Isnin, 8 Ogos 2022 | 11:09am
Jerat dipasang oleh pemburu haram di hutan simpan mengancam habitat Harimau Malaya.- Gambar Ihsan PERHILITAN.
Jerat dipasang oleh pemburu haram di hutan simpan mengancam habitat Harimau Malaya.- Gambar Ihsan PERHILITAN.
Datuk Abdul Kadir Abu Hashim
Datuk Abdul Kadir Abu Hashim
Seekor Harimau Malaya jantan tercedera di kaki dan belakang badan ditemui di Ladang Kereteh 2, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini. - Ihsan PERHILITAN
Seekor Harimau Malaya jantan tercedera di kaki dan belakang badan ditemui di Ladang Kereteh 2, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini. - Ihsan PERHILITAN

Dawai besi ancam 'Pak Belang'

illahhafiz.abdulaziz

Jerat dawai besi dipasang oleh pemburu haram di hutan simpan, antara ancaman utama terhadap kepupusan Harimau Malaya di negara ini.

Data Tabung Hidupan Liar (WWF) 'Silence of the Snares: Southeast Asia's Snaring Crisis (2020)' dari 2005 hingga 2019, melaporkan lebih 370,000 jerat dijumpai di dalam hutan di rantau ini.

Jadi tidak mustahil bahana pemasangan jerat dawai besi oleh pemburu haram, selain aktiviti pembalakan, pembangunan, pertanian dan penerokaan haram mengakibatkan habitat hidupan itu terancam.

Berdasarkan laporan WWF hanya 3,900 ekor harimau wujud di bumi dan krisis manusia masih berlaku di Asia Tenggara mengakibatkan jumlah raja di rimba ini semakin berkurangan.

Di Malaysia, kira-kira 150 ekor 'pak belang' yang tinggal dan ia jumlahnya amat membimbangkan.

Kekang aktiviti pemburu haram

Mengulas isu ini, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata pengurangan populasi harimau perlu diberi perhatian meskipun kerjasama pemantauan dengan agensi lain ada bagi mengurangkan kes pemburuan haram mencecah hampir 98 peratus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Dawai besi digunakan sebagai jerat digunakan oleh pemburu haram menangkap harimau. - Gambar hiasan
Dawai besi digunakan sebagai jerat digunakan oleh pemburu haram menangkap harimau. - Gambar hiasan

"Mengikut laporan Sukarelawan Malaysia Conservation Alliance for Tiger (MyCat) sudah memusnahkan 150 jerat dawai dalam tempoh lapan tahun, sejak 2010 di kawasan hutan Koridor Hidupan Liar Sungai Yu, Pahang.

"Mereka turut masuk ke kawasan Hutan Yu, Hutan Simpan Tanum dan Hutan Simpan Jelai mencari jerat dawai dan dalam tempoh lima tahun dan berjaya mengutip sebanyak 3,500 jerat dawai.

"Perbadanan Taman Negeri Perak juga menemui beratus-ratus jerat hasil pemantauan di Belum-Temenggor. Malah bilangan jerat ditemui berkurangan sejak lebih dua tahun lalu.

"Penemuan jerat yang banyak ini menunjukkan ia kaedah utama pemburuan haram menangkap harimau dengan meletakkan jerat dawai besi di kawasan laluan Harimau Malaya," katanya.

Pemburu haram lazimnya memasang jerat dawai yang boleh dibeli serendah RM25, di sepanjang denai atau laluan hidupan liar dengan lokasi utama dikenal pasti di kawasan hutan Koridor Hidupan Liar Sungai Yu, Lipis dan hutan di Rompin, Pahang.

Justeru, aktiviti pemburuan haram wajar dikekang termasuk mengesan jerat yang masih banyak dipasang di taman negara Malaysia.

1,435 jerat hidupan liar dimusnahkan

Selain itu, melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) kes pemburuan haram dan pemasangan jerat harimau terus dipergiatkan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim pula, OBK ini membabitkan semua agensi lain dilakukan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bagi mengekang pemburuan haram.

"OBK adalah program Kempen "Selamatkan Harimau Malaya" yang dilancarkan, sejak September 2019 yang berkonsepkan 'boots on the ground' dengan rondaan berterusan di habitat hidupan liar termasuk Hutan Simpan Kekal bagi mencegah pencerobohan, mengawal pemburuan haram, menghapuskan jerat dan membanteras sindiket jenayah hidupan liar.

Abdul Kadir berkata, sebanyak 39 siri operasi rondaan di lapangan dirancang berjaya dilaksanakan sepanjang 2019 hingga tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 187 kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan 355 orang pesalah jenayah terdiri daripada 255 warga tempatan dan 100 warga asing.

"Sebanyak 1,435 jerat hidupan liar berjaya dimusnahkan dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan sebanyak RM36.45 juta.

Sejak awal tahun ini hingga Julai lalu, sebanyak enam siri operasi rondaan di lapangan dijalankan dengan sebanyak 25 kertas siasatan dibuka di atas pelbagai kesalahan jenayah membabitkan jumlah keseluruhan sitaan bernilai hampir RM4 juta.

Daripada rondaan itu, sebanyak 215 jerat hidupan liar juga dimusnahkan. Kes ini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Tingkatkan operasi penguatkuasaan

Justeru, kerjasama pemantauan dilakukan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3), dengan melantik seramai 814 Veteran Angkatan Tentera (VET) dan Orang Asli (OA) sebagai Renjer Hidupan Liar bagi membantu meningkatkan operasi penguatkuasaan bersepadu serta perisikan di kawasan habitat utama Harimau Malaya.

Kepakaran VET dan OA meningkatkan keberkesanan pengesanan kes di kawasan 'hotspot' pencerobohan, pemburuan haram dan pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.

Menurut Abdul Kadir, usaha konservasi Harimau Malaya diterajui dengan komitmen peringkat tertinggi kerajaan melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya atau National Tiger Conservation Task Force (MyTTF).

"Mesyuarat Pertama MyTTF diadakan, pada 10 Januari lalu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membincangkan mengenai tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya.

"Kerajaan merangka tindakan strategik mengenai krisis populasi Harimau Malaya berdasarkan tiga pendekatan, iaitu mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya, meningkatkan tadbir urus baik, keberkesanan dalam melaksanakan konservasi dan memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan haiwan liar itu," katanya.

Strategik itu termasuk meningkatkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan; memperkukuhkan Special Protected Area Response Team (SPARTA) sebagai Pasukan Taktikal Khas Konflik Harimau Malaya; meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan habitat Harimau Malaya serta menubuhkan National Tiger Conservation Task Force (NTCTF).

"Kerjasama diperluaskan dengan pembabitan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di dalam perkongsian makluman perisikan dan penyeludupan antarabangsa, penguatkuasaan dan kawalan di pintu masuk negara, selain agensi lain," katanya.

Sementara itu, jurucakap WWF Malaysia, menegaskan pihaknya juga komited membantu kerajaan menyelamatkan Harimau Malaya.

Kerjasama dilakukan dengan agensi penguatkuasa melakukan rondaan pencegahan pemburuan haram, advokasi memastikan undang-undang sedia ada ditambah baik.

"Penemuan empat anak Harimau Malaya dirakamkan bersama ibunya di Taman Negeri Perak, baru-baru ini, membuatkan kami percaya pemuliharaan 'in-situ' haiwan itu membabitkan di habitat asal itu adalah langkah terbaik.

"Untuk harimau membiak dengan baik memerlukan

sumber mencukupi seperti habitat yang luas, bersambung dan tidak terganggu, makanan mencukupi, selain perlindungan daripada ancaman pemburu haram," katanya.

Teknik pembiakan berbantu Harimau Malaya

Dalam perkembangan sama, PERHILITAN sudah mendalami teknik pembiakan berbantu

(ART) terhadap spesies mamalia termasuk Harimau Malaya menerusi penubuhan Wildlife ReproductiveBiotechnology Team (WRBT) sebagai langkah memulihara haiwan itu.

Abdul Kadir berkata WRBT ditugaskan untuk memahami, meningkatkan kemahiran, kepakaran dalam bidang pembiakan berbantu hidupan liar, penilaian semen hidupan liar jantan, rawatan hormon pembiakan betina, penentuan profil hormon pembiakan betina, permanian beradas dan kajian anatomi struktur organ pembiakan betina.

Katanya, selaras dengan Kempen Selamatkan Harimau Malaya, WRBT menumpukan usaha pengukuhan program pembiakan berbantu ke atas spesies Harimau Malaya.

"Sel tisu haiwan itu diambil untuk kajian kultur tisu bagi membanyakkan sel stem untuk disimpan dan digunakan dalam teknologi sel yang lebih maju pada masa hadapan, contohnya teknologi klon.

Setakat ini, 40 program pembiakan berbantu harimau membabitkan 30 program pengumpulan dan penganalisaan semen, lima program permanian beradas dan lima program pemeriksaan organ pembiakan betina dijalankan sejak 2017 dengan bantuan pakar dari agensi luar.

"Usaha pembiakan Harimau Malaya, pada masa ini difokuskan kepada pembiakan secara semula jadi," katanya.

Berita Harian X