Isnin, 25 Julai 2022 | 10:00am
:Wayang Kulit Animatronik dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM gunakan kuasa motor bagi menggerakkan watak. - Foto/Zuhainy Zulkiffli
:Wayang Kulit Animatronik dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM gunakan kuasa motor bagi menggerakkan watak. - Foto/Zuhainy Zulkiffli

Wayang kulit robotik ganti 'tok dalang'

Sejak zaman-berzaman wayang kulit dimainkan oleh seorang tok dalang, sekumpulan pemuzik, kru dan sebagainya bagi melengkapkan seni persembahan untuk menghiburkan penonton dengan pelbagai cerita rakyat.

Tok dalang juga memainkan wayang kulit di balik kelir, iaitu layar diperbuat daripada kain putih, sambil diiringi muzik gamelan sekali gus mempamerkan bagaimana uniknya cara tradisional yang penuh warna-warni.

Mencipta kelainan, kini persembahan wayang kulit beralih kepada penggunaan teknologi robotik, sekali gus yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini.

Ternyata ia pemikiran di luar kotak. Kreativiti anak muda dari Alumni Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Ahnaf Hakimi Ahmad, 33, tampil dengan idea dan inovasi baharu yang mengujakan.

Ini adalah projek khusus persembahan wayang kulit dengan gabungan teknologi robotik bersama seni persembahan wayang kulit yang kali pertama dihasilkan.

Guna kaedah robotik

Ahnaf Hakimi bersama rakan lain bagi membangunkan wayang kulit animatronik (WKA), yang kaedah persembahan sama seperti wayang kulit tradisional.

Ahnaf Hakimi menunjukkan bagaimana menggerakkan watak WKA yang dicipta hasil gabungan robotik dan sistem kawalan automatik. Foto/Zuhainy Zulkiffli
Ahnaf Hakimi menunjukkan bagaimana menggerakkan watak WKA yang dicipta hasil gabungan robotik dan sistem kawalan automatik. Foto/Zuhainy Zulkiffli

"Yang membezakannya, wayang kulit animatronik ini dikendalikan sepenuhnya oleh kaedah robotik tanpa perlu membabitkan kehadiran fizikal pemain wayang kulit termasuk tok dalang, pemuzik, kru dan sebagainya.

"Wayang kulit bukan persembahan yang mudah bagi ditonton pada masa ini," katanya.

Justeru, bimbang seni itu hilang ditelan zaman,

Ahnaf Hakimi yang juga graduan ijazah sarjana muda Seni Halus dan Sarjana Instruksi Multimedia itu berkata, idea bagi menghasilkan wayang kulit berkenaan tercetus apabila terdapat kurangnya persembahan wayang kulit pada masa kini.

Ujarnya, dalam menjayakan satu-satu persembahan wayang kulit, modal kewangan diperlukan bagi kos termasuk bayaran upah kepada Tok Dalang, pemuzik, krew dan individu lain yang terbabit.

Idea dan inovasi baharu guna sistem kawalan automatik. - Foto/Zuhainy Zulkiffli
Idea dan inovasi baharu guna sistem kawalan automatik. - Foto/Zuhainy Zulkiffli

"Saya berpendapat selain berinovasi, WKA juga dapat menjadi satu medium ke arah mengurangkan kos persembahan, yang menjadi faktor kurangnya pertunjukan wayang kulit tradisional pada masa ini.

"Jika kos dapat dikurangkan, persembahan wayang kulit dapat dilakukan secara lebih kerap," katanya yang mempunyai kemahiran dalam bidang multimedia dan robotik.

Digerak gunakan motor

Mengakui projek berkenaan bermula daripada cetusan ideanya, Ahnaf Hakimi berkata persembahan itu sepenuhnya dijayakan sendiri.

Katanya, daripada rekaan mekanikal, sistem komputer dan pengaturcaraan, dilakukan sendiri dengan berbekalkan pengalaman yang ada.

"Watak persembahan sepenuhnya digerak menggunakan motor menjadikan ia lancar ketika dipersembahkan.

"Manakala dari segi reka bentuk watak wayang kulit, ia dihasilkan oleh artis komik yang dikenali sebagai Yaya-Okita dan audio pula menggunakan khidmat Wak Long Music dan Art Center bersama Dalang, Mursyid Md Hussein, yang juga alumni USM.

"Penghasilan wayang kulit animatronik dibuat dengan penuh teliti kerana ia memerlukan penyelidikan, pemerhatian, pembangunan reka bentuk dan juga kerja pertukangan," katanya lagi.

Tarik minat generasi muda

Ahnaf Hakimi juga yakin inisiatif dalam membangunkan kaedah pementasan secara animatronik itu dapat memberi impak yang meluas, khususnya bagi menarik minat generasi masa kini dalam mempelajari serta menghayati seni wayang kulit.

Inovasi Wayang Kulit Animatronik pertama kali dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga hujung Julai ini. - Foto/Zuhainy Zulkiffli
Inovasi Wayang Kulit Animatronik pertama kali dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga hujung Julai ini. - Foto/Zuhainy Zulkiffli

Katanya, ia memerlukan dedikasi yang tinggi kerana proses berkenaan memerlukan ketahanan dan kebolehulangan bagi menjamin kualiti persembahan wayang kulit ketika dimainkan.

"Menerusi persembahan wayang kulit itu, pengunjung dapat melihat, mengenali, merasai dan mempelajari pergerakan robotik dan sistem kawalan automatik yang dibangunkan.

"Ia sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan terhadap kepentingan revolusi dalam memastikan kelangsungan seni budaya warisan berzaman diwariskan daripada generasi ke generasi," katanya.

Menurut Ahnaf Hakimi, beliau berharap generasi muda sekarang dapat memelihara warisan seni yang tidak ternilai harganya.

Beliau juga mendapat pelbagai maklum balas positif bagi memperkembangkan lagi 'kebolehan' WKA.

"Ia juga dijangka dapat menarik minat mereka dalam menceburi teknologi robotik yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai perkara pada masa ini.

"Membabitkan kos kira-kira RM30,000, wayang kulit kali pertama dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM sehingga hujung Julai ini," katanya.

Cerita wayang kulit dekat di hati

Jika dilihat dari lipatan sejarah, seni warisan wayang kulit yang popular di Nusantara itu lazimnya menggunakan teknik bayang daripada pantulan cahaya ke atas kalir menerusi watak yang digambarkan pada patung atau boneka belulang itu.

Ditambah dengan jalan cerita yang dekat di hati masyarakat, ia menjadikan kaedah pementasan teater itu terus diminati seiring dengan perkembangan semasa.

Watak wayang kulit yang dicipta. - Foto/Zuhainy Zulkiffli
Watak wayang kulit yang dicipta. - Foto/Zuhainy Zulkiffli

Karya kebudayaan tinggi nilainya memerlukan sekumpulan orang yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran bagi menjamin kualiti persembahan dapat memberikan hiburan dan pada masa sama turut diisi dengan cerita teladan.

Berita Harian X