Isnin, 22 Ogos 2022 | 3:35pm
Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan yang diperbuat daripada kulit kambing tersimpan kemas di Arkib Negara. - NSTP/Fariz Aswadi
Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan yang diperbuat daripada kulit kambing tersimpan kemas di Arkib Negara. - NSTP/Fariz Aswadi

4.15 juta koleksi arkib 'di bilik kebal'

KIRA-KIRA 4.15 juta khazanah negara berupa bahan arkib yang mencecah usia ratusan tahun tersimpan rapi dengan dilengkapi teknologi keselamatan ketat untuk mengelak rosak dek faktor manusia mahupun bencana semula jadi.

Semua simpanan dalam bahan fail dan bukan fail sumber sejarah serta berbentuk artifak itu dijaga kemas di 'bilik kebal' demi memelihara sejarahnya amat berguna sebagai bahan bukti untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Antara khazanah tersimpan adalah Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan bersadur emas 24 karat dalam versi tulisan Melayu Jawi dan bahasa Inggeris, ditulis oleh Pejuang Kemerdekaan, Ibrahim Mahmood, tersimpan kemas di Arkib Negara.

Istimewanya Watikah berkenaan ditulis dengan bantuan beberapa tokoh nasionalis Melayu itu, dicatatkan di permukaan bahan yang diperbuat daripada kulit kambing, kemudiannya disimpan dalam satu bekas khas.

tugas dan kerja memelihara bahan arkib 'antik' dan terlalu sensitif untuk mengelak rosak atau musnah akibat bencana alam. - NSTP/Fariz Aswadi
tugas dan kerja memelihara bahan arkib 'antik' dan terlalu sensitif untuk mengelak rosak atau musnah akibat bencana alam. - NSTP/Fariz Aswadi

Pada 31 Ogos 1957, Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan itu disalin dan diberikan kepada tetamu di Stadium Merdeka.

Justeru, tugas dan kerja memelihara bahan arkib 'antik' dan terlalu sensitif ini bukan mudah kerana perlu melalui banyak peringkat kerenah proses bagi memastikan ia tidak rosak atau musnah.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Jaafar Sidek Abdul Rahman, berkata ada bahan arkib paling lama disimpan dalam 'gedung khas' dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan di bawah kelolaan Jabatan Arkib Negara (JAN) juga meliputi Manuskrip Straits Settlements 1828 dan katalog bertajuk Dutch Reformed Church Malacca - Baptism 1642 hingga 1688.

Manuskrip Straits Settlements 1828 itu adalah koleksi dokumen berkaitan pentadbiran British mengenai Negeri Selat yang terdiri daripada Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.

Dokumen bertajuk Dutch Reformed Church Malacca - Baptism 1642 hingga 1688 adalah rekod Belanda mengenai hal ehwal gereja di Melaka dikatalogkan oleh pengarang bagi golongan misionari dan tokoh agama TJ Hardy.

Pengumpulan koleksi akhbar untuk lengkap maklumat serta fakta tentang sesuatu peristiwa pernah berlaku di Tanah Melayu. - NSTP/Fariz Aswadi
Pengumpulan koleksi akhbar untuk lengkap maklumat serta fakta tentang sesuatu peristiwa pernah berlaku di Tanah Melayu. - NSTP/Fariz Aswadi

Penemuannya diterbitkan oleh Pejabat Percetakan Kerajaan di Singapura.

Ia antaranya mengandungi koleksi jilid penyelidikan, daftar pembaptisan, prosiding majlis gereja, kewangan dan senarai keahlian gereja

Bahan arkib dalam pelbagai bentuk

Menurutnya, terdapat dua kategori bahan arkib yang diperoleh oleh Arkib Negara, iaitu rekod awam diterima daripada pejabat awam melalui pemindahan rekod bernilai sejarah dan kebangsaan yang tamat tindakan dan bernilai kekal.

Manakala rekod persendirian yang diterima daripada orang perseorangan atau institusi bukan awam melalui pemerolehan secara sumbangan atau derma, wasiat, penyalinan, deposit dan pembelian.

Bahan arkib boleh terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis seperti dokumen, peta, pelan, terbitan, bahan pandang dengar, artifak dan sebagainya yang mempunyai nilai rujukan dan sejarah.

"Secara keseluruhan di sini mempunyai simpanan bahan fail dan bukan fail sebanyak 4.15 juta bahan.

"Bahan fail disimpan di ANM, pula sebanyak 3.2 juta bahan, manakala bagi bahan bukan fail sebanyak 0.95 juta bahan.

"Semua bahan ini disimpan oleh ANM secara selamat di dalam repositori atau disebut gedung simpanan rekod. ANM di ibu pejabat mempunyai beberapa buah repositori berbeza untuk menyimpan bahan berbeza.

 Jaafar Sidek (kanan) menunjukkan antara bahan arkib yang disimpan kemas dalam ‘gedung khas’ dilengkapi teknologi keselamatan. - NSTP/Fariz Aswadi
Jaafar Sidek (kanan) menunjukkan antara bahan arkib yang disimpan kemas dalam ‘gedung khas’ dilengkapi teknologi keselamatan. - NSTP/Fariz Aswadi

"Rekod yang dipindahkan oleh jabatan kerajaan pada mulanya akan diproses dan disimpan di repositori, Pusat Rekod Arkib Negara Malaysia," katanya.

Elak hilang rekod penting

Beliau berkata, selepas rekod itu disimpan selama 25 tahun barulah ia mencapai taraf arkib dan dipindah ke repositori. Bahan pandang dengar akan disimpan di gedung khas di Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audio Visual Negara (PPPAV), ANM.

"Bahan artifak yang tidak dipamerkan di memorial, galeria, pustaka dan rumah kelahiran akan disimpan di gedung repositori artifak Arkib Negarawan.

"Bahan artifak kebanyakannya terdiri daripada koleksi peribadi tokoh negarawan atau hadiah diterima oleh tokoh itu dari pihak luar," katanya.

Pernah rekod awam rosak disebabkan banjir besar pada 2014 dan 2021, rekod yang disimpan ANM perlu dipastikan Dalam keadaan selamat dari sebarang bencana alam sehingga menyebabkan kerugian, kemusnahan, kerosakan serta kehilangan rekod penting negara.

Dijaga rapi, elak rosak

Menurut Jaafar, penyimpanan rekod sangat penting dan memerlukan tindakan pengurusan yang terancang supaya bahan arkib kekal sebagai sumber maklumat, khazanah warisan intelek dan dokumen bukti perlu dipelihara dan diuruskan dengan baik, termasuk dipastikan khazanah ini dijaga serta disimpan dengan selamat.

Semua bahan itu perlu disimpan dalam keadaan selamat. Jadi, untuk mengelak bencana kebakaran dan repositori ANM melengkapkan alat penggera penyembur api, pengarang asap, pemadam api, pengesan asap serta pengesan haba.

"Suhu dan kelembapan yang tinggi juga akan menyebabkan kerosakan pada rekod. Sekiranya kadar kelembapan tinggi menyebabkan udara terperangkap dalam dokumen akan menyebabkan pertumbuhan kulat.

"Justeru, suhu dan kelembapan perlu dikawal secara berkala supaya rekod terus kekal bertahan lama dan dapat dirujuk pada masa akan datang.

"Contohnya, rekod berbentuk kertas disimpan antara 18 hingga 22 darjah Celsius, mikrofilem (15 hingga 18 darjah Celsius), rekod elektronik (10 darjah Celsius), gambar hitam putih (18 hingga 20 darjah Calsius) dan gambar berwarna (kurang 18 darjah Celsius)," jelasnya.

Pikul amanah, cabaran besar

Ketika ini, ANM sedang berusaha untuk memperoleh akhbar diterbitkan di luar negara yang mengandungi artikel berkaitan dengan Tanah Melayu sebelum merdeka seperti dikeluarkan di United Kingdom (UK), Perancis dan Hong Kong.

Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan bersadur emas 24 karat yang tulis dalam versi tulisan Melayu Jawi dan bahasa Inggeris. - NSTP/Fariz Aswadi
Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan bersadur emas 24 karat yang tulis dalam versi tulisan Melayu Jawi dan bahasa Inggeris. - NSTP/Fariz Aswadi

Tujuan pengumpulan koleksi akhbar ini untuk melengkapkan maklumat serta fakta tentang sesuatu peristiwa yang pernah berlaku di Tanah Melayu.

Sehubungan itu, usaha melengkapkan urusan peristiwa secara kronologi sejarah bukannya mudah, malah amanah dipikul menjadi satu cabaran besar yang ada kalanya menelan masa puluhan tahun untuk mengesan bahan arkib tersimpan di luar negara.

Selain berdepan kekangan kewangan, petugas yang bertanggungjawab terbabit dalam operasi perolehan bahan arkib negara menghadapi kesukaran, termasuk tidak menolak bahan arkib rosak atau musnah.

"Antara cabaran lain, bahan arkib berkenaan tidak dapat dikesan kerana dipercayai rekodnya berpindah-randah dari satu negara ke negara lain sewaktu zaman dahulu, sekali gus merencatkan usaha Malaysia untuk mengesan rekod sejarah negara.

"Kalau pun berjaya memperoleh bahan arkib di negara luar, ia bukan bermaksud bahan arkib asli itu boleh dibawa balik ke negara ini sebaliknya hanya salinan dibenarkan untuk tujuan penyimpanan," katanya.

Difahamkan aktiviti pemerolehan bahan arkib bermula sejak 1957 lagi bagi melengkapkan bahan bersejarah dan berkepentingan negara, sama ada daripada sumber kerajaan dan bukan kerajaan dalam pelbagai bentuk, media serta pelbagai sumber rasmi, swasta mahupun persendirian membabitkan dalam dan luar negara.

Berita Harian X