Khamis, 8 September 2022 | 11:50am

Pesona seni kraf wau

LENGGOK jari-jemari menyulam setiap inci kertas dan ukiran pelbagai bermotifkan, reka bentuk, corak berwarna-warni melengkapi hiasan pada wau tradisional kelihatan mempesona sungguh mengagumkan.

Bukan kerja mudah, sebaliknya seni kraf itu memerlukan kesabaran dan ketelitian bagi memastikan hasilnya halus dan menyerlahkan seni estetika Melayu.

Tukang kayu, Muhamad Zakirudin Aziz, 25, dari Kampung Kesom Tok Tukang, Kuala Nerus, Terengganu, sanggup belajar teknik membuat wau sobek atau ukir untuk mendapatkan hasil lebih sempurna, kreatif dan menarik.

Minat membuat wau secara profesional mula bercambah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

Beliau berguru dengan pembuat wau yang hanya dipanggil Pak Ali bagi mendalami seni ilmu ukiran wau.

Bukan kerja mudah

Berbekalkan kertas dan sebatang pensel, ilham yang muncul akan diterjemahkan dalam bentuk lakaran mengikut motif dipilih.

"Selepas berpuas hati dengan lukisan itu, kerja mengukir pada kertas warna dilakukan dengan penuh teliti dan ukiran bagi kedua-dua belah badan wau perlu seimbang.

"Ia bertujuan mengelak wau kelihatan cacat dan memastikan geometri bungaan-bungaan berada pada kedudukan sepatutnya.

"Kombinasi warna elemen yang amat penting bagi mempengaruhi nilai sesebuah wau. Pemilihan warna yang tepat akan menentukan pesona dan indahnya sesuatu wau," katanya.

Ukiran pelbagai bermotifkan, reka bentuk, corak berwarna-warni melengkapi hiasan pada wau tradisional. - NSTP/Ghazali Kori
Ukiran pelbagai bermotifkan, reka bentuk, corak berwarna-warni melengkapi hiasan pada wau tradisional. - NSTP/Ghazali Kori

"Kerja mengukir tidak mudah bagi menyiapkan wau berukuran 127 sentimeter (sm) tinggi dan 125 sm lebar mengambil masa enam hingga tujuh hari untuk disiapkan.

Pelbagai bentuk wau direka

Beliau bekerja sebagai tukang kayu di sebuah bengkel membuat bingkai pintu berkata, kekangan masa memaksanya membuat wau tradisional pada waktu malam, iaitu antara jam 9 malam hingga 2 pagi.

Pelbagai reka bentuk wau dihasilkan termasuk wau bulan, kucing, jala budi, merak dan banyak yang menggunakan buluh berang atau buluh duri sebagai bahan asas.

Zakirudin berkata, bahan bagi menghasilkan wau seperti buluh diperoleh di sekitar kampung dan bahan lainnya perlu dibeli antaranya pisau, kertas, kertas warna, tali dan pensel.

Setiap wau mengambil masa kurang seminggu untuk disiapkan. - NSTP/Ghazali Korie
Setiap wau mengambil masa kurang seminggu untuk disiapkan. - NSTP/Ghazali Korie

"Wau dijual setiap satu pada harga RM300 hingga RM500 bergantung kepada kehalusan corak diukir pada badan wau.

"Lagi halus corak diukir, lagi mahal nilai wau berkenaan. Biasanya motif flora, iaitu pokok menjalar akan dilukis pada badan wau kerana motif fauna (hidupan) tidak sesuai untuk diterapkan sebagai hiasan," katanya.

Wau sobek menitikberatkan seni dan kehalusan, justeru setiap bunga yang dilukis dan diukir perlu kemas dan tepat.

Sepanjang dua tahun berkecimpung dalam pembuatan wau sobek, beliau mempunyai 10 wau dalam simpanan yang digunakan untuk tujuan pertandingan serta pertunjukan.

"Bulan ini saya akan menyertai pertandingan wau cantik di Kelantan," katanya.

Berbekalkan kertas dan sebatang pensel, ilham yang muncul diterjemahkan dalam bentuk lakaran mengikut motif tertentu. - NSTP/Ghazali Kori
Berbekalkan kertas dan sebatang pensel, ilham yang muncul diterjemahkan dalam bentuk lakaran mengikut motif tertentu. - NSTP/Ghazali Kori

Perlu kreativiti tinggi

Beliau mengakui kesukaran untuk melukis dan mengukir membuatkan penghasilan wau tradisional ini amat terbatas walaupun ramai meminatinya.

Kemahiran dimiliki ini amat berharga, namun kekangan waktu membataskan dirinya untuk membuat wau yang ditempah seseorang.

Beliau berkata, seni membuat wau ini seharusnya disemai sejak usia kanak-kanak bagi menarik minat golongan muda terbabit dalam bidang ini.

"Nak kekalkan warisan budaya perlu dipupuk lebih awal, kerana tanpa minat dan kesungguhan, sukar untuk menghasilkan seni ini kerana kreativiti yang tinggi.

"Setiap rekaan bermotifkan flora sahaja dan setia corak dihasilkan perlu dilukis dulu. Sebelum ukiran dilakukan biasanya saya akan melukis flora atau pokok menjalar kerana lebih sesuai diukir pada badan wau untuk kelihatan cantik dan halus.

Lakaran dilakukan dengan teliti untuk mendapatkan hasil wau yang indah dan unik. - NSTP/Ghazali Kori
Lakaran dilakukan dengan teliti untuk mendapatkan hasil wau yang indah dan unik. - NSTP/Ghazali Kori

"Melihat dedaun menjalar memberi inspirasi saya berkarya. Setiap wau dihasilkan menekankan elemen kehijauan iaitu tumbuhan-tumbuhan bagi menaikkan serinya," tambahnya.

Motif fauna atau haiwan tidak sesuai untuk diukir pada badan wau kerana tidak mencerminkan nilai estetika dan kelembutan pada pembuatannya.

Oleh itu, motif dedaun amat sesuai dan memperlihatkan kelembutan hasil seni.

Antara wau yang disiapkan Muhamad Zakirudi. - NSTP/Ghazali Kori
Antara wau yang disiapkan Muhamad Zakirudi. - NSTP/Ghazali Kori

Muhamad Zakirudin bersedia melayangkan wau yang dihasilkan. - NSTP/Nazdy Harun
Muhamad Zakirudin bersedia melayangkan wau yang dihasilkan. - NSTP/Nazdy Harun
Berita Harian X