Isnin, 28 November 2022 | 11:05am
Pengalaman lima petugas PDU terbabit dalam nahas helikopter di Brinchang, tidak melemahkan semangat mereka untuk beri khidmat perubatan kepada masyarakat. - Foto/Ihsan PKD Kinta.
Pengalaman lima petugas PDU terbabit dalam nahas helikopter di Brinchang, tidak melemahkan semangat mereka untuk beri khidmat perubatan kepada masyarakat. - Foto/Ihsan PKD Kinta.
Petugas PDU sedia bertugas memberi khidmat perubatan kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang. - Foto/ PKD Kinta.
Petugas PDU sedia bertugas memberi khidmat perubatan kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang. - Foto/ PKD Kinta.
Berpanas untuk waktu lama bertugas di luar kawasan memberi kepuasan pastikan masyarakat mendapat khidmat perubatan terbaik. - Ihsan/ PKD Kinta.
Berpanas untuk waktu lama bertugas di luar kawasan memberi kepuasan pastikan masyarakat mendapat khidmat perubatan terbaik. - Ihsan/ PKD Kinta.

Helikopter dinaiki tiba-tiba berpusing, dipukul angin lintang sebelum terhempas

Berpantang maut sebelum ajal. Berdepan dengan pelbagai cabaran, situasi yang mendebarkan dan berisiko kehilangan nyawa atau kecederaan, antara asam garam dilalui, demi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.

Umpamanya, kejadian helikopter dipukul angin lintang dan berpusing di udara pada ketinggian 1,524 meter dari atas laut sebelum terhempas, antara tragedi nahas dilalui Pasukan Doktor Udara (PDU), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Perak, terus terpahat dalam memori.

Itulah antara pengalaman pahit getir dilalui oleh PDU Kementerian Kesihatan (KKM) ketika memberikan perubatan terbaik kepada masyarakat terutama di kawasan pedalaman.

Dalam kebanyakan senario di kawasan terpencil tidak mempunyai akses jalan darat, sesetengahnya perlu merentasi hutan belantara, bukit-bukau meredah sungai, lantas memerlukan perkhidmatan 'doktor udara' untuk ke sana.

Lazimnya, selepas PDU berlepas dari sesebuah hospital atau klinik kesihatan dengan helikopter ke sesuatu kawasan tugasan, mereka akan menyambung lagi perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4X4) merentasi jalan berbatu, tanah merah, jika hujan laluan berlumpur ke lokasi tujuan.

Semua cabaran itu tidak pernah dihiraukan PDU, demi memberi rawatan kesihatan kepada penduduk terpencil seperti penempatan Orang Asli.

Pengalaman mendebarkan

Bagi Pegawai Perubatan, Dr Murnirah Abd Rahman yang sudah empat tahun di PKD Kinta, Perak, mengakui melalui pelbagai pengalaman mencabar membuatkan dirinya lali.

Beliau yang juga antara lima PDU yang terbabit insiden nahas helikopter pada 26 Oktober lalu di Brinchang, Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini sebenarnya masih trauma, namun itu tidak melemahkan semangat bertugas.

Ketika kejadian, pasukan mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh, selepas selesai menjalankan sesi klinik berkala di perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Beliau yang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang, pada ketika itu tidak dapat nampak dengan jelas pemandangan di hadapan.

Cuma cuaca kurang baik ketika melalui lokasi kejadian dan berasa amat berdebar-debar tetapi masih percaya helikopter akan dapat melaluinya dengan selamat.

Namun, dalam tempoh singkat katanya, helikopter dinaikinya tiba-tiba berpusing dengan laju menyebabkannya terus menutup mata kerana berasa amat takut dan hanya teringat merasa suatu hentakan kuat.

"Apabila terjaga saya dapati sudah berada di atas tanah dalam keadaan badan yang amat sakit dan terus cuba menggerakkan kaki serta tangan bagi memastikan keadaan anggota badan.

Dr Murnirah ketika memberi khidmat sesi klinik di kawasan penempatan Orang Asli di Gua Musang. - Foto/PKD Kinta
Dr Murnirah ketika memberi khidmat sesi klinik di kawasan penempatan Orang Asli di Gua Musang. - Foto/PKD Kinta

"Ketika itu, saya hanya mampu panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana masih bernyawa walaupun mengalami kecederaan dan merasa sangat terkejut dengan situasi berlaku terlalu pantas itu," katanya.

Tugas doktor udara unik

Ibu kepada dua anak itu berkata, sudah sedia maklum pelbagai risiko bakal dihadapi ketika mula menyertai pasukan itu

"Jujur saya masih terbayang situasi yang dialami, tetapi ia tidak melemahkan semangat untuk kembali bertugas dan 'terbang' semula.

"Saya sudah mendapat semangat dan sokongan tidak putus daripada anggota pasukan. Mereka juga masih bersemangat tinggi untuk berkhidmat walaupun selepas mengalami insiden ini," katanya.

Beliau berasal dari Batu Gajah, Perak menjelaskan ketika mendapat peluang menyertai PDU pada 2019 lalu, suaminya Abdul Latif Ab Razak, 38, dan keluarganya banyak memberikan sokongan.

Bertugas sebagai 'doktor udara' adalah tugas yang unik, membuatkan dirinya teruja, apatah lagi ia dapat menerokai kawasan pedalaman.

Tiada talian telefon, sesi klinik dijalankan di kawasan luar dan waktu tugasan yang tidak menentu.

"Ada hari ketika cuaca tidak mengizinkan, kami tidak dapat terbang ke kampung Orang Asli. Biasa juga sudah terbang, tetapi terpaksa patah balik kerana cuaca buruk di pertengahan jalan.

"Ada juga hari ketika dalam perjalanan pulang kami terkandas dan terpaksa bermalam. Ini cabaran biasa dilalui sebagai PDU," katanya.

Teruja lihat pemandangan alam

Akuinya, sehingga kini setiap kali perlu bertugas menaiki helikopter dia akan merasa teruja kerana berpeluang melihat pemandangan pergunungan dan perkampungan Orang Asli yang indah.

Inilah pengalaman amat berbeza apabila bertugas menaiki kenderaan darat.

Pengalaman terkandas di kawasan perkampungan Orang Asli ketika memberi khidmat perubatan tidak pernah melunturkan semangat beri khidmat perubatan kepada golongan itu. - Foto/Ihsan PKD Kinta
Pengalaman terkandas di kawasan perkampungan Orang Asli ketika memberi khidmat perubatan tidak pernah melunturkan semangat beri khidmat perubatan kepada golongan itu. - Foto/Ihsan PKD Kinta

"Jika berdepan situasi seperti angin kuat dan cuaca buruk, sudah pasti akan ada perasaan berdebar-debar tetapi saya dan pasukan bertawakal kepada Tuhan dan mempercayai kemampuan juruterbang berpengalaman membawa kami kerana mereka lebih arif.

"Kami puas dan pengalaman bermakna dapat membantu Orang Asli memerlukan khidmat kesihatan berada pada tahap baik," katanya.

Meredah jalan tanah merah, berlumpur dan becak tidak pernah dihirau petugas PDU. - Ihsan PKD Kinta.
Meredah jalan tanah merah, berlumpur dan becak tidak pernah dihirau petugas PDU. - Ihsan PKD Kinta.

Murnirah teruja mahu memulakan tugas PDU yang kini ditangguhkan sementara sehingga Januari depan selepas kejadian nahas itu.

Anggota PDU terbabit juga memerlukan masa untuk memulihkan semula kesihatan sepenuhnya dari segi fizikal dan mental.

"Saya berharap seluruh pasukan dapat berbakti semula seperti biasa kepada masyarakat Orang Asli pedalaman," katanya.

Beliau bangga mampu menabur bakti khidmat kesihatan Orang Asli termasuk penjagaan ibu hamil, penjagaan tumbesaran dan imunisasi kanak-kanak, rawatan penyakit kronik seperti darah tinggi, strok, kencing manis dan rawatan pesakit luar.

Sejak 2019, PDU menawarkan perkhidmatan bakul makanan kepada kanak-kanak Orang Asli kekurangan zat makanan berikan susu formula khas serta multivitamin di lima kampung.

"Kita juga melakukan penerbangan kecemasan atau (MEDEVAC) bagi pesakit ketika sesi klinik PDU dan memerlukan rawatan kecemasan di hospital atau ibu hamil sarat menunggu masa bersalin," katanya.

Berita Harian X