Selasa, 4 Oktober 2022 | 8:34am
Ketam betina mengeluarkan telur yang banyak. - Foto/Ihsan UMT
Ketam betina mengeluarkan telur yang banyak. - Foto/Ihsan UMT

Setiu jadi kawasan pembenihan ketam bakau

Bagi peminat makanan laut seperti 'shell out', sudah pasti mahukan kerang dan ketam yang bersaiz besar sebagai hidangan.

Saiz hidangan yang besar dan memuaskan hati tambah menyelerakan.

Terdapat beberapa spesies ketam boleh didapati mudah di pasaran dan setiap jenis mempunyai rasa, bentuk dan saiz berbeza bergantung kepada habitat dan spesies.

Bagaimanapun, rata-rata penggemar ketam memilih ketam bunga sebagai hidangan dalam pelbagai resipi masakan.

Ia dikatakan mempunyai isi yang agak manis, tekstur isi pejal dan tebal manakala biru pada cengkerang akan bertukar menjadi merah selepas masak.

Ada spesies ketam sering dikaitkan dengan khasiat dan mampu menyembuhkan penyakit, iaitu ketam nipah atau dikenali sebagai ketam bakau.

Permintaan tinggi spesies ketam itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada populasi haiwan terbabit ketika ini.

Ketam nipah - Foto/Ihsan UMT
Ketam nipah - Foto/Ihsan UMT

Kajian habitat ketam bakau

Justeru, penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau sejak dulu.

Menerusi Institut Akuakultur dan Tropika (AKUATROP) UMT, kajian dijalankan bukan hanya tertumpu kepada ketam, malah pelbagai bidang berkaitan pengkulturan, pembiak-bakaan, pembenihan terhadap udang, ketam, ikan, belangkas, kuda laut dan banyak lagi.

Pengarah AKUATROP, Prof Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah, berkata pelbagai inisiatif dijalankan terhadap pembenihan ketam bakau bagi meningkatkan populasi spesies itu terutama di Setiu, Terengganu.

Program khas dijalankan sejak 2014 di tanah lembap Setiu, selain pelbagai usaha secara saintifik diperkenalkan bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Objektif program ini adalah untuk menghasilkan formulasi makanan untuk larva dan induk ketam bakau, meningkatkan kematangan kelenjar reproduksi (gonad) induk ketam bakau dan kualiti serta kadar hidup benih ketam itu.

"Kita mengkaji keberkesanan sistem kandang ketam terhadap jumlah populasi ketam bakau di habitat semula jadi serta mengkaji keberkesanan aktiviti ternakan ketam dalam sistem itu," katanya.

Tambah baik teknologi penghasilan benih

Mhd Ikhwanuddin berkata, hasil kajian mendapati terdapat peningkatan populasi ketam di kawasan itu.

Ia berlaku selepas penganjuran program membabitkan masyarakat setempat dilaksanakan bersama dan UMT mendapatkan induk ketam.

"AKUATROP berrjaya menambah baik teknologi penghasilan benih ketam bakau di lokasi memproduksi benih, selain mewujudkan pusat penetasan benih ketam secara semula jadi di kawasan tanah lembap itu," katanya.

Pusat penyelidikan berkaitan spesies ketam memastikan populasi tidak pupus. - Foto/Ihsan UMT
Pusat penyelidikan berkaitan spesies ketam memastikan populasi tidak pupus. - Foto/Ihsan UMT

Beliau berkata, usaha untuk tujuan kegunaan penyelidikan, peningkatan populasi ketam dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti setempat.

Ia sekali gus mencerminkan hubung kait antara gedung ilmu yang memiliki kepelbagaian bidang kepakaran dalam memberikan faedah serta manfaat kepada masyarakat setempat.

"Malah projek seperti ini juga turut menterjemahkan slogan Universiti Untuk Masyarakat," katanya.

Berita Harian X