Isnin, 5 September 2022 | 11:20am
Mohd Farulnizam (Belakang dua dari kiri) bersama enam anaknya yang tangkas menguasai tarian singa. - Foto/Danial Saad
Mohd Farulnizam (Belakang dua dari kiri) bersama enam anaknya yang tangkas menguasai tarian singa. - Foto/Danial Saad
Siti Aishah tangkas dan lincah mempersembahkan tarian singa yang mula dipelajari sejak berusia lima tahun. - Foto/Danial Saad
Siti Aishah tangkas dan lincah mempersembahkan tarian singa yang mula dipelajari sejak berusia lima tahun. - Foto/Danial Saad
Siti Aleesa peserta paling muda menyertai Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang. - Foto/Danial Saad
Siti Aleesa peserta paling muda menyertai Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang. - Foto/Danial Saad
Lima anak Mohd Farulnizam bersama ahli Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang. - Foto/Danial Saad
Lima anak Mohd Farulnizam bersama ahli Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang. - Foto/Danial Saad
Siti Aishah dan adiknya yang juga boleh bertutur bahasa Mandarin. - Foto/Danial Saad
Siti Aishah dan adiknya yang juga boleh bertutur bahasa Mandarin. - Foto/Danial Saad

6 beradik Melayu cipta sejarah 'kuasai' tarian singa

BUNYI paluan gong, gendang dan dentingan simbal saling bertingkah daripada gelanggang terbuka yang terletak di atas bukit dimainkan ahli Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang, memecah kesunyian malam.

Terletak di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar berdekatan laluan pintas menuju Balik Pulau agak terasing dari bandar Georgetown, namun di situlah markas bagi 15 anak muda berusia 6 hingga 31 tahun tekun berlatih tarian singa mengikut rentak muzik dimainkan.

Dalam remang cahaya lampu kalimantang, aksi mendebarkan dengan melompat daripada satu tiang ke satu tiang dengan banyak tilam disusun berlapis-lapis di atas lantai sebagai langkah keselamatan.

Mereka lincah menyempurnakan gerakan akrobatik seperti mengangkat tubuh pasangan tarian masing-masing menampakkan gerakan singa seolah-olah berdiri sekali gus memastikan koreografi tarian tersusun rapi mengikut tunjuk ajar jurulatih, Loh Woon Sim, 61.

5 beradik Melayu mahir tarian singa

Apa yang menarik perhatian, kelihatan lima beradik berbangsa Melayu, iaitu Siti Aishah Mohd Farulnizam,16; Mohd Faiz, 15; Mohamad Fahmi, 12; Siti Alya, 8, dan Siti Aleesa, 6, antara yang menyertai persatuan itu tidak ketinggalan berlatih tarian lengkap memakai kostum singa dan ada bermain muzik.

Woon Sim (kanan) sedang melatih Siti Aishah (kiri) bersama adik beradiknya tarian singa. - Foto/Danial Saad
Woon Sim (kanan) sedang melatih Siti Aishah (kiri) bersama adik beradiknya tarian singa. - Foto/Danial Saad

Setia menanti di pinggir gelanggang bapa mereka, Mohd Farulnizam Mohd Fisah, 45, sesekali bertepuk tangan menyaksikan anggota kumpulan kesenian itu berjaya menyudahkan rutin pergerakan masing-masing dengan lancar.

Pengusaha katering yang juga Ketua Operasi Persatuan Bomba Sukarela Gertak Sanggul ini, berkata bangga mencatat sejarah menjadi satu-satunya keluarga Melayu di Pulau Pinang terbabit dalam seni itu yang lazimnya dipersembahkan kaum Cina.

Minat awal menghantar semua anaknya berguru dengan Woon Sim adalah untuk mendedahkan mereka dengan tarian singa yang jarang disertai orang Melayu.

"Mulanya saya hantar anak sulung, Muhammad Firdaus ketika itu berusia tujuh tahun menyertai pasukan ini.

"Ketika itu, saya cuma berharap Firdaus yang menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poi Eng dapat mengisi masa lapang secara berfaedah di samping mengasah kemahiran berbahasa Cina di luar bilik darjah," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Buat persembahan di Taiwan

Katanya, selepas kejayaan Muhammad Firdaus menguasai seni tarian singa dan mahir bertutur dalam bahasa Mandarin, akhirnya Mohd Farulnizam, membuat keputusan menghantar semua anaknya mengikuti jejak langkah abang, bersekolah SJKC Poi Eng serta belajar tarian itu.

Mohd Farulnizam dan dan isteri Suzana Dhazak @ Razak, 44, tidak bimbang kerana anak-anak dijemput dan dihantar dengan van tanpa dikenakan sebarang bayaran termasuk yuran kelas latihan bulanan.

"Paling manis saya dan tiga anak, Muhammad Firdaus, Siti Aisyah dan Mohd Faiz berpeluang 'terbang' bersama rombongan persatuan itu mengadakan persembahan tarian singa di Taiwan anjuran Tourism Malaysia, pada 2019.

"Saya beri sokongan penuh dan biasanya akan meluangkan masa menemani mereka ketika menyertai pertandingan atau persembahan.

"Kami akan naik bas beramai-ramai dan bersama bantu mengangkat barang dan sebagainya," katanya.

Cuma kini Muhammad Fidaus tidak lagi aktif dalam tarian singa, sebaliknya lima anak lain meneruskan menyertai persatuan berkenaan.

Gilap bakat seni tarian singa

Bagi Muhammad Firdaus, 18, berkata meskipun tidak lagi aktif mempersembahkan tarian singa, beliau tetap mendorong adik-adiknya menggilap bakat mereka dalam seni itu.

"Saya sertai persatuan tarian singa ini selama tujuh tahun. Kemudian ambil keputusan tidak sertai lagi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mahu fokus mengumpul wang untuk menyambung pengajian nanti. Tapi, tarian singa tetap mempunyai tempat istimewa di hati saya.

"Ahli tarian singa rapat macam keluarga dan banyak kenangan manis saya cipta bersama mereka. Banyak kami menang pertandingan disertai di peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.

Tidak serik meskipun pernah cedera

Detik tidak akan dilupakan ketika kejadian tiga tahun lalu Muhammad Firdaus pernah terjatuh ketika berlatih rutin tiang sehingga bahagian belakangnya cedera dan mengambil masa lebih sebulan untuk pulih.

"Tapi saya tidak serik. Bila dah baik saya teruskan seperti biasa," katanya memperoleh A bagi bahasa Mandarin ketika Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bertubuh kecil, tapi lincah

Bagi Siti Aisyah penyertaan itu bermula sebagai pemain muzik dalam pasukan tarian singa ketika berusia lima tahun membuka lembaran untuk bergiat aktif hingga mahir dalam seni itu.

Dengan kemahirannya, Siti Aishah beralih kepada posisi kepala singa berpasangan dengan anak perempuan jurulatih, Loh Foong Kee, 27, sejak beberapa tahun lalu.

"Cabaran berada di posisi kepala ialah kena cekap mengawal mulut dan mengerdipkan mata apabila mendekati penonton. Jadi harus fokus dan ada interaksi dengan penonton.

"Memang penat, tapi sudah minat rasa sayang pula nak tinggalkan. Saya dapati tarian singa membuatkan badan cergas, lebih berdisiplin dan meningkatkan keyakinan diri.

"Saya akui agak gemuruh sebelum bertanding. Tapi bila ramai puji dan bagi galakan saya jadi bersemangat beri persembahan terbaik. Orang ramai biasanya terkejut apabila melihat anak Melayu menyertai mereka selepas selesai persembahan," ujar murid Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Sacred Heart, di Balik Pulau itu.

Menurutnya, pasukannya pernah menjadi johan bagi kategori tiang tinggi bagi Kejohanan Tarian Singa Peringkat Negeri Pulau Pinang 2022, Pertandingan Tarian Singa Tradisional Antarabangsa Bukit Jambul 2019 (ketiga), Johan Pertandingan Tiang Genting Highlands (Malaysia Utara) 2019 dan Pertandingan Tiang Antarabangsa Kepala Batas (ketiga).

Namun, Siti Aisyah menjelaskan, beliau dan adik-adiknya tidak semestinya berada dalam satu kumpulan sama, kerana jurulatih biasanya membahagikan pasukan bertanding kepada dua kumpulan, iaitu minimum enam hingga lapan orang mengikut tugas dan peranan masing-masing.

Tabik kaum Melayu

Jurulatih tarian singa, Loh Woon Sim, 61, menyifatkan pembabitan keluarga Melayu dalam seni tarian singa yang menjadi tradisi dalam kebudayaan Cina amat mengagumkan kerana amat jarang diceburi kaum lain.

Woon Sim berkata, beliau tabik semua anak Mohd Farulnizam cepat belajar dan mudah dibentuk kerana mereka bukan kaki ponteng dengan latihan diadakan pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu bermula jam 8 malam hingga 10 malam.

Bergiat lebih 30 tahun sebagai tenaga pengajar, beliau menegaskan tarian singa ini ada risiko tersendiri, selain perlu kerap berlatih supaya gerak tarian tidak sumbang dan mengelak kejadian tidak diingini semasa aksi sebenar berlangsung.

"Dari segi pantang larang saya juga mendidik anak murid supaya tidak bercakap bohong dan melarang mereka merokok kerana boleh menjejaskan kesihatan," katanya.

Woon Sim berkata, pihaknya tiada halangan menerima ahli baharu dalam kalangan pelbagai kaum untuk menjadi generasi pelapis, namun mereka harus bersedia memberi komitmen sepenuhnya dan serius dengan tanggungjawab diamanahkan.

Dua jenis tarian singa

Bagi Loh Chin Hoong, 31, yang menjadi penterjemah kepada Woon Sim, berkata acara tarian singa terbahagi kepada dua, meliputi kategori moden, iaitu menari atas tiang dan kedua kategori tradisional, peserta dinilai dengan tahap kesukaran rutin yang dilakukan dengan skor 10 markah penuh.

"Kalau diikutkan kumpulan tarian singa ada lebih 100 orang di Pulau Pinang tetapi yang betul-betul aktif dan boleh dikatakan profesional kurang daripada 20 orang.

"Daripada kumpulan yang ada itu, peserta wanita boleh dikira dengan jari," katanya.

Berita Harian X