Isnin, 3 Oktober 2022 | 8:17am
Jumlah pendaratan penyu di Semenanjung dianggarkan melebihi 9,500 pendaratan setahun. - Foto hiasan
Jumlah pendaratan penyu di Semenanjung dianggarkan melebihi 9,500 pendaratan setahun. - Foto hiasan

Penyu minta 'nyawa'

PENYU menjadi antara hidupan marin yang sentiasa dinantikan kehadirannya sama ada untuk mendarat atau bertelur di pantai.

Terdapat tujuh spesies penyu di dunia manakala di Malaysia terdapat empat spesies penyu iaitu penyu belimbing (Dermochelys coriacea), penyu agar (Chelonia mydas), penyu karah (Eretmochelys imbricata) dan penyu lipas (Lepidochelys olivacea).

Bagaimanapun, penyu belimbing dan penyu lipas semakin sukar ditemui ketika ini manakala penyu agar dan penyu karah masih boleh dijumpai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beberapa negeri di Semenanjung yang mempunyai pendaratan penyu adalah Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Pulau Pinang.

Terengganu masih menjadi lokasi pendaratan penyu yang tertinggi di Semenanjung terutama di Pulau Redang, Pulau Perhentian, Geliga, Kerteh, Rantau Abang dan Setiu.

Pendaratan 80 peratus penyu di Terengganu

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Mohd Sufian Sulaiman, kawasan berkenaan sentiasa menjadi pilihan untuk penyu mendarat kerana beberapa faktor iaitu kawasan pantai mempunyai percampuran pasir kasar dan pasir halus menghasilkan pengudaraan baik dan sesuai untuk telur penyu menetas.

Katanya, kawasan pantainya agak landai dan paras air pasang tinggi membolehkan penyu tidak menggunakan banyak tenaga untuk sampai ke paras hendak bertelur.

"Pulau Redang dan Pulau Perhentian menjadi kawasan lokasi pendaratan tertinggi di Terengganu kerana kawasan pantai agak terpencil jauh daripada gangguan manusia dan juga cahaya lampu dari resort.

"Kewujudan pokok renek pantai seperti jambu laut, pandan, merambong serta pokok rhu juga dapat menghalang berlaku

hakisan bagi mengelak kerosakan habitat penyu," katanya.

Bedah siasat kematian penyu agar di FRIRA bersama Jabatan Perkhidmatan Vaterinar mendapati punca penyu mati akibat termakan sampah, plastik .Foto/Ihsan Jabatan Perikanan
Bedah siasat kematian penyu agar di FRIRA bersama Jabatan Perkhidmatan Vaterinar mendapati punca penyu mati akibat termakan sampah, plastik .Foto/Ihsan Jabatan Perikanan

Jumlah pendaratan penyu di Semenanjung dianggarkan melebihi 9,500 pendaratan setahun dengan lebih daripada 80 peratus di Terengganu.

Penyelidikan pengeraman penyu

Beliau berkata, pendaratan penyu di Semenanjung bermula pada April hingga Oktober setiap tahun dengan Jun dan Julai adalah musim pendaratan penyu paling tinggi.

Paling tinggi pendaratan disebabkan ada ibu penyu baharu yang mula menjadi matang dan datang ke pantai untuk bertelur seakan meminta 'nyawa' untuk terus hidup dan membiak.

"Pemanasan global yang meningkat menyebabkan kadar metabolisme penyu menjadi tinggi dan ia menghasilkan kadar pendaratan juga meningkat.

"Pada masa itu, kecerunan pantai rendah, paras pasang surut yang tinggi membolehkan penyu lebih mudah menghampiri dune untuk bertelur berbanding pada musim tengkujuh, iaitu November hingga Mac ombak besar dan bergelora terutama di pantai timur boleh menghasil hakisan yang teruk dan membentuk kecerunan pantai tinggi serta menjadikan pantai lebih sempit," katanya.

Mohd Sufian berkata, pada 2020 jumlah pengeraman telur penyu di Semenanjung dianggarkan sebanyak 779,918 biji dengan jumlah penetasan berjumlah 515,112 biji atau 66 peratus.

Namun, kadar penetasan ini rendah dan perlu ditingkatkan dan kini Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu sedang menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan kadar penetasan telur penyu di pusat penetasan di Semenanjung bagi memastikan kadar penetasan telur penyu melebihi 80 peratus.

"Antara kajian dijalankan ialah struktur pasir, kaedah membawa telur penyu daripada sarang asal ke pusat penetasan dan bakteria serta parasit pada pasir sarang penyu dan telur penyu yang tidak menetas" katanya.

Penyu agar, karah dan lipas dalam kolam, antara spesies terancam diletakkan di dalam kolam untuk pendidikan serta penyelidikan konservasi. - Foto/Ihsan Jabatan Pertanian
Penyu agar, karah dan lipas dalam kolam, antara spesies terancam diletakkan di dalam kolam untuk pendidikan serta penyelidikan konservasi. - Foto/Ihsan Jabatan Pertanian

Kawasan kritikal pembiakan, pendaratan penyu

Penyu sentiasa migrasi dari satu tempat ke tempat bertujuan mencari makanan dan tempat perlindungan.

Selepas musim bertelur, penyu akan berada di tempat itu sehingga tiba semula musim bertelur baru menghampiri pantai.

Oleh itu, tempat kritikal pembiakan penyu di kawasan tempat penyu tinggal, mencari makan dan berlindung.

Kajian pengesanan satelit dijalankan FRI Rantau Abang menunjukkan kawasan utama ada rumput laut jadi makanan penyu agar.

Kawasan di Johor, Sabah, Sarawak, kepulauan Indonesia dan kepulauan Filipina, jadi tumpuan haiwan itu.

"Jadi, penting kawasan kritikal itu dijaga dari segi biodiversiti dan ekologi bagi memastikan ia mampu kekal untuk jangka masa panjang.

Pantau kawasan kritikal

Kawasan kritikal bagi pendaratan penyu di kawasan hakisan dan pembangunan pantai. Kawasan kritikal di Rantau Abang dan Setiu, Terengganu; Pulau Upeh, Melaka; Telaga Papan dan Mersing, Johor; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pasir Panjang, Segari, Perak.

"Kawasan ini, tidak dijaga dengan sebaiknya akan berlakunya kepupusan," katanya.

Berdasarkan maklumat, penduduk tempatan memaklumkan ada menemui telur penyu lipas di pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Justeru, ketika ini FRI Rantau Abang sedang menjalankan pemantauan di kawasan itu bagi mengenal pasti kesahihan maklumat itu.

"Tahun ini, hanya satu kawasan baharu dikenal pasti sebagai kawasan pendaratan penyu, iaitu di pantai Teluk Ketapan, Pulau Pangkor, jadi pusat penetasan di kawasan itu," katanya.

Datuk Mohd Sufian Sulaiman
Datuk Mohd Sufian Sulaiman

Pelbagai ancaman menyebabkan jumlah kematian penyu di Malaysia semakin meningkat dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berpunca daripada aktiviti antropogenik (manusia) dan semula jadi.

Ancaman semula jadi adalah seperti hakisan pantai, kerosakan habitat penyu disebabkan bencana alam dan ancaman daripada pemangsa seperti biawak, burung, anjing dan lain-lain.

"Ancaman antropogenik dilakukan manusia seperti pemburuan haram oleh nelayan asing, penggunaan peralatan perikanan seperti pukat tunda, rawai dan pukat pari, pencemaran di laut seperti tumpahan minyak dan pembuangan sampah-sarap di darat dan di laut.

"Sampah-sarap terapung di laut seperti plastik boleh menyebabkan penyu termakan dan menyebabkan kematian," katanya.

"Sepanjang 2017 sehingga 2021, sebanyak 257 ekor kematian penyu direkodkan," katanya.

Kajian FRI Rantau Abang, mendapati kematian paling tinggi disebabkan penggunaan pukat pari sebanyak 44.44 peratus, terperangkap dalam keroncong pukat tunda (38.89 peratus), terkena kipas bot (11.11 peratus) dan termakan plastik atau lain-lain (5.56 peratus).

Penyu terdampar di tepi pantai akibat termakan plastik- Foto/Mohd Rafi Mamat
Penyu terdampar di tepi pantai akibat termakan plastik- Foto/Mohd Rafi Mamat

"Kematian penyu di Terengganu pada awal tahun ini agak serius, sehingga Mei lalu, sebanyak 39 ekor direkodkan dan kematian tertinggi dalam tempoh sama pada 2021.

"Antara langkah diambil, jabatan ini memperkenalkan peralatan seperti peranti penyisih penyu (TED) yang dipasangkan pada pukat tunda udang musim tengkujuh (PTMT), pada November hingga Mac," katanya.

Bagi kematian penyu disebabkan terkena kipas bot pelancong, FRI Rantau Abang sedang membangunkan satu lagi peranti dikenali sebagai 'Sea Turtle Guard' (STG) yang di pasang pada kipas bot bagi mengelakkan penyu terkena kipas bot secara langsung boleh menyebabkan kecederaan dan kematian kepada penyu.

"Projek perintis ini akan dijalankan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian pada tahun ini," katanya.

Denda tinggi kacau, bunuh penyu

Mohd Sufian berkata, beberapa program kesedaran dijalankan seperti pameran membabitkan orang awam, nelayan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Di Terengganu, pada November tahun lalu, kerajaan negeri itu meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, untuk mengelakkan kepupusan haiwan itu.

Pindaan dikuatkuasakan pada Jun lalu, antara lain akan

meningkatkan denda lebih tinggi bagi kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu, iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.

"Jabatan Perikanan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sentiasa menjalankan rondaan dan tangkapan memastikan laut Malaysia tidak dicerobohi nelayan asing menangkap penyu termasuk babitkan bot nelayan dari Vietnam," katanya.

Berita Harian X