LAZIMNYA apabila memilih percutian di pesisiran pantai atau melancong ke pulau peranginan, antara aktiviti popular yang sering menjadi pilihan dalam kalangan pengunjung ialah selam skuba.
Ini menjadikan kawasan selaman atau dive site menampilkan panorama mempesona untuk diteroka keindahan ‘dunia fantasi’ bawah laut.
Bagi menikmati aktiviti itu, individu atau pelancong wajib memiliki lesen selam skuba diiktiraf oleh Professional Association of Diving Instructors (PADI), selain perlu mengeluarkan kos tinggi untuk kemudahan pengangkutan, penginapan, sewaan peralatan selam skuba, bot dan sebagainya.
Yang tidak berkemampuan dan mahu memilih pelancongan bajet, tetapi minat selam skuba, bagaimana mereka patut buat?
Persoalan itu terjawab apabila peminat selam skuba tidak perlu lagi ke pesisiran pantai atau bertandang ke pulau untuk merealisasikan impian mereka.
Sebaliknya boleh bersantai di pusat beli-belah kerana kemudahan aktiviti berkenaan disediakan apabila kolam renang diibaratkan seperti laut, sedia menyambut kehadiran pengunjung yang mahu menambah ilmu dan meningkatkan kemahirannya.
Pusat selam skuba, Sealantis Dive Centre terletak di aras LG, Promenade Lakeside, 1Utama di Petaling Jaya bakal merealisasikan tiga kategori pengunjung iaitu tidak berani melakukan selam skuba di laut, namun minat mencuba terutama dalam kalangan mereka yang berusia dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Pengunjung yang berminat mencuba melakukan selam skuba di laut, boleh mengambil lesen PADI dan menjadikan pusat berkenaan sebagai persiapan awal sebelum ujian dilakukan di Pulau Tioman, selama tiga hari, dua malam.
PADI Diving Instructor, Wong Wei Soong berkata, kategori pengunjung paling popular ialah dalam kalangan pelancong yang meminati aktiviti selam skuba.
Bagaimanapun, tidak mempunyai banyak waktu bertandang ke pesisiran pantai atau pulau melakukan aktiviti berkenaan, sebaliknya dengan memilih percutian di Lembah Klang terutama di Petaling Jaya, mereka boleh mengunjungi pusat 1Utama untuk merealisasikan impian itu.
“Pengunjung boleh melakukan confined water dive di pusat skuba kami untuk membiasakan diri dengan persekitaran di lautan.
“Paling penting sebaik masuk ke dalam air dengan peralatan selam skuba yang lengkap, jangan panik dan bernafas perlahan-lahan. Ikuti setiap arahan atau isyarat tangan apabila berada di dalam air. Seterusnya ambil lesen dan anda layak selam skuba di laut,” katanya.
Bagi graduan Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Seri Iskandar, Perak, Nur Nadia A Razak, 22, yang meminati selam skuba selepas menonton beberapa program dokumentari mengenai aktiviti berkenaan di televisyen, memilih pusat itu bagi merealisasikan impiannya memperoleh lesen PADI, seterusnya meneroka keindahan dasar laut.
“Saya nak cuba apa yang dinamakan selam skuba. Inilah pengalaman pertama saya melakukan selam skuba. Saya tiada masa bercuti di pantai mahupun pulau kerana komitmen kerja.
“Tak sangka di pusat beli-belah juga ada tempat skuba dan kolam renang yang menyediakan latihan praktikal sebelum mengambil lesen penuh di Pulau Tioman.
“Sebaik masuk dalam air, perasaan gementar terus hilang, sebaliknya berkobar-kobar ingin merasai pengalaman ‘terbang’ bebas.
“Apabila dilengkapi semua peralatan selam skuba, saya rasa lebih yakin melakukan confined water dive. Selalu tengok dalam televisyen sahaja orang pergi pulau untuk menyelam, hari ini saya sendiri berada di bawah permukaan air walaupun di dasar kolam renang,” katanya.
Beliau berkata, secara peribadi pengunjung kali pertama ingin kenal selam skuba, sebaiknya masuk kolam renang dulu kerana lebih selamat daripada terus di laut.
“Lokasi pusat skuba ini sangat strategik kerana terletak dalam pusat beli-belah. Sangat praktikal terutama dalam kalangan pelancong yang tiada masa ke pulau, tapi lepas ‘gian’ selam skuba di destinasi percutian mereka,” katanya lagi.
Fakta nombor
INFO