Selasa, 10 Januari 2023 | 2:47pm

Kombinasi konsep Hieroglif, zaman purba dan teknologi terkini, tarik perhatian

SHAH ALAM: Kombinasi konsep Hieroglif, pada zaman purba dengan teknologi telefon pintar antara hasil karya pelukis tempatan yang menjadi perhatian menerusi Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2022 (PTGSA 22), bermula 3 Januari hingga akhir bulan ini.

Karya Salyuddin Yusof, 47, antara lima pemenang Anugerah Insentif Pameran Terbuka Shah Alam, menjelaskan beliau mengambil masa sebulan menyiapkan lukisannya termasuk mengembangkan idea menerusi dokumentari sejarah zaman purba.

Pelukis berasal dari Terengganu itu, berbekal pengalaman 20 tahun sebagai pereka grafik di pelbagai syarikat mengetengahkan karya bertajuk 'Imaginasi Pintar + Komunikasi' yang memaparkan (penggunaan) telefon pintar pada masa kini.

"Saya olah dalam bentuk Hieroglif iaitu lukisan zaman purba. Jadi, saya ambil konsep zaman itu diolah dan jadikan gambaran kehidupan seharian manusia pada hari ini dengan telefon pintar.

"Lukisan Hieroglif ini membawa maksud simbol yang terdapat pada lukisan itu di mana telefon pintar ada simbol tertentu.

"Saya guna warna kebiruan dalam lukisan dipanggil negatif foto..Kita boleh muat turun aplikasi photo negative dan melalui aplikasi ini, dapat melihat warna sebenar seperti Hieroglif di zaman purba dahulu," katanya pada perasmian PTGSA22 yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Suzlee Ibrahim di sini hari ini.

Selain Salyuddin, empat pemenang lain adalah Mohamad Najib Ismail (The Uncharted Landscape –Aftermath 02), Mohd Amirudin Rasid (Community Forest: a Bioogical Biodiversity), Nurain Fatini Abdul Jalil (Thank You) dan Yap Chee Keng (Sunshine).

Menurut Penolong Kurator GSA, Nur Syafiqah Zainal, sebanyak 134 hasil karya meliputi lukisan arca, cetakan dan fotografi dipamerkan.

"Penyertaan meningkat dua kali ganda berbanding ketika pandemik dan karyanya berkualiti dan bagus.

"Karya dilihat (berdasarkan) lima kriteria antaranya idea, konteks, kekemasan dan bahan digunakan.

"Isu diketengahkan lebih kepada romantisme seperti kasih ibu, pemanasan global memandangkan tema kita 'Bebas'. Kali ini juga menarik kerana terdapat kebangkitan arca di mana sambutan arca menggalakkan," katanya.

Saban tahun pameran ini berjaya mengetengahkan bakat karyawan seni visual baharu khususnya pelukis muda dalam membina karier sebagai pengkarya kontemporari menerusi Anugerah Insentif Pameran Terbuka Shah Alam.

"Karya seni visual bertemakan 'Bebas' ini memberi ruang kepada pengkarya berekspresi lebih kreatif menerusi hasil karya itu.

"Pelbagai program menarik seperti Anugerah Insentif Pameran Terbuka, pertandingan seperti 'Live Drawing' dan lakaran Galeri Shah Alam turut diadakan," katanya.

Salyuddin bersama lukisannya bertajuk Imaginasi Pintar + Komunikasi di pamerkan di PTGSA22, Galeri Shah Alam.- Foto/Faiz Anuar
Salyuddin bersama lukisannya bertajuk Imaginasi Pintar + Komunikasi di pamerkan di PTGSA22, Galeri Shah Alam.- Foto/Faiz Anuar
Berita Harian X