Selasa, 6 Disember 2022 | 11:55am
Penyakitt bawaan air dan makanan termasuk taun, demam kepialu, cirit-birit berdarah, Hepatitis A dan Leptospirosis atau kencing tikus. - Foto hiasan
Penyakitt bawaan air dan makanan termasuk taun, demam kepialu, cirit-birit berdarah, Hepatitis A dan Leptospirosis atau kencing tikus. - Foto hiasan

Ancaman penyakit bawaan air

SETIAP kali musim banjir ramai yang bimbang bukan sahaja banyak kawasan tertentu termasuk kediaman serta tanah rendah akan tenggelam, malah mudah diancam penyakit bawaan air dan makanan.

Meskipun, kejadian banjir besar pasti berlaku setiap tahun, ia masih menghantui mereka kerana ia menyebabkan kemusnahan harta benda dan paling dikhuatiri adalah kemungkinan peningkatan kes mangsa dijangkiti penyakit berkenaan. juga tinggi.

Penyakit bawaan air dan makanan atau 'food and water-borne disease' adalah penyakit berpunca daripada kuman yang terdapat dalam makanan serta minuman sudah tercemar.

Antara penyakit bawaan air dan makanan termasuk taun, demam kepialu, cirit-birit berdarah, Hepatitis A dan Leptospirosis atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing tikus.

Justeru, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Mobilisasi Komuniti Bahagian Pendidikan di Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Mohd Razif Zakaria menyarankan untuk menjaga kebersihan diri serta minum air yang sudah dimasak atau mineral ketika tibanya musim banjir.

"Terutama yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), mereka perlu mempertingkatkan kebersihan diri kerana banyak menggunakan fasiliti yang sama di bangunan berkenaan, contohnya menggunakan tandas serta memegang tombol pintu yang sama.

"Mungkin ada individu lain duduk di PPS itu menghidap selesema, mengalami cirit-birit dan sekiranya kebersihan itu tidak dijaga, bakteria yang ada itu boleh menjangkiti orang lain.

"Disebabkan itu, kita selalu nasihatkan mereka supaya selalu membersihkan tangan mengikut tujuh langkah mencuci tangan bagi mengelakkan penyakit bawaan air dan makanan menjangkiti individu berkenaan," katanya.

Minum air dimasak dan ditapis

Dr Mohd Razif berkata, mangsa banjir ini juga disarankan minum air sudah dimasak atau air mineral dibekalkan sahaja.

Dr Mohd Razif Zakaria
Dr Mohd Razif Zakaria

"Jangan minum air terus daripada paip kerana kita tidak mengetahui punca air berkenaan. Ini termasuk air seperti 'water cooler' yang disediakan di PPS berkenaan.

"Water cooler itu adalah air paip yang ditapis dan kita tidak tahu sumber atau tangki bagi saluran air berkenaan sama ada ia mengalami pencemaran atau tidak. Mungkin ada pencemaran dekat tangki utama air. Jadi elakkan," katanya.

Tambahnya, pemakanan semasa musim banjir juga perlu dititik beratkan dan memastikan dimasak dengan betul.

"Sekiranya berada di rumah pada musim banjir, kita faham ketika itu agak susah untuk dapatkan bekalan makanan dan mungkin ada yang mengambil sayur-sayuran yang ditanam di belakang rumah dan makannya secara mentah.

"Kita nasihatkan supaya mereka masak dahulu makanan itu dan elakkan makan secara mentah kerana ia boleh menyebabkan penyakit berkenaan. Elakkan juga makan makanan yang basi," katanya.

Pakai pelitup muka, ikut SOP

Dr Mohd Razif berkata, etika penjagaan kebersihan itu sebenarnya sudah boleh diterima oleh masyarakat, apa lagi negara berdepan dengan penularan COVID-19 lebih dua tahun.

"Sekarang ini penggunaan cecair pembasmi kuman bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat di negara ini, malah kini ia masih digunakan orang ramai.

"Pemakaian pelitup muka pun kini masih digunakan dan menjadi budaya walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan ia sudah tidak diwajibkan. Jadi kita mahu mereka ini meneruskan perkara ini ketika musim banjir iaitu menjaga kebersihan dan memakai pelitup muka.

"Kita mahu pada musim banjir ini, ketika mereka berada di PPS untuk kekal menjadi kesihatan diri dan amalkan pemakaian pelitup muka, terutama ketika ada ahli keluarga yang selesema atau sebarang jenis gejala.

Jaga kebersihan diri, kawasan persekitaran minum air dimasak ketika terutama ketika musim banjir.- Foto/AFP
Jaga kebersihan diri, kawasan persekitaran minum air dimasak ketika terutama ketika musim banjir.- Foto/AFP

"Elakkan berada dalam kumpulan yang ramai sebab berkemungkinan ia akan menjangkiti orang, walaupun ia bukan pembawa COVID-19, tetapi jika selesema pun boleh menjangkiti orang lain. Maka terus amalkan prosedur operasi standard (SOP) ketika COVID-19, Insya-Allah dapat menghindarkan penyakit," katanya.

Dr Mohd Razif turut menasihatkan mereka yang berada di kawasan berisiko banjir dan mempunyai pesakit terlantar untuk mengambil tindakan awal dengan menghantar pesakit ke kawasan yang tidak berisiko.

"Apa yang boleh kita nasihatkan, kalau ada ahli keluarga yang mempunyai pesakit kronik atau terlantar, bersedia lebih awal dan pindahkan pesakit ke tempat yang lebih selamat sama ada di PPS atau hantar ke rumah ahli keluarga yang tidak berada di kawasan berisiko banjir.

"Selain persediaan pesakit, kita juga nasihatkan supaya mereka menyediakan rekod perubatan, ubat-ubatan, serta keperluan peribadi yang mahu dibawa bersama," katanya.

Jenis penyakit bawaan air dan makanan

  • Keracunan makanan (contoh jangkitan kuman E-coli, salmonella)
  • Taun
  • Demam kepialu (tifoid)
  • Disentri
  • Heptitis A

Langkah pencegahan penyakit bawaan air

  • Pastikan sumber air bersih
  • Basuh tangan guna air bersih
  • Minum air dimasak
  • Basuh buah, sayur sebelum makan
  • Jauhi makanan masih mentah
  • Kupas kulit buah sebelum makan
  • Basuh perkakasan seperti pinggan, cawan, sudu dengan air bersih
Berita Harian X