MENYAKSIKAN deretan 108 trak kawalan jauh (RC) termasuk lori, treler, kontena dan jentolak membuatkan rata-rata peminat permainan RC terpegun kecomelannya, namun bentuknya persis kenderaan berat sebenar yang berada di jalan raya.
Pencinta trak RC dan pengunjung juga teruja mahu melihat aksi kenderaan berat itu bertanding di litar, yang turut dibina sama seperti jalan raya sebenar.
Seawal 8 pagi, kawasan di Trek RC Truck, Ulu Klang Remote Control Club (UKRCC) AU3, Keramat, di Kuala Lumpur ini, sudah mula dibanjiri pengunjung dan pemilik kenderaan RC yang berkumpul sempena pertandingan dan perjumpaan Mega Lori RC berskala Malaysia 2022 (RCSTM), baru-baru ini.
Lokasi diwujudkan lebih dua tahun lalu seluas 1.2 hektar itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk trek jalan raya.
Trak pelbagai jenis, jenama dan bentuknya nampak comel, tapi 'ganas' apabila kenderaan berat itu bergerak bagaikan 'raja membelah' trek berkenaan juga seolah-olah sama seperti kenderaan biasa di jalan raya .
Lebih menarik, mereka mahu melihat 27 peserta trak RC berentap menentukan siapa paling pantas melalui trek sepanjang lebih 100 meter sambil merentasi lima halangan mengikut syarat pertandingan.
Semua treler dan kontena RC bersaiz kecil sepanjang 1.25 meter dan seberat dua kilogram (kg) dikawal peserta dengan alat kawalan jauh perlu melalui selekoh, simpang empat, jambatan dan banyak kon di kiri dan kanan trek.
Di sekeliling trek juga ada pelbagai replika bangunan dibina seperti stesen minyak, kilang, kawasan perumahan dan bukit-bukau, yang perlu ditempuhi peserta sebelum tiba di garisan penamat.
Berbanding perlumbaan kereta RC yang mempertaruhkan kelajuan untuk merangkul kejuaraan, tetapi pertandingan lori RC lebih kepada keupayaan mengendalikan kenderaan dan melepasi halangan disediakan.
Pengerusi RC Scale Truck Malaysia, Mohamad Rafiz Abu Bakar, berkata peserta yang mengikut syarat pertandingan termasuk dari segi penampilan trak RC di trek, kemahiran fungsi dan kawalan kenderaan.
Katanya, antara cabaran mereka adalah perlu melalui empat pintu dengan setiap pintu mempunyai dengan 30 kon di kiri kanan jalan dan 10 penghadang.
"Jika banyak kon jatuh akan ditolak markah, selain kelebihan lain berkaitan kemahiran kawalan RC dan masa terpantas tiba di garisan penamat dinobatkan sebagai juara," katanya.
Berkongsi pengalaman, juara pertandingan itu, Mohd Faizal Mohd Junaidi, 32, yang mengendalikan treler RC berjaya mencatat kepantasan, iaitu lima minit 30 saat dengan pungutan mata sebanyak 100.
"Dalam pertandingan itu, saya berjaya mengawal kenderaan berat ini dengan baik dan tanpa melanggar atau menjatuhkan kon.
"Ketika pertandingan saya memerlukan ketelitian dan tumpuan mengawal treler RC, sama seperti mengendalikan lori kontena sebenar.
"Semasa saya bermain lori RC saya berhati-hati untuk tidak melanggar apa-apa halangan. Seperti membawa lori macam itulah saya mengawal lori RC," kata Faizal yang juga pemandu lori," katanya.
Beliau yang membelanjakan RM10,000 bagi persiapan pertandingan dengan melakukan pengubahsuaian termasuk kontena, bahagian rangka lori RC dan beberapa bahagian lain untuk mendapatkan rupa lebih realistik.
"Sebelum bertanding ini saya juga memastikan supaya semua bahagian lori RC saya berfungsi kerana ada markah. Saya dari Alor Setar, Kedah, agak jauh daripada sini. Oleh itu penting untuk saya pastikan semuanya berjalan dengan lancar.
"Sebenarnya saya tiada niat untuk bertanding. Pada asalnya saya cuma mahu berjumpa rakan yang mempunyai minat sama. Apabila saya mencuba nasib, saya berjaya jadi juara. Ini rezeki saya," katanya.
Faizal turut berkongsi minatnya terhadap lori RC sejak zaman kanak-kanak dan mula mengumpul trak bermula enam tahun lalu.
Perlu bijak kawal kenderaan berat
Menurut penganjur RCSTM, Ahmad Saiful Izan, 42, pertandingan membabitkan trak RC mementingkan aspek realistik.
Katanya, jika lihat di jalan raya ada lori besar membelok di simpang, mengelak halangan di jalan dan meletakkan lori di parkir.
"Bagaimanapun, bagi pertandingan RC ini peserta perlu mengawal kenderaan berat mengelak pelbagai rintangan dibina di trak pada skala kecil.
"Semakin banyak kon yang dilanggar, semakin sikit mata yang diperoleh peserta dan yang paling sedikit melakukan kesilapan akan dinobatkan sebagai juara," katanya yang membelanjakan RM60,000 untuk memiliki 10 jenis kenderaan berat RC seperti bas, jentolak dan jengkaut.
Minat Ahmad Saiful berputik dalam bidang itu sejak 2017 selepas program dikendalikan oleh peminat hobi itu, berkata mengendalikan trak RC memang mencabar kreativiti dan kemahiran dengan cekap.
Bagi beliau aktiviti perjumpaan dengan lebih 100 ahli dalam persatuan itu, selain penganjuran pertandingan seumpamanya dapat berkongsi pengalaman, ilmu dan kemahiran termasuk menaik taraf lori RC mereka pada setiap hujung minggu.
Baginya hobi ini, sama sahaja seperti konvoi yang disertai oleh peminat motosikal berkuasa tinggi.
Minat yang turut disertai tiga anak lelakinya dan akan mewariskan koleksi trak itu kepada mereka untuk meneruskan aktiviti lasak itu, meskipun ia adalah hobi yang mahal.
Minat main trak RC
Bagi penganjur bersama RCSTM, Azizon Yusoff, 42, menganggap permainan trak RC amat unik sebagai sukan ekstrem lain daripada yang lain.
"Menariknya kita dapat merasai permainan ini seperti memandu kenderaan betul, apabila di sekeliling trek ada pelbagai replika bangunan sebenar dibina seperti stesen minyak, kilang, kawasan kediaman, cerun, lopak dan bukit -bukau," katanya.
Jadi apabila bertanding, replika dibina dapat menaikkan suasana pertandingan supaya menjadi lebih meriah.
Malah pelekat yang ditampal pada lori RC perlu mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika tidak lori RC akan ditahan oleh kereta RC JPJ.
"Kami tidak mahu bertanding di tempat yang kelihatan kosong. Sebagaimana kami mahu lori RC sama seperti lori sebenar, kami juga mahukan laluan yang digunakan lori RC sama seperti jalan raya yang kita guna hari-hari," katanya.
Pembabitannya dalam bidang ini kerana suka melihat lori kontena di jalan raya. Malah, beliau sanggup menunggu di laluan yang digunakan oleh lori untuk melihatnya pada waktu petang.
"Ketika kecil saya memang minat sangat dengan lori kontena ini. Cita-cita saya untuk memiliki koleksi lori kontena. Untuk mencapai cita-cita itu saya perlu menjadi pemilik syarikat lori. Perkara itu agak mustahil bagi saya.
"Jadi, saya mula mengumpul lori RC walaupun tidak mempunyai lori yang sebenar, replika sahaja sudah cukup menggembirakan saya," katanya.
Hobi mahal, perlu perbelanjaan tinggi
Tiada had untuk kreativiti. Segala reka bentuk lori yang kita inginkan boleh diubahsuai pada lori RC," katanya.
Walaupun hobi ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi, tetapi bagi Azizon ia berbaloi kerana lori RC ini adalah satu permainan yang cermat.
Pemilik lori hanya perlu mengeluarkan belanja jika mahu menaik taraf atau mengubah suai lori berbanding kereta RC yang perlu dibaiki setiap kali pertandingan disebabkan kerosakan yang berlaku apabila bertembung dengan trek atau kereta RC yang lain.