ANJING milik Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) diberi nama seperti Blake, Grouse, Lady, Denti, Frankie dan Pop menjadi bualan hangat, lebih-lebih lagi kehebatan haiwan itu mengesan mayat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, pada 16 Disember lalu.
Tragedi yang mengorbankan 31 nyawa itu, secara tidak langsung membuatkan ramai mulai sedar peranan 'wira' sang anjing yang membawa penemuan mangsa timbunan tanah runtuh terbabit.
Berpeluang 'melawat' Jim, Lady, Grouse dan seekor lagi anjing di ibu pejabat K9 Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur bagaimanapun tetap 'membekas' perasaan gusar, gementar tatkala dibawa mendekati sel sang wira.
Ia seolah-olah menghampiri rumah diawasi anjing garang, apabila haiwan itu tidak henti-henti melompat dan menyalak, tampak agresif seakan mahu menerkam keluar.
Tetapi perasaan itu beransur-ansur hilang, apabila anjing itu kelihatan faham dan 'mendengar kata', Pegawai Bomba Tinggi K9, P Ravi, yang tampak mesra memanggil nama anjing itu dengan nada lembut.
Sebenarnya tidak semua anjing dan bukan jenis menyerang atau mencederakan manusia hingga ada ramai membela sebagai haiwan peliharaan, menjaga rumah ataupun kebun, berikutan masih ada jenis anjing jinak dan tindakan refleks menyalak itu adalah biasa apabila didekati orang tidak dikenali.
Melihat pelbagai jenis baka, saiz dan carta timbangan berat yang diambil secara berkala, rata-rata anjing itu kelihatan 'mesra' dan ketika gambar dirakamkan, pegawai bomba itu langsung tidak kekok membelai muka haiwan itu sambil secara sepontan mengucupnya mesra.
Pelbagai baka anjing
Bagi Ketua Unit Pengesan (K9), Donny Chap, memaklumkan JBPM memiliki 28 anjing dengan setiap daripadanya mempunyai pengendali atau lebih dikenali sebagai 'dog handler' masing-masing.
Malah katanya, lebih unik lagi, setiap haiwan itu mempunyai nama panggilan seperti Lady, Grouse, Denti, Frankie, Pop, Rusty serta banyak lagi.
"Unit K9 ini mempunyai pelbagai baka anjing yang dilatih mengikut penugasan tersendiri dan semuanya adalah baka yang diperoleh dari United Kingdom (UK).
"Anjing pengesan dipilih adalah dari negara yang sudah diisytiharkan bebas penyakit rabies bagi mengelakkan risiko penyakit itu," katanya selain ibu pejabat yang merangkumi seluruh Semenanjung, K9 mempunyai dua pejabat lagi, iaitu Sabah dan Sarawak.
Untuk rekod, virus rabies boleh berjangkit kepada manusia apabila anjing gila atau haiwan lain seperti kelawar, musang, tikus dan monyet menggigit manusia atau apabila air liurnya bersentuhan dengan luka, lelasan atau kesan calar.
Hanya bertugas bawah 10 tahun
Menurut Donny, seekor anjing mempunyai hayat penugasan selama lapan tahun dan sekiranya masih sihat akan dipanjangkan hingga 10 tahun.
Selepas tempoh itu akan 'dibersarakan' kerana ia tidak efektif lagi untuk digunakan akibat faktor usia yang menyebabkan antibodinya kian lemah dan mudah diserang penyakit dengan tahap kesihatan haiwan itu juga diperiksa oleh doktor veterinar secara berkala.
"Kebiasaan kita beli anjing sebelum usianya dua tahun dan pada usia ini anjing-anjing ini sangat sesuai digunakan di dalam kerja di dalam jabatan.
Apa yang istimewa, anjing mempunyai deria pengesanan sangat baik dan 100 peratus tepat yang tiada pada manusia.
"Rutin kita di sini, selain melatih anjing, kakitangan akan membuat kerja penyelenggaraan anjing seperti 'grooming' bagi memastikan anjing berada di dalam keadaan sebaiknya serta mengakrabkan lagi 'chemistry' di antara anjing dan pemegang.
"Sebab itu 'dog handler' mempunyai hubungan psikologi yang sangat akrab dan mampu membaca 'fikiran' anjing dan proses ini memerlukan masa," katanya.
Banyak catat kejayaan
Malah, beliau tidak menafikan apabila peranan unit K9 JBPM dikatakan semakin dikenali ramai selepas Tragedi Batang Kali walaupun pada hakikatnya, banyak operasi-operasi yang seumpamanya dilaksanakan sebelum ini dengan kejayaan dan kehebatan anjing yang membantu menyelesaikan tugas pasukan bomba.
Katanya, tidak hairanlah haiwan comel, kecil serta cekap dalam menemukan mangsa tragedi Batang Kali sentiasa jadi perhatian lensa kamera hingga wira K9 terbabit diangkat sebagai 'hero' kerana jasanya dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan.
"Sebab itu anjing pengesan ini lebih jinak, mesra kepada manusia berbanding anjing yang dimiliki Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lebih garang dan bersaiz besar kerana tugasannya terarah kepada jenayah.
"Jadi kita akan latih anjing-anjing ini sesuai dengan disiplin pengesanan yang kita ada. Realitinya haiwan ini mempunyai 'mood', boleh kepenatan jika berterusan dikerah bekerja. Untuk kerja-kerja pengesanan berskala kecil kita akan menggunakan dua ekor anjing sahaja, bagaimanapun jumlah akan ditambah sekiranya skala pencarian meningkat.
"Mengambil contoh operasi Batang Kali, ia suatu tempoh yang boleh dikatakan panjang, kita atur strategi supaya anjing K9 tidak kepenatan dan membiarkan memberikan ia bertugas secara bergilir seperti pasukan penyelamat lain," katanya.
Lebih menarik lagi, Donny berkata, anjing daripada unit K9 sesekali akan dibawa keluar 'dog walking' sebagai aktiviti riadah di persekitaran luar seperti taman atau tempat sesuai, dengan pengendalinya memakai pakaian seragam.
Malah baru-baru ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menganugerahkan pingat 'Golden Performance' kepada Blake, Lady, Grouse dan Pop sempena Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023 yang berlangsung di Putrajaya.
Diberi tugasan ikut kategori tragedi
Menurut Donny lagi, terdapat beberapa kategori pengesanan selain daripada mengesan mangsa yang sudah meninggal dunia.
Mengesan punca-punca kebakaran yang membantu pasukan siasatan kebakaran jabatan, mengesan mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan dan mengesan mangsa yang tersesat dan hilang di dalam hutan.
"Misalnya, Grouse tidak melakukan semua aspek terbabit. Ia dikhaskan mencari mayat mangsa meninggal dunia bukan sahaja di runtuhan tanah, tapi pakar mengesan orang lemas.
"Anjing K9 ini akan dikawal untuk menjalankan tugasan pencarian secara bergilir, setiap selama 10 ke 20 minit di satu-satu lokasi pencarian secara ulangan sekiranya diperlukan dan diberi rehat yang cukup sebelum memulakan kerja agar tahap pengesanannya sentiasa efektif," katanya.
Beliau menjelaskan unitnya itu mempunyai tiga pasukan dengan setiap satunya mempunyai empat disiplin pencarian berbeza dengan kekuatan sekurang-kurangnya enam ekor anjing setiap disiplin.
Anjing cari mayat
Selain itu katanya, anjing daripada disiplin 'Cadaver'(mayat) berupaya meredah selut tebal yang terhasil daripada runtuhan tanah, seperti berlaku di tapak perkhemahan Father's Organic Farm.
Lebih istimewa mengenai karakter anjing K9 ketika membuat pencarian, Donny menjelaskan, anjing itu tahu ia perlu bertugas apabila pengendalinya menyarungkan 'dog's harness' khas sebagai 'trigger' untuknya membuat kerja pengesanan.
'Dog's Harness' jaket keselamatan
"Jika disarung 'Dog's Harness' jaket keselamatan, ia tahu ia perlu bekerja.
"Ia akan duduk atas bot, kalau ia akan jumpa apa-apa petunjuk ia akan menyalak atau menunjukkan reaksi minat. Kita akan 'mark' tempat itu dan minta pasukan penyelam turun untuk menaikkan mangsa," katanya.
Bantuan anjing itu sekali gus membantu mempercepatkan dan memudahkan pencarian pasukan mencari dan menyelamat.
Ketika penulis dibawa melihat sang wira itu, Jim adalah jenis English Springer Spaniel iaitu anjing (jantan) pengesan yang cukup berpengalaman dalam siasatan kebakaran, yang mana haiwan itu di bawah tanggungjawab Dylan Scorp anak Sarip.
Seperti diberitahu pegawai bertugas, setiap anjing K9 mempunyai kemampuan deria bau luar biasa dengan kelebihan 10,000 hingga 100,000 kali ganda lebih kuat berbanding manusia.
INFO:
Tugas utama Unit K-9 Bomba
1. Urban Disaster Search and Rescue (UDSAR)
* Mengesan mangsa terperangkap dalam tanah runtuh, runtuhan bangunan atau runtuhan struktur dalam tanah.
2. SAR Wilderness
* Mengesan jejak mangsa yang sesat/hilang dalam hutan, gua atau tanah tinggi.
3. SAR Cadaver
* Mengesan mayat mangsa di darat atau di air.
Boleh mengesan bau mayat sehingga 5 meter
di bawah tanah dan 30m di bawah air.
4. Fire Investigation (FI)
* Membantu siasatan pengesanan punca kebakaran yang sukar dikenal pasti atau ada unsur khianat (sengaja dibakar).
Baka Border Collie
* Anjing paling pintar di dunia
* Bijak mempelajari arahan baharu
* Tangkas, stamina tinggi (asal dibiakkan untuk mengembala kambing biri-biri)