aktiviti ekstrem serta meneroka terowong membuatkan pengunjung tidak mahu keluar dari ‘daerah’ ini.

Semua itu ada di Taman Tema Escape, di Teluk Bahang, Pulau Pinang dengan pelbagai tarikan termasuk mengimbau permainan zaman kanak-kanak seperti memanjat pokok, meneroka terowong, berlumba menggunakan tiub serta cabaran di awangan seperti ‘flying fox’ dan ‘kite flyers’.

Dibuka pada Disember 2012 mempunyai lima fasa pembinaan secara berperingkat iaitu tema air, taman aktiviti riadah, hotel, taman haiwan dan taman pengembaraan flora fauna.

Dua fasa membabitkan bahagian riadah, Adventure Play dan taman tema air, Water Play manakala fasa ketiga taman permainan Gravity Play sedang dalam pembinaan.


Antara aktiviti santai dan ekstrem yang terdapat di Taman Tema Escape.

Banyak tarikan pengunjung

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sim Leisure Group, Sim Choo Kheng, berkata taman tema terbabit sudah mempunyai lebih 40 tarikan utama di Water Play dan Adventure Play.

Katanya, Adventure Play ada 20 tarikan aktiviti untuk pengunjung kembali ke zaman kanak-kanak, selain permainan tradisional Skill Game Area seperti memanjat pokok kelapa, galah panjang, takraw, congkak, tuju kasut dan lain-lain lagi.

“Menggabungkan aktiviti moden dan tradisional mengimbau permainan zaman kanak-kanak.

“Kita sediakan aktiviti sambil kekalkan elemen semula jadi di kawasan hutan supaya tidak merosakkan flora dan fauna,” katanya ditemui, baru-baru ini.

Permainan kanak-kanak

Di zon Adventure Play, permainan seperti Monkey Business cukup menguji stamina kerana perlu menempuh beberapa halangan seperti memanjat menggunakan tali dan melakukan flying fox.

Jika mahu menguji adrenalin, boleh cuba Atan’s Leap yang perlu melakukan terjunan bungee pada ketinggian lebih 20 meter, selain memanjat tembok batu di Gecko Tower, meluncur merentasi hutan menerusi Flying Lemur, lompatan Airbag dan akrobatik.

‘Discovery Dig, Jumping Jack, Monkey School dan Zoom Bug disediakan untuk kanak-kanak.


Antara aktiviti santai dan ekstrem yang terdapat di Taman Tema Escape.

Melihat musang buah, ulat gonggok menyamai saiz dua jari dewasa dan beberapa spesies burung adalah antara pengalaman yang akan pe­­ngunjung temui.

Selain itu, di Water Play, pengunjung boleh mencuba beberapa permainan gelongsor dan luncur air, Speed Racer, Super Looper, Mega Drop dan Family Twister.

Gelongsor terpanjang di dunia

Lebih menarik, gelongsor sepanjang 1,140 meter (m) sekali gus dijangka menjadi gelongsor terpanjang di dunia mengatasi rekod dunia di New Jersey, Amerika Syarikat, bakal beroperasi sikit masa lagi.

Fasa ketiga itu membabitkan pembinaan gelongsor menghubungkan Adventure Play dan Water Play itu kini berada dalam fasa ketiga iaitu di Gravity Play.

“Kira-kira RM10.6 juta kos pembinaannya dijangka siap hujung bulan ini dan dibuka pada Ogos depan.

“Orang ramai boleh menggelongsor ke bawah dan menyeberangi Jalan Teluk Bahang di sebelah jambatan gantung dan berakhir di kolam renang taman tema air,” katanya.

Taman tema itu yang terbaik di Malaysia seperti tersenarai dalam laman penilai percutian antarabangsa, TripAdvisor.

INFO: Tarikan taman tema
• Gelongsor 1,1210 meter siap pada 2018

Tarikan baharu:

• Kereta kabel sepanjang 400 meter dengan 30 kerusi

• Perjalanan : bas Rapid-Penang di Terminal Bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) - 45 minit.

• #kw Escape, gelongsor air, terpanjang di dunia, Teluk Bahang.

Berita Harian X