Khamis, 15 September 2022 | 9:37am
Buah matoa juga dikatakan seakan-akan rasa durian, rambutan dan mata kucing. - Foto hiasan
Buah matoa juga dikatakan seakan-akan rasa durian, rambutan dan mata kucing. - Foto hiasan
Noor Hanam dan Zainal Abidin beli benih dari Papua New Guinea sudah berbuah beberapa kali. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf
Noor Hanam dan Zainal Abidin beli benih dari Papua New Guinea sudah berbuah beberapa kali. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf
Tanaman buah matoa diusahakan akan dikomersialkan tidak lama lagi. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf
Tanaman buah matoa diusahakan akan dikomersialkan tidak lama lagi. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf

Buah 3 rasa dibeli di Papua New Guinea jadi tumpuan

LENGGONG: Keunikan buah matoa yang mempunyai tiga rasa dan rupanya seakan buah mata kucing dibeli di Papua New Guinea oleh pasangan suami isteri ini dijangka mampu memberikan pendapatan lumayan buat mereka.

Noor Hanam Taib, 55, dan suaminya, Zainal Abidin Mohd Kasim, 62, menanam 40 pokok dan dua pokok sudah menghasilkan buah.

Katanya, setakat ini sudah dua kali berbuah pada tahun ini, iaitu Januari (buah matang pada April) dan kali kedua, Jun lalu dan kini sedang menunggu matang.

"Kali pertama berbuah pada Januari lalu, kemudian April baru boleh dipetik.

"Buah ini seperti buah mata kucing Brazil, tetapi lebih besar saiznya berbentuk sedikit bujur dan kulitnya tidak sekeras kulit mata kucing Brazil.

"Istimewanya, rasa manis dan ada macam rasa durian, rambutan dan buah mata kucing.

"Malah ada pula yang kata rasa seperti laici. Keunikan rasanya juga menjadikan ia tumpuan penggemarnya, " katanya ditemui bersama di Kampung Banggol Belimbing, di sini.

Noor Hanam bangga dengan ketekunan suaminya mengusahakan matoa berpotensi di pasarkan secara besar-besaran dan lebih komersial.

Ratusan anak semaian

Katanya, sebagai isteri, beliau sangat menyokong serta memberi perangsang suami dan sentiasa mendoakan dapat mengembangkan usaha ini.

Zainal Abidin, berkata ratusan anak semaian baru yang sedang diusahakan ditanam di sekitar rumah dan selebihnya dijual kepada sesiapa berminat untuk mengusahakannya.

Katanya, buah matoa dibeli di Papua New Guinea ketika mengikuti rombongan melawat negara itu beberapa tahun lalu dan dipamer serta dijual ketika menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun sama dengan harga RM80 sekilogram, disimpan sebahagian bijinya untuk disemai.

"Pada 2016 saya cuba menanam 40 pokok anak berusia setahun yang saya semai bijinya, bagaimanapun hanya dua pokok hidup membesar dan subur hingga berbuah sekarang.

"Oleh kerana kami sekeluarga tinggal di Selangor sebab saya bekerja di sana dan hanya sesekali balik ke kampung, jadi banyak anak pokok Matoa saya tanam dimusnahkan babi, kecuali dua pokok itu," ujarnya.

Zainal Abidin berkata, walaupun hanya baru dua pokok yang menjadi, beliau baja dengan beberapa jenis, termasuk baja buah dan yakin kedua-dua pokok itu akan mengeluarkan buah lebat apabila semakin matang nanti.

Katanya, beliau dan isteri tidak akan menjual buah-buahnya untuk peringkat awal ini, sebaliknya akan diambil biji untuk disemai.

Mungkin dengan hasrat untuk mengembangkan tanaman ini di Lenggong khususnya.

"Untuk peringkat awal lebih baik kami jual pokok semaian sebagai persediaan sekiranya yang sedia ada habis dibeli orang nanti," ujarnya.

Menurutnya, ratusan anak pokok matoa disemai pada April lalu sudah membesar dan bakal dijual mengikut saiz atau usia, antara RM45 dan RM80 sepokok.

Berita Harian X