Isnin, 18 Julai 2022 | 10:42am
Kehalusan reka corak koleksi tekstil batik menyerlahkan motif tradisional yang mempesonakan.- Foto/Saifullizan Tamadi
Kehalusan reka corak koleksi tekstil batik menyerlahkan motif tradisional yang mempesonakan.- Foto/Saifullizan Tamadi

Keunikan 156 koleksi seni tekstil

KEISTIMEWAAN dan keindahan seni tekstil Melayu terletak pada kehalusan motif serta reka corak yang mempesonakan.

Motif turut memainkan peranan penting dalam menunjukkan lambang dan identiti sebuah bangsa terutama bagi membezakan dengan negara jiran serumpun.

Pemilihan motif dapat menentukan keindahan yang mencerminkan pegangan hidup, persekitaran, kepercayaan dan warisan budaya.

Kehalusan reka corak dalam proses pembuatan tekstil menggambarkan ketinggian pengetahuan dan kemahiran dimiliki masyarakat setempat, setiap motif diberi pelbagai nama dan rupa bentuk mengikut cita rasa dan kreativiti pereka.

Keunikan dan kreativiti karya daripada tangan 'ajaib' itu dapat dihayati serta dilihat secara dekat menerusi Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil bermula 7 Julai lalu hingga 31 Disember depan, di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur, orang ramai berpeluang melihat pelbagai jenis koleksi tekstil sama ada songket, songket limar, kain tenun, kain pelangi, batik, tekat, hiasan kepala, kelingkan, kasut manik dan telepuk.

Pameran menampilkan 10 kategori motif iaitu flora, fauna, alam semula jadi, kosmos, objek, makanan, figura, kaligrafi, geometri dan abstrak. - Foto/Ihsan Jabatan Muzium Tekstil Negara.
Pameran menampilkan 10 kategori motif iaitu flora, fauna, alam semula jadi, kosmos, objek, makanan, figura, kaligrafi, geometri dan abstrak. - Foto/Ihsan Jabatan Muzium Tekstil Negara.

Pameran dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mempamerkan sebanyak 91 koleksi pelbagai kategori milik JMM dan 65 koleksi produk akhir hasil karya dan kreativiti pelajar UiTM Cawangan Machang, Kelantan.

Corak, reka bentuk eksklusif

Keseluruhan peragaan pameran ditelusuri menerusi empat segmen yang memfokuskan mengenai asal usul punca kejadian motif pada tekstil, motif reka corak dan pewarnaan, simbolisme motif pada tekstil, perkembangan idea serta hasil kreativiti motif.

Ini untuk memberi kefahaman kepada masyarakat kepelbagaian sumber inspirasi penghasilan seni tekstil tempatan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, berkata dalam konteks tekstil, alam semula jadi adalah sumber dalam mencorakkan motif.

Beliau berkata, seterusnya mengubahsuainya bagi menghasilkan satu reka corak yang menarik, ini termasuk pemilihan warna di atas sehelai kain putih.

Katanya, pereka dan pengusaha didedahkan melalui pemerhatian kekayaan sumber khazanah alam mengambil kesempatan itu untuk mengeluarkan daya kepekaan, kreativiti yang tinggi dalam menterjemah alam semula jadi serta persekitaran.

"Ia seterusnya dijelmakan dalam bentuk reka corak yang sangat menarik dan eksklusif," katanya yang menambah idea mengadakan pameran timbul atas kesedaran koleksi tekstil jabatan perlu dijadikan bahan pembelajaran kepada masyarakat.

Pertembungan budaya Melayu-Nusantara

Kamarul Baharin berkata, pameran menampilkan 10 kategori motif iaitu flora, fauna, alam semula jadi, kosmos, objek, makanan, figura, kaligrafi, geometri dan abstrak.

Ia terbahagi kepada empat segmen, iaitu Alam Sebagai Punca Kejadian, Motif dan Reka Corak, Sinbolisme Motif Pada Tekstil dan Idea dan Kreativiti.

Songket antara motif reka corak yang unik dan eksklusif.- Foto/Saifullizan Tamadi
Songket antara motif reka corak yang unik dan eksklusif.- Foto/Saifullizan Tamadi

"Keanggunan dan keajaiban alam ciptaan Tuhan menjadi sumber idea, inspirasi dan punca kejadian bagi penghasilan motif pada tekstil Melayu.

"Segmen ini memperlihat sebuah diorama tentang keindahan alam dan segala isinya bermula hutan khatulistiwa, paya bakau, pantai, lautan, gunung-ganang dan alam cakerawala yang mewakili setiap unsur motif yang dipamerkan.

"Selain itu, turut menampilkan unsur-unsur motif hasil pertembungan budaya Melayu-Nusantara dan hubungan perdagangan," katanya.

Setiap unsur motif diterjemah melalui beberapa kaedah iaitu denaturalisasi, penggayaan, abstrak dan geometri sehingga menghasilkan suatu reka corak yang unggul dan dominan pada tekstil.

"Reka corak ini, seterusnya dilengkapkan dengan pewarnaan semula jadi yang menghasilkan warna menarik dan nama istimewa sehingga membentuk sehelai kain yang sempurna," katanya.

Tambah beliau, di sebalik setiap unsur motif yang dipilih mempunyai simbolik, falsafah dan maksud tersirat serta mempunyai hubungan rapat dengan aspek sosiobudaya, agama, kepercayaan, adat, norma, nilai, pantang larang dan pandangan hidup orang tempatan.

Motif flora antara yang menjadi pilihan pereka dalam menghasilkan karya seni tekstil. - Foto/Ihsan Jabatan Muzium Negara.
Motif flora antara yang menjadi pilihan pereka dalam menghasilkan karya seni tekstil. - Foto/Ihsan Jabatan Muzium Negara.

"Bagi segmen ini, simbolisme dan falsafah motif pucuk rebung dipilih sebagai motif dominan dalam seni tekstil Melayu.

"Antaranya ialah gabungan pucuk rebung dengan motif lain seperti pucuk rebung lawi ayam, pucuk rebung lawi itik, pucuk rebung tepi gigi yu, pucuk rebung kayohan, pucuk rebung pohon rhu dan pucuk rebung bunga ros.

"Turut dipamerkan variasi reka corak motif pucuk rebung dalam tekstil Melayu seperti pucuk rebung berjuang, pucuk rebung kendung, pucuk rebung siku keluang atau putu, pucuk rebung gigi bita dan tunjuk langit," katanya.

Ikan arowana karya Nur Shakeira menerima anugerah khas sempena perasmian Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini. -- Foto/Ihsan Nur Shakeira.
Ikan arowana karya Nur Shakeira menerima anugerah khas sempena perasmian Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini. -- Foto/Ihsan Nur Shakeira.

Lukisan ikan arowana dinobatkan anugerah khas

Sementara itu, lukisan ikan arowana dihasilkan pelajar tahun akhir Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Tekstil UiTM Kelantan cukup menarik tumpuan hingga diberikan anugerah khas sempena perasmian Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini.

Diilhamkan daripada motif kendik sirik iaitu motif yang boleh dijumpai pada bahagian kaki kain songket, lukisan berkenaan mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

Pemilik karya berbakat besar, Nur Shakeira Abdul Hamid, 21, memaklumkan penyelidikan latar belakang objek dibuat terlebih dahulu sebelum satu-satu lukisan dihasilkan.

"Lukisan ikan saya hasilkan diilhamkan daripada motif kendik sirik, iaitu motif yang boleh dijumpai pada bahagian kaki kain songket. Untuk setiap lukisan saya hasilkan.

"Saya akan membuat penyelidikan dahulu tentang latar belakang objek itu supaya menjadi lebih bermakna dan bukan sekadar lukisan semata-mata.

"Tempoh dua hari untuk hasilkan lukisan ini yang menggunakan media cat air dan kering sebelum saya boleh mengaplikasikan lapisan warna baru pada permukaan sama.

"Saya juga menggunakan pensel warna. Gabungan dua media ini memberikan kesan lebih realistik dan menonjolkan nilai-nilai prinsip rekaan dalam lukisan dihasilkan," katanya.

Kekalkan tradisi seni elak pupus

Beliau berasal dari Melaka gembira dan teruja kali pertama menyertai pameran di Muzium Tekstil Negara.

"Dengan bantuan pensyarah jabatan Tekstil UiTM Cawangan Kelantan, saya dan semua pelajar lain dapat menghasilkan karya di luar jangkaan dan sangat hebat. Kami bertungkus-lumus dan berusaha keras menghasilkan karya walaupun banyak kekangan waktu.

Nur Shakeira turut menggunakan pensel warna dalam rekaan lukisannya. - Foto Ihsan Nur Hakeira
Nur Shakeira turut menggunakan pensel warna dalam rekaan lukisannya. - Foto Ihsan Nur Hakeira

"Terima kasih kepada ibu bapa banyak memberi sokongan dari segi mental dan fizikal serta menitipkan doa sepanjang perjalanan pembelajaran saya. Terima kasih juga kepada rakan turut membantu. Hasil karya mereka juga sangat kreatif dan menarik," katanya.

Lebih daripada 100 karya berdasarkan kain tradisi tekstil dipamerkan pelajar UiTM cawangan Kelantan pada pameran itu.

Karya dipamerkan adalah batik, cetakan, tenunan dan tapestry, selain kertas kerja dipamerkan secara nyata.

Kesemua karya berdasarkan subjek kajian pelajar seperti kain songket, batik, tekat, ikat limar dan banyak lagi.

"Setiap motif yang terdapat pada kain kajian terbabit mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi, contohnya motif pucuk rebung lawi ayam berasal daripada pucuk rebung dan bahagian lawi ayam digabungkan dan menjadi motif yang mempunyai

keunikan dan jalan ceritanya tersendiri.

"Banyak motif menarik yang jarang dilihat dan diketahui masyarakat yang berjaya kami keluarkan dan ia diolah menjadi suatu karya baharu dengan mengekalkan ciri-ciri kain tradisi tekstil asal," katanya.

Nur Shakeira kini menyambung pengajian peringkat ijazah seni lukis dan seni reka (tekstil) di UiTM, Shah Alam, turut kagum dan terharu dengan inisiatif Muzium Tekstil Negara untuk mengenengahkan dan mendedahkan aktiviti dan karya seni tekstil kepada masyarakat.

"Dengan adanya pameran ini, kita dapat pelajari dan kekalkan tradisi yang boleh dijadikan ilham oleh semua lapisan masyarakat termasuklah generasi muda.

"Jadi ia tidak akan pupus ditelan zaman jika kita tekun mempelajari dan memahami setiap keunikan yang ada pada aset tekstil negara," katanya.

Berita Harian X