Jumaat, 11 Ogos 2017 | 12:08am
BERTARUNG dengan udang di Sungai Kawi adalah satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata. - Foto Khalid Latip

Sungai Kawi tumpuan pemburu 'Sepit biru'

SARIKEI: Sungai Kawi mungkin tidak 'sepopular' sungai lain di Sarawak, namun ia yang terletak di Bintangor, di sini cukup dikenali dalam kalangan si pemburu 'sepit biru' dari segenap pelusuk negeri ini.

Ia cukup terkenal sebagai syurga udang galah dalam kalangan kaki pancing, lebih-lebih lagi saiznya lebih besar berbanding udang galah dari sungai lain di Bumi Kenyalang, menyebabkannya sering menjadi buruan.

Malah, bukan suatu pemandangan pelik melihat deretan kaki pancing berbaris panjang di tebing sungai itu bagi memburu 'raja udang' berkenaan apabila tiba musimnya, sekali gus membantu memperkenalkan bandar ini.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) St Andrew Sare, Azeman Akel, 45, berkata beliau sering mengail 'raja udang' itu bersama rakan setugasnya pada setiap hujung minggu atau cuti sekolah.


AZEMAN menunjukkan sepit biru yang ditewaskannya di Sungai Kawi. - Foto Khalid Latip

"Di Sungai Kawi, saiz udang galah lebih besar, dengan isinya lebih manis dan kenyal. Justeru, tidak menghairankan apabila ia mendapat jolokan 'Raja Udang'.

"Biasanya, kunjungan ke Sungai Kawi tidak menghampakan. Tidak pernah saya pulang 'tangan kosong', dengan purata hasil tangkapan diraih setiap kali memancing di sini mencecah antara dua hingga tiga kilogram," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh singkat mereka mampu 'mendaratkan' udang galah bersepit panjang dan biru bercampur dengan beberapa spesis ikan termasuk buris, baung dan sembilang.

"Tidak hairanlah hasil tangkapan yang banyak ini menimbulkan rasa 'ketagih' memancing di sini. Malah, ada kaki pancing turut menaiki sampan dan menggunakan jalan bagi menangkap 'Raja Udang'," katanya.


AZEMAN (kanan) dan rakannya menikmati pemandangan di Sungai Kawi. - Foto Khalid Latip

Azeman ketika mengulas lanjut, berkata Sungai Kawi menawarkan suasana memancing mengasyikkan, namun perlu sentiasa berhati-hati dengan kemunculan 'Raja Sungai' yang sentiasa keluar memburu mangsanya.

"Kaki pancing memang sedia maklum pantang larang di sungai. Biasanya, jika ada banyak udang galah, terutama di kawasan lubuk, sudah pasti ada sang bedal. Jadi, perlu sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsanya," katanya.

Sebagai langkah persediaan ujarnya, pemancing perlu mendapat sedikit tips bagi mengelak sebarang masalah.

"Udang makhluk sungai yang agak sensitif. Justeru, dalam sebuah perahu tidak boleh terlalu ramai. Paling sesuai dua orang sahaja. "Biasanya, cacing, jantung ayam dan anak udang kecil boleh menjadi umpan yang paling baik.


AHMADI Abu Bakar menunjukkan sebahagian hasil yang diperoleh di Sungai Kawi. - Foto Khalid Latip

"Dalam pada itu, jangan menyentap tali kail jika udang menariknya ke dalam lubuk berkayu. Ini kerana udang biasanya akan keluar sendiri dari celah kayu itu. Waktu itu, barulah boleh ditarik," katanya.

Bagi rakannya, Yunus Basir, 57, keseronokan memancing di Sungai Kawi bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti menangkap udang tetapi juga pemandangan persekitaran sungai yang tenang.

Katanya, pengunjung yang menyusuri Sungai Kawi akan melihat pemandangan menarik dan keindahan pelbagai jenis tumbuhan di sepanjang pesisiran sungai tersebut.

Malah, ujarnya, sungai itu juga menyimpan pelbagai khazanah kerana pemancing berpeluang menaikkan bermacam-macam jenis ikan air tawar.

Bagi Yunus, tempat yang paling digemarinya ialah di kawasan redup, celahan pokok dan air kurang berarus kerana di situlah lubuk udang.

"Apa pun, keseronokan menaikkan si sepit biru di Sungai Kawi adalah satu pengalaman dan kepuasan yang sukar digambarkan. Tidak semua orang merasainya, " tambahnya.

Berita Harian X