Rabu, 13 Julai 2022 | 11:53am
Penggunaan basikal untuk aktiviti harian dan riadah semakin digemari penduduk di Pulau Pinang kerana turut menyediakan laluan khas basikal. - NSTP/Mikail Ong
Penggunaan basikal untuk aktiviti harian dan riadah semakin digemari penduduk di Pulau Pinang kerana turut menyediakan laluan khas basikal. - NSTP/Mikail Ong

Penduduk Pulau Mutiara gemar berbasikal

FASA peralihan endemik menyaksikan kegiatan riadah seperti aktiviti berbasikal kembali rancak tanpa mengira lokasi.

Namun, sejauh mana kenderaan dua roda itu berpotensi menjadi pengangkutan pilihan penduduk terutamanya di tengah bandar pesat membangun seperti Pulau Pinang?

Di Pulau Mutiara penggunaan basikal untuk aktiviti harian dan riadah kian bertambah saban tahun. Malah penganjuran pelbagai program berbasikal secara konsisten misalnya Bike on Friday (BoF), iaitu kempen kayuhan basikal setiap Jumaat juga memasuki edisi ke-337 minggu, sejak diperkenalkan pada 2015.

Walaupun, ada turun naik penyertaan, namun kempen itu ada pengikut tersendiri dan setakat ini lebih 100 peserta sempena Hari Basikal Sedunia disambut pada awal Jun lalu.

Setiap Jumaat, komuniti itu akan berbasikal ke mana sahaja. Ada memulakan kayuhan dari tempat tinggal masing-masing di Bayan Lepas, Bayan Baru, Jelutong, Tanjung Bungah. Terdapat segelintir lebih gigih sanggup berbasikal dari Butterworth sebelum menaiki feri menuju ke pulau.

Bermula dengan kempen mingguan, ada yang sudah beralih kepada rutin berbasikal setiap hari (BoE) walaupun bilangan mereka tidak ramai.

Bina laluan berbasikal di pelbagai lokasi

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang, berkata pihaknya sudah menyediakan rangkaian berbasikal sejauh 205.3 kilometer (km) dengan 42.4 km daripadanya adalah laluan khusus yang tidak berkongsi dengan kenderaan lain.

Rangkaian basikal itu meliputi pesisir pantai, tapak warisan Georgetown, kawasan berbukit-bukau di Bukit Bendera, empangan Air Itam selain kawasan perkampungan dan tepi pantai di Balik Pulau.

"Kami sentiasa meneroka lokasi bersesuaian di zon warisan pusat bandar membabitkan lorong belakang atau sisi untuk dijadikan laluan berbasikal sebagai sebahagian Pelan Transformasi Tapak Warisan Dunia Georgetown, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).

Rangkaian berbasikal 205.3 km dengan 42.4 km daripadanya laluan khusus tidak berkongsi dengan kenderaan lain. - NSTP/Mikail Ong
Rangkaian berbasikal 205.3 km dengan 42.4 km daripadanya laluan khusus tidak berkongsi dengan kenderaan lain. - NSTP/Mikail Ong

"Antara projek infrastruktur basikal terbaharu ialah membina laluan berbasikal khas sejauh 1.9 km menggunakan tanah rizab Jabatan Pengairan Saliran (JPS) yang akan memanfaatkan 16 sekolah di sekitar Air Itam.

"Kami berharap ia menjadi laluan alternatif pelajar yang ingin berbasikal ke sekolah sekali gus mengembalikan trend berbasikal ke sekolah seperti orang zaman dahulu," katanya.

Inisiatif kakitangan berbasikal ke tempat kerja

Tung Seang yang juga Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) berkata, soal keselamatan dan keselesaan antara dua isu sering dibangkitkan penunggang basikal.

Justeru, MBPP juga menyediakan kemudahan laluan berbasikal berbumbung, misalnya di jambatan berpusing dikenali sebagai Jambatan Harapan berdekatan pusat beli-belah Queensbay, menanam pokok untuk teduhkan kawasan laluan penunggang basikal secara semula jadi.

Ada beberapa kemudahan disediakan di laluan terpilih antaranya menyelenggara basikal, tempat parkir dengan kawalan keselamatan seperti di bangunan City Hall, Padang Kota Lama dan lampu solar panel menggunakan tenaga hijau.

Ada juga 29 stesen perkongsian basikal layan diri boleh dimanfaatkan dengan 30 minit pertama adalah percuma.

MBPP turut memperkenalkan insentif hijau kepada kakitangan berbasikal ke tempat kerja dengan kadar bayaran RM1 bagi setiap kilometer dengan tuntutan maksimum RM300 sebulan, selain pinjaman sifar faedah sehingga RM4,000 kepada kakitangan untuk pembelian basikal.

Pulau Pinang bandar lestari

MBPP juga menjalin kerjasama dengan pengendali perkhidmatan bas, Rapid Penang memperkenalkan inisiatif 'Foldies on Rapid' membabitkan hampir 200 bas pada 2019 bagi membolehkan pengguna membawa basikal lipat dari satu lokasi ke lokasi jauh dari pusat bandar termasuk Balik Pulau, Jawi atau Nibong Tebal tanpa caj tambahan.

Juruteknik kilang elektronik, Mohd Hairi Nizam Mohd Hussain mengayuh basikal di laluan pesisir pantai sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghubungkan ke tempat kerjanya. - NSTP/Mikail Ong
Juruteknik kilang elektronik, Mohd Hairi Nizam Mohd Hussain mengayuh basikal di laluan pesisir pantai sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghubungkan ke tempat kerjanya. - NSTP/Mikail Ong

"Ini sebahagian usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar lestari dan mesra basikal selaras agenda berbasikal giat dimulakan sejak 2010 sekali gus mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini pada masa depan," katanya.

Kurangkan pencemaran asap dan bunyi

Pensyarah yang juga penyelidik pengangkutan aktif dan mampan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nadhrah A Kadir, berkata laluan basikal berasingan diwujudkan daripada Georgetown ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah amat baik.

Dr Nadhrah A Kadir.
Dr Nadhrah A Kadir.

Katanya, Pulau Pinang yang mempunyai radius pergerakan 15 minit dari satu tempat ke satu tempat sangat berpotensi untuk penggunaan basikal atau berjalan kaki.

Cuaca bukan cabaran terbesar kerana Singapura cuaca sama dengan Malaysia, tetapi rakyatnya lebih ramai berbasikal kerana ada infrastruktur basikal yang baik.

"Berbasikal dapat mengurangkan pencemaran udara kerana tiada pembakaran dan pembebasan gas karbon dioksida.

"Basikal adalah mod pengangkutan senyap dan tidak menyumbang pencemaran bunyi disebabkan itu Laporan Penilaian Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendeklarasikan basikal sebagai alat yang dapat menyelamatkan bumi," katanya.

Jadi, ubah perspektif dan jangan terlalu bergantung kepada kenderaan bermotor, selain tidak menganggap basikal sebagai alat bersukan atau rekreasi.

Kebaikan basikal jarang diketengahkan sedangkan ia mampu menjimatkan ruang dengan satu kotak tempat letak kereta, iaitu memuatkan antara 15 hingga 20 basikal. Ruang itu boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain.

Nadhrah sendiri berbasikal dari rumah ke tempat kerjanya sejak 2016 selepas menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Amerika Syarikat.

Berita Harian X