Isnin, 15 Ogos 2022 | 10:49am

Anak Malaysia cipta jam tangan, setanding kualiti jenama antarabangsa

KOMBINASI jam tangan yang dicipta dengan teknologi canggih, rekaan bentuk menarik, unik, berkualiti tinggi dan mempunyai populariti jenama serta dari mana asal pembuatannya menjadi kriteria seseorang untuk memilikinya.

Pemilihan jam tangan, bukan sekadar penunjuk masa, malah sebagai aksesori bagi melambangkan simbol dan status si pemakainya.

Ada individu hanya membeli jam tangan berjenama mewah atau yang mampu milik keluaran syarikat antarabangsa, khususnya dari Switzerland kerana meyakini latar belakang sejarah, prestij dan kualitinya.

Namun, di sebalik ciptaan jam melekat di pergelangan tangan seseorang itu, ada tukang yang mahir dalam pembuatannya.

Mungkin masih ramai lagi tidak tahu di Malaysia juga ada pakar pembuat jam yang berjaya mencipta jam tangan dengan jenamanya sendiri. Malah, rekaannya tidak kurang hebat, mampu berdaya saing dan harganya mampu milik.

Justeru, kini sudah ada jam tangan jenama tempatan, iaitu Fateh Watches, yang namanya diinspirasi daripada pejuang Turkiye, Sultan Muhamed Al-Fateh, hasil rekaan pembuat jam tangan profesional, Zainal Mohd Ali, 70, berada di pasaran sejak 2017.

Antara model keluaran jenama Fateh Watches. - Foto ihsan Zainal Mohd Ali
Antara model keluaran jenama Fateh Watches. - Foto ihsan Zainal Mohd Ali

Terdahulu, dengan minat mendalam terhadap aksesori itu mendorong Zainal mempelajari ilmu pembuatannya secara profesional di luar negara, sebelum membina empayar perniagaan jenama jam tangannya sendiri.

Lebih membanggakan melalui Fateh Time Piece Trading, kini diturunkan pula kepada anaknya, Fitry Zainal, 28, yang pada usia muda, menyimpan wawasan untuk memperluas lagi jenama rekaan mereka ke luar negara, selain mahu membina kilang pembuatannya di Malaysia, suatu hari nanti.

Jenama setanding jam antarabangsa

Pembabitan Zainal yang juga pengasas jenama berkenaan bermula dalam bidang itu, selepas mendapat tawaran menjalani latihan pembuatan jam secara profesional di Stern Feres Fabrique de Cadrans di Geneva, Switzerland, pada 1974.

"Syarikat itu mahu membuka kilang jam tangan secara usaha sama di Sungai Way, Petaling Jaya, jadi kita mula menghasilkan jam di dalam negara bagi pelbagai jam jenama mewah.

"Selepas hampir 30 tahun bekerja, saya mendapat tawaran bekerja sebagai pengurus di China dan Taiwan. Di sana kita membuat pengeluaran produk tulen (OEM) untuk syarikat jam tangan Swiss," katanya.

Sebaik saja bersara pada 2015, beliau tekad menggunakan pengalaman dan kemahirannya lebih 40 tahun dalam reka bentuk, pembuatan dan pematuhan kualiti bagi jenama jam tangan mewah untuk menghasilkan jenama sendiri, setanding jam jenama Swiss lain.

"Jadi, pada Januari 2017, lahirlah jam sulung jenama Fateh Watches. Jam model 'Discovery' dikeluarkan sebanyak 300 unit itu jam pertama seumpamanya dengan fungsi dwi masa analog.

"Cirinya direka satu muka jam mengikut arah putaran jam dan satu lagi, putaran lawan jam atau lebih dikenali sebagai jam tawaf.

"Saya tidak menyangka, sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana jam ini memudahkan mereka yang mengembara ke luar negara termasuk menunaikan haji serta umrah melihat waktu. Ramai rakan saya yang memberi sokongan.

"Ini mendorong saya untuk terus menghasilkan lebih banyak model jam tangan dan kini, jenama ini sudah memiliki lebih 10 model jam untuk lelaki dan wanita," katanya.

Antara model jam tangan putaran lawan jam lain yang dihasilkan termasuk Octagon, Pearl dan Hagia, manakala terbaharu, Automatic Moonphase Skeleton Strata, jam tangan automatik dihasilkan atas permintaan ramai pelanggan.

Harga jam tangan antara RM400 hingga RM1,600, bergantung kepada modelnya.

"Setiap model, kita hadkan pengeluarannya kepada 300 unit saja. Ramai juga yang bertanya mengapa kita tidak keluarkan dengan banyak," katanya.

Utamakan reka bentuk berkualiti

Beliau berpegang kepada prinsip untuk menjaga kualiti dan paling mustahak, biarlah orang memakai jam itu menghargai reka bentuk serta kualiti dihasilkan kerana jam ini boleh disimpan turun-temurun jika dijaga dengan baik.

Zainal (kiri) bersama anaknya, Fitry optimis mahu memperluaskan jenama jamnya ke pasaran global. - Foto ihsan Zainal Mohd Ali
Zainal (kiri) bersama anaknya, Fitry optimis mahu memperluaskan jenama jamnya ke pasaran global. - Foto ihsan Zainal Mohd Ali

Ada pemimpin dan selebriti membeli jam tangan ini termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Selain itu, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz serta pelakon, Saharul Ridzwan..

Proses rekaan jam

Menjelas lanjut mengenai proses penghasilannya, Fitry yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, berkata beliau dan bapanya akan membuat lakaran, reka bentuk, lukisan teknikal serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), sebelum sesuatu model jam itu memasuki fasa pengeluaran di China.

Katanya, memandangkan bapanya mempunyai banyak pengalaman bekerja di kilang pembuatan jam terbesar di Taiwan, China dan Hong Kong, yang menghasilkan jam tangan mewah Swiss, beliau arif mengenai bekalan perkakasan bahagian jam tangan dan kilang pembuatannya bagi menghasilkan jenama jam itu.

"Pihak kilang akan mengikut dengan teliti lukisan teknikal dibekalkan. Pembuatan jam tangan ini sangat kritikal kerana banyak perkakasan mikro di dalamnya, jadi kawalan kualiti memang sukar bagi mengekalkan reka bentuk sama seperti lukisan teknikal itu.

"Setiap 300 unit model jam dihasilkan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan. Pihak kilang akan membuat pemeriksaan kawalan kualiti terlebih dahulu sebelum kami meneliti sama ada ia menepati spesifikasi ditetapkan seperti waktu, perkakasan, bentuk, ruang dalam jam atau jika ada kesalahan dalam impalan.

"Apabila tiba di Malaysia, kita melakukan pemeriksaan kualiti sekali lagi, sebelum dikeluarkan di pasaran," katanya.

Reka jam tangan eksklusif

Graduan sarjana muda dalam bidang seni reka perindustrian dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, pengajian di universiti banyak membantu beliau dalam mentafsir reka bentuk bagi pembuatan jam, selain penggunaan perisian yang sesuai.

"Saya mereka bentuk jam tangan dan ayah terbabit dalam kejuruteraan mikro. Saya banyak belajar daripada ayah terutama dalam aspek teknikal," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Syarikatnya juga menyediakan perkhidmatan pembuatan jam tangan atas permintaan pelanggan termasuk bagi syarikat atau pihak mahu mereka bentuk jam tangan sendiri atau penghasilan jam tangan peribadi.

Fitry bercita-cita membina kilang pembuatan sendiri di Malaysia dan memperluaskan lagi pasaran jenama itu ke luar negara terutama ke Asia Barat dan Eropah.

"Selepas kita memasarkan jam tangan ini melalui laman web, sambutan diterima amat menggalakkan, antaranya dari Brunei, Singapura, Bahrain, Kuwait dan Ivory Coast," katanya.

Beliau juga ingin memberi penekanan kepada kaedah pendidikan seperti asas dan mengenali kualiti jam tangan di platform media sosial Fateh Watches, supaya orang ramai lebih memahami mengenai keistimewaan serta ciri sesuatu jam tangan.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau mendapatkan jam tangan ini boleh ke butik Anak Jantan, di Malakat Mall.

Zainal belajar ilmu pembuatan jam secara profesional di luar negara, sebelum bina empayar perniagaan jenama jam tangannya sendiri, Fateh Watches. - Foto ihsan Zainal Mohd Ali
Zainal belajar ilmu pembuatan jam secara profesional di luar negara, sebelum bina empayar perniagaan jenama jam tangannya sendiri, Fateh Watches. - Foto ihsan Zainal Mohd Ali
Berita Harian X