Isnin, 1 Ogos 2022 | 12:30pm
Athira menunjukkan ular yang terdapat di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS) di Ayer Keroh. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Athira menunjukkan ular yang terdapat di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS) di Ayer Keroh. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Gadis 'berteman' dengan 100 ekor ular berbisa, 30 buaya ganas

WALAUPUN berat badannya hanya 35 kilogram (kg), gadis pencinta ular, Athira Md Wahi tidak berdepan masalah mengangkat ular sawa Burma yang sama berat dengannya, selain menjaga kesihatan lebih 100 ekor ular berbisa daripada lima spesies berbeza dan juga buaya setiap hari.

Selain sentiasa setia memberi makan spesies lain ular seperti ular sawa batik seberat 150 kg, gadis berusia 25 tahun ini menganggap ia sebagai rutin wajib sebagai Pengurus Bahagian Ular, Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS), di Ayer Keroh, Melaka yang setiap hari ditemani spesies ular di pusat berkenaan.

Kekuatan fizikal dan mentalnya jelas tidak terjejas walaupun dalam kalangan masyarakat termasuk lelaki yang geli, seram dan takut mendekati reptilia terbabit.

Lebih menarik setiap pagi 'ratu reptilia' ini akan memasuki kandang ular berkenaan bagi membersihkan persekitaran dan mengurus lebih 100 ekor ular berbagai jenis berkenaan.

"Setiap hari saya perlu memeriksa jumlah ular sama ada mencukupi atau sebaliknya. Jadi tugasan memasuki kandang ular berbisa atau tidak berbisa ini dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Athira mendalami kehidupan dunia haiwan reptilia, jadi rutin setiap hari tanpa rasa gentar. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Athira mendalami kehidupan dunia haiwan reptilia, jadi rutin setiap hari tanpa rasa gentar. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Athira menjaga kesihatan lebih 100 ekor ular berbisa daripada lima spesies berbeza setiap hari. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Athira menjaga kesihatan lebih 100 ekor ular berbisa daripada lima spesies berbeza setiap hari. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Masuk kandang ular terbesar di duniaa

Beliau kebiasaannya akan memasuki kandang ular bersama seorang lagi rakan sekerja bagi memastikan keselamatan mereka terjaga.

"Di sini ada pelbagai spesies ular, jadi kita juga perlu masuk ke kandang ular terbesar di dunia, iaitu Anaconda," katanya.

Bagi memudahkan komunikasi dan pengiraan ular beberapa haiwan berkenaan diberi nama antaranya Rambo, Bella, Snow, Izo dan Fahmi kerana kebanyakannya ular terbabit turut terbabit dalam persembahan.

"Saya juga ditugaskan untuk memberi makan ular berkenaan mengikut jadual. Antara makanan diberi kepada haiwan reptilia ini yang selalunya ditetapkan ialah memberi makan ayam kampung dan tikus. Kemudian saya akan merekodkan pemakanannya untuk memastikan ia mencukupi serta tiada sebarang masalah kesihatan," katanya.

Athira dalam persembahan ular

Tugasan lain adalah bertanggungjawab untuk mengadakan persembahan 'Hissing Story' yang menceritakan kesan dan akibat daripada tindakan pembalakan tidak terkawal kepada ular di dalam kandang ditemani ular-ular.

Malah beliau juga terbabit dengan persembahan 'New Skin New Me' yang mengisahkan mengapa ular bersalin kulit, kepentingan ular salin kulit serta 'Myth Buster' iaitu mitos berkenaan ular dalam masyarakat.

"Biasa saya akan pegang, meletakkan ular di atas bahu, bermain dengan ular, memberi makan ketika persembahan itu berlangsung," katanya.

Anak ketiga daripada sembilan beradik ini sebenarnya tidak pernah menduga bekerja dalam karier berkenaan kerana beliau mengikuti pengajian dalam bidang Asasi Sains Pertanian dan sarjana muda Sains Pertanian (Akuakultur) di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang jauh berbeza dengan pekerjaan sekarang.

Athira (bertudung merah jambu) mengadakan persembahan di dalam kandang ular. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Athira (bertudung merah jambu) mengadakan persembahan di dalam kandang ular. - NSTP/Nazri Abu Bakar

"Ketika kesukaran mencari pekerjaan semasa pandemik COVID-19, saya bersyukur juga berpeluang berkhidmat di taman berkenaan. Dari sehari ke sehari saya mula terpaut dan menimbulkan minat dengan kerjaya ini terutama apabila dapat mengetahui lebih mendalamnya mengenai dunia kehidupan ular.

Gadis berasal dari Masjid Tanah itu berkata, kini semuanya berjalan lancar dan tidak menjadi masalah pada dirinya apabila ketentuan bidang kerjayanya perlu bergelumang dengan haiwan berbisa yang diceburi sejak lapan bulan lalu itu.

Lebih menarik apabila beliau mendapat galakan daripada Pengarah Urusan MBRS, Gerard Wong serta Pengurus Taman itu, Qurratu Ain Rahamin Nordin dan rakan sekerja sehingga memberi suntikan semangat buatnya untuk membelai dan memanjakan ular yang kini sudah sebati dengan dirinya.

Tidak pernah dipatuk ular

Berkongsi lanjut, Athira bersyukur kerana setakat ini tidak pernah dipatuk atau dicederakan oleh ular yang dijaga kerana sentiasa memberi penekanan dalam aspek keselamatan.

"Saya sentiasa berdoa dipermudahkan urusan dan selamat sepanjang mengendalikan ular itu.

"Malah, lebih menarik dan teruja kerana saya dapat melihat sepasang ular sawa Burma Albino menetaskan seekor anak berwarna hitam atau normal berbanding 26 lagi berwarna kuning putih (Albino) seperti pasangan ular terbabit.

"Ular berwarna hitam itu jelas berbeza berbanding yang lain termasuk ibunya diberi nama Bella, berusia sembilan tahun dan pasangannya sejenis ular sawa Burma Albino Granite bernama Snow," katanya.

Ular sawa yang turut dikenali sebagai 'python' antara spesies yang terberat di dunia itu menghasilkan 35 biji telur turut menjadi kebanggaannya, selain tujuh spesies ular paling berbisa di dunia antaranya ular kapak tokong dan ular tedung selar atau 'king cobra'.

"Saya komited melakukan semua ini, yakin dapat mengendalikan tugasan dengan terbaik demi memastikan haiwan berkenaan terpelihara dan gembira apabila taman berkenaan dikunjungi ramai," ulasnya yang mendapat sokongan serta dorongan padu daripada keluarga.

Athira bersyukur kerana setakat ini tidak pernah dipatuk atau dicederakan oleh ular yang dijaga kerana sentiasa memberi penekanan dalam aspek keselamatan. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Athira bersyukur kerana setakat ini tidak pernah dipatuk atau dicederakan oleh ular yang dijaga kerana sentiasa memberi penekanan dalam aspek keselamatan. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Jaga 30 ekor buaya, mainan harian

Athira turut menjaga lima spesies buaya membabitkan 30 ekor keseluruhan di taman sama.

Katanya, antara spesies buaya yang menjadi teman setiap hari ialah spesies American alligator, julung-julung, smooth fronted caiman dan spectacle caiman yang sentiasa garang apabila didekati.

Apapun ia bukan halangan buatnya tugasan sama berat turut dilakukan ketika membuat persembahan buaya bagi menghiburkan pengunjung sambil memberi makan buaya.

"Melihat pengunjung terhibur sudah cukup puas, hilang lelah dan rasa dihargai apabila mereka mengagumi ketangkasan buaya mengikut arahan kami dalam persembahan," katanya.

Lebih menarik di taman berkenaan terdapat buaya kudung yang sentiasa menjadi perhatian pengunjung.

Buaya ini tetap garang jika didekati dan baginya jika kita tahu mengurusnya pasti tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Tiada istilah buaya jinak. Saya juga kena berani, berhati-hati dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menjadi panduan untuk saya dirinya sentiasa bersedia termasuk ketika mengadakan persembahan bersama alligators yang bernama BJ and Barne," katanya.

Tiada petua miliki keberanian

Athira akui, bukan sahaja seluruh keluarganya, bahkan ramai rakannya terkejut beliau mempunyai keberanian yang tinggi dengan haiwan reptilia ini.

Kerja jadi lebih mudah dan tenang apabila tertanam dalam jiwa mencintai haiwan walaupun apa juga spesiesnya mereka perlu perhatian dengan memahami jiwa serta naluri dunia haiwan itu.

"Saya tidak memiliki apa-apa petua untuk menjadi berani mendekati haiwan terbabit, sebaliknya perkongsian pengalaman rakan setugas apa yang mereka dilalui cukup memberikan saya 'tonik' terbaik untuk terus setia dalam tugasan berkenaan," tegasnya yang sering dibantu Wong dan rakan setugas di taman terbabit.

Berita Harian X