Isnin, 12 September 2022 | 10:51am
Basikal buluh lebih mesra alam berbanding diperbuatdaripada bahan logam. - Foto/NSTP
Basikal buluh lebih mesra alam berbanding diperbuatdaripada bahan logam. - Foto/NSTP

Sarawak bakal eksport basikal buluh

Penggunaan basikal buluh di Malaysia belum begitu popular berbanding di luar negara.

Di England, Belanda, Vietnam, Indonesia dan lain-lain negara penggunaan basikal buluh sudah tidak asing lagi.

Sejarah mencatatkan basikal buluh kali pertama dipatenkan oleh sebuah syarikat di England dan diperkenalkan kepada masyarakat umum, pada 26 April 1894.

Malah, basikal buluh juga semakin meluas penggunaan di Eropah kerana semakin ramai masyarakat di benua itu yang prihatin terhadap persekitaran hijau, kini sudah menukar trend menggunakan basikal logam kepada basikal buluh.

Berdasarkan kajian, penggunaan buluh dalam menghasilkan basikal berbanding bahan logam adalah lebih mesra alam dan mengurangkan pelepasan tenaga.

Setiap basikal dapat mengurangkan sehingga lima kilogram (kg) pelepasan karbon dioksida berbanding model logam.

Buat, eksport basikal buluh

Justeru, dengan memanfaatkan kesedaran persekitaran hijau global tidak mustahil Malaysia untuk menjadi pengeluar utama basikal buluh di negara ini.

Menurut Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datuk Hashim Bojet, Malaysia mempunyai potensi menjadi pembuat dan pengeksport basikal buluh berikutan ada ladang hutan khususnya di Sarawak.

"Ketika ini, Vietnam sudah mendahului dengan mengeksport basikal buluh ke Belanda.

"Kita harus merebut peluang itu kerana mempunyai sumber buluh bernilai tinggi yang kita tanam di ladang hutan di negeri ini," katanya.

Berdasarkan kajian, berat basikal buluh yang lengkap ialah antara 9.1 hingga 10 kilogram (kg) bergantung dengan kualiti, manakala basikal diperbuat daripada aluminium yang lengkap adalah seberat lapan hingga sembilan kg. Bagi basikal gentian karbon yang mahal pula beratnya kira-kira 6.8kg.

Hasilkan basikal mesra alam

Menurut Hashim, bagi mencapai hasrat itu, pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan sebuah syarikat dari Shanghai, China iaitu Brooke and Breeze bagi melahirkan tenaga mahir dalam penghasilan basikal mesra alam itu.

Penggunaan basikal buluh semakin meluas di negara ini, meskipun tidak begitu popular. - Foto/NSTP
Penggunaan basikal buluh semakin meluas di negara ini, meskipun tidak begitu popular. - Foto/NSTP

Ketika ini, pihaknya sudah membuat persiapan rapi dan jika semua rancangan berjalan lancar, basikal buluh komersil pertama akan dikeluarkan pada Januari tahun depan.

"Bagi merealisasikan hasrat menjadi pengeluar basikal buluh, PUSAKA sudah membuat latihan dengan syarikat Brooke and Breeze yang dilaksanakan latihan secara hibrid iaitu jurulatih mengajar secara dalam talian dari Shanghai.

"Seorang lagi jurulatih, iaitu Prof Dr Zheng kita bawa dari China bagi membimbing pelatih kalangan kakitangan PUSAKA untuk menjalani latihan secara fizikal di bengkel di Kota Samarahan ini," katanya.

Seramai 15 kakitangan perbadanan itu mengikuti latihan selama tiga bulan itu dan pada masa sama berjaya menghasilkan empat basikal dibina menggunakan buluh yang ditanam di Sabal Agroforestry Centre di Simunjan.

Potensi di pasaran global

Mengulas lanjut, Hashim berkata, selepas tamatnya latihan itu, kakitangan perbadanan itu terbabit akan terus memberi tumpuan untuk mengeluarkan lebih banyak basikal buluh dengan sasaran tidak kurang 15 basikal akan dihasilkan sehingga hujung tahun ini.

"Penghasilan secara berterusan ini adalah bagi memastikan kompetensi kakitangan kami mengeluarkan basikal buluh yang berkualiti dan kita juga akan kerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk mengeluarkan sijil bagi basikal yang kita hasilkan.

"Apabila sudah mendapat sijil kompetensi SIRIM, barulah kita dapat mengeluarkan basikal buluh untuk pasaran tempatan serta luar negara," katanya.

Potensi basikal buluh untuk pasaran global sangat besar dan harganya pula mencecah antara AS$1,000 hingga AS$3,000 (RM4,490 hingga RM13,470).

Hashim berkata, penggunaan basikal buluh semakin meluas dengan adanya kumpulan yang menubuhkan kelab khusus untuk menggalakkan orang ramai menunggang basikal mesra alam itu.

"Di England, misalnya sudah ada London Bike Club, di Amerika Syarikat (AS) ada Brooklyn Bamboo Bike, di Zambia ada kelab Zambike manakala di Asia Tenggara pun ada seperti Kelab Spedagi di Indonesia dan Bambike di Filipina," katanya.

Justeru, PUSAKA melihat buluh sebagai alternatif untuk memastikan industri perkayuan terus bertahan bagi menyumbang kepada ekonomi negara.

Sejak enam tahun lalu, PUSAKA giat menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi mengembangkan ladang hutan buluh yang akan menjadi pemangkin industri perkayuan berasaskan buluh, pada masa depan.

Pada masa sama, perbadanan juga membangunkan kawasan seluas 25 hektar di Sabal, dalam daerah Simunjan sebagai pusat kajian pengembangan ladang hutan buluh.

Ladang buluh seluas 25 hektar di Sabal Simunjan. - Foto/NSTP
Ladang buluh seluas 25 hektar di Sabal Simunjan. - Foto/NSTP

Hashim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti berapa produk berasaskan buluh untuk dikomersilkan seperti pembuatan basikal buluh.

"Kita yakin mampu menjadi produk untuk eksport susulan perubahan trend global kini yang memilih untuk menggunakan basikal mesra alam," katanya.

Buluh hasilkan produk komersial

Kesukaran mendapatkan balak matang susulan penebangan dilakukan sejak puluhan tahun lalu menuntut sumber baharu perlu diteliti bagi meneruskan kelangsungan industri perkayuan di Sarawak.

Lantas pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengekalkan sumber balak termasuk tanam semula hutan, namun tempoh agak lama diperlukan untuk mendapatkan balak yang cukup matang.

Justeru, penanaman buluh yang dilihat tempoh matang yang singkat menjadikannya pilihan terbaik bagi menghasilkan pelbagai produk untuk dikomersialkan.

Bagi tujuan itu, Sabal Agroforestry Centre diwujudkan dilengkapi dengan tapak semaian selain, projek perintis ladang hutan yang ditanam dengan 15 spesis buluh bernilai tinggi.

Penanaman spesies buluh bernilai tinggi untuk pasaran eksport kini menjadi fokus utama perbadanan itu berikutan masa depan industri perkayuan Sarawak tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil balak.

Sasar sejuta anak benih buluh

Menurutnya, PUSAKA menyasarkan menghasilkan sejumlah satu juta anak benih buluh sehingga 2027.

Hashim Bojet yakin Malaysia berpotensi jadi pembuat dan pengeksport basikal buluh. - Foto/NSTP
Hashim Bojet yakin Malaysia berpotensi jadi pembuat dan pengeksport basikal buluh. - Foto/NSTP

Ia bagi memastikan bekalan benih buluh dapat menampung keperluan pemain industri di negeri ini yang dijangka meningkat susulan pelbagai produk baharu berasaskan buluh akan dihasilkan.

Ketika ini, tiga tapak semaian beroperasi bagi memastikan sumber benih buluh berkualiti dan mencukupi untuk keperluan tanaman di 18,000 hektar ladang buluh komersil dirancang di Sarawak dalam tempoh lima tahun lagi.

Tapak semaian di Sabal, Simunjan mampu membekalkan 45,000 benih buluh setahun untuk keperluan komersial dan komuniti wilayah selatan Sarawak.

Tapak Semaian Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah dengan kapasiti 450,000 benih buluh setahun pula diwujudkan bagi menampung keperluan perladangan komersil dan komuniti di wilayah tengah manakala Tapak Semaian Niah pula dengan kapasiti 150,000 anak benih akan dibangunkan di wilayah utara.

3 tapak semaian buluh

Selain tiga tapak semaian berkenaan, PUSAKA turut merancang membangunkan dua lagi tapak semaian di Bintulu dan Lawas yang masing-masing mampu menghasilkan sebanyak 10,000 anak benih buluh setahun.

Menurut Hashim, pengeluaran anak benih buluh dalam kuantiti besar itu selaras dengan usaha kerajaan Sarawak untuk meneroka industri berasaskan buluh.

Antaranya, penghasilan produk papan panel buluh; industri berasaskan arang buluh seperti bio-char, farmaseutikal, kosmetik serta tekstil; industri makanan dan industri kraftangan.

"Kami juga sedang berkolaborasi dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menghasilkan produk kosmetik dan farmaseutikal berasaskan buluh," katanya.

Menurut Hashim, pihaknya juga bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi meneliti potensi rebung sebagai produk nilai tambah kepada industri tempatan dan juga eksport.

"Nilai eksport produk rebung di peringkat antarabangsa kini mencecah sehingga RM2 billion.

"Kita melihat kepada prospek produk nilai tambah seperti di China, mereka memproses rebung untuk dijeruk dan dipasarkan ke pasaran dunia, malah rebung boleh dijadikan tepung atau dikeringkan untuk menjadikan tahan lebih lama," katanya.

Pelbagai produk berasaskan buluh

PUSAKA juga sedang bincang dengan beberapa syarikat China untuk menghasilkan produk hiliran berasaskan buluh, antaranya memproses buluh untuk dijadikan bahan pembungkusan makanan.

Sarawak mempunyai sumber buluh bernilai tinggi. - Foto/NSTP
Sarawak mempunyai sumber buluh bernilai tinggi. - Foto/NSTP

"Pasaran produk pembungkusan makanan kini sangat luas kerana dunia sedang bertukar kaedah penggunaan plastik kepada bahan mesra alam dan produk buluh adalah paling sesuai untuk itu.

"Potensi lain buluh untuk dijadikan kertas tisu. Buluh berbeza dengan bahan berasaskan kayu kerana buluh mempunyai bahan antiseptik semula jadi," katanya.

Berita Harian X