Isnin, 27 Jun 2022 | 3:02pm
Dianggarkan 12,000 spesies paku pakis di seluruh dunia dengan 65 peratusnya boleh ditemui di kawasan tropika. -Foto/Ihsan UKM
Dianggarkan 12,000 spesies paku pakis di seluruh dunia dengan 65 peratusnya boleh ditemui di kawasan tropika. -Foto/Ihsan UKM

Keunikan paku pakis

KEHIJAUAN alam dengan rimbunan lebih 200 spesies tumbuhan paku pakis dan pelbagai pokok berusia lebih 100 tahun seperti rengas serta meranti di Taman Botani Bangi mewujudkan suasana nyaman.

Memasuki Taman Paku Pakis dalam taman yang terletak dalam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, yang lokasinya terletak dalam kampus memberikan pilihan warga kota meneroka hutan itu dengan penuh keterujaan.

Menariknya, Taman Botani Bangi ini adalah gabungan Taman Herba UKM, Taman Paku Pakis UKM, Kompleks Rumah Tumbuhan dan Hutan Simpan Bangi.

Ia diwujudkan untuk pemuliharaan, pemeliharaan tumbuhan secara ex-situ dan in-situ, selain menyediakan kemudahan penyelidikan berasaskan tumbuhan serta pendidikan berteraskan kepelbagaian biologi Malaysia atau dikenali sebagai edutourism.

TBB berkeluasan lapan hektar itu juga adalah sebahagian Hutan Simpan Kekal Bangi UKM yang dianggarkan mempunyai keluasan keseluruhan hampir 119.3 hektar

Spesies paku pakis banyak tumbuh dan boleh hidup secara individu atau berkelompok.- Foto Ihsan/UKM
Spesies paku pakis banyak tumbuh dan boleh hidup secara individu atau berkelompok.- Foto Ihsan/UKM

Bagi penulis yang kali pertama berpeluang menerokai hutan dalam universiti ini, cukup tertarik dengan usaha pihak FST yang menanam serta memelihara lebih 1,000 pokok daripada lebih 200 spesies paku pakis yang terdapat di negara ini, di Taman Paku Pakis UKM.

Nilai estetika paku pakis

Kini, dianggarkan terdapat kira-kira 12,000 spesies paku pakis di seluruh dunia dengan 65 peratusnya boleh ditemui di kawasan tropika.

Bilangan spesies paku pakis itu banyak tumbuh dan boleh hidup secara individu atau berkelompok, berdaya tahan di pelbagai habitat dan mempunyai taburan sangat luas di seluruh dunia.

Paku pakis atau pteridofit adalah kumpulan tumbuhan popular di negara ini kerana ada spesies yang boleh dimakan, selain sesuai sebagai tanaman hiasan.

Walaupun ramai tahu mengenai paku pakis dan kegunaannya, namun nilai estetika tumbuhan serta keunikannya belum tersebar luas.

Keunikan paku pakis

Menurut Ketua Taman Botani Bangi, FST UKM, Prof Madya Dr Noraini Talip, paku pakis adalah tumbuhan unik daripada kumpulan pteridofit mempunyai ciri khusus yang tiada pada tumbuhan lain.

Diwujudkan untuk pemuliharaan, pemeliharaan tumbuhan secara ex-situ dan in-situ, penyelidikan dan edutourism. - Foto/Ihsan UKM
Diwujudkan untuk pemuliharaan, pemeliharaan tumbuhan secara ex-situ dan in-situ, penyelidikan dan edutourism. - Foto/Ihsan UKM

"Ia dari tumbuhan vaskular tidak berbunga atau berbiji, mempunyai rizom, pelepah, batang dan fron (daun) yang kompleks serta membiak melalui spora.

"Tumbuhan ini tergolong di bawah Pteridophyta, iaitu spesies yang biasanya mempunyai daun atau fron, ada peruratan bercabang dan daun mudanya bergulung seperti gulungan tali serta membentuk struktur krozier," katanya.

Penyelidikan mengenai spesies paku pakis antara dilakukan Noraini di Taman Botani Bangi. - Foto/Ihsan UKM
Penyelidikan mengenai spesies paku pakis antara dilakukan Noraini di Taman Botani Bangi. - Foto/Ihsan UKM

Paku pakis amat terkenal sebagai sumber makanan, bahan untuk produk kraftangan, bahan dalam ubatan tradisional dan tumbuhan hiasan.

"Nilai estetika paku pakis terletak pada morfologi daun atau fronnya. Keistimewaan paku pakis hiasan lebih terserlah melalui kepelbagaian atau variasi dalam saiz, bentuk serta arkitektur pokoknya," katanya.

Paku pakis sebagai tanaman hiasan

Antara spesies paku pakis paling popular sebagai tanaman hiasan adalah Huperzia squarrosus, Huperzia goebelli, Platycerium coronarium, Asplenium nidus dan Nephrolepis exaltata.

Spesies di Taman Paku Pakis yang diancam kepupusan dan jarang ditemui pula seperti Huperzia dalhousiana dan Blechnum fraseri.

Beliau yang juga Pensyarah Biologi dan Botani menjelaskan, pokok paku pakis mudah hidup terutama di kawasan tropika kerana faktor jumlah hujan dan cahaya matahari mencukupi.

"Paku pakis ada beberapa kategori berdasarkan habitat ia tumbuh seperti paku pakis terestrial, iaitu hidup di atas tanah. Jenis ini mudah ditemui di persekitaran kita, hidup secara individu atau berumpun seperti spesies Pteris vitatta, Dicranopteris linearis, Dipteris conjugata, Gleichenia sp dan Blechnum orientale.

Keunikan bentuk daun, batang dan rizom, memberikan nilai komersial kepada paku pakis. - Foto/Ihsan UKM
Keunikan bentuk daun, batang dan rizom, memberikan nilai komersial kepada paku pakis. - Foto/Ihsan UKM

"Bagi jenis sama tetapi hidup di kawasan terlindung, biasanya mempunyai daun lebih nipis yang boleh ditemui di kawasan teduh pinggir hutan dan lantai hutan berkelembapan tinggi.

"Contoh spesies ini ialah Cyathea sumatrana, Tectaria singaporeana dan Lomagramma sumatrana"," katanya.

Pelbagai jenis paku pakis

Terdapat jenis paku pakis pemanjat, epifit, akuatik, tepian sungai (riparian) dan litofit. Paku pakis tepian pantai, tanah tinggi atau pergunungan, batu kapur, perintis dan sebagainya.

"Kitaran hidup tumbuhan ini bergantung kepada perselangan dua generasi iaitu generasi tanpa seks dan generasi seks. Generasi tanpa seks dikenali fasa sporofit (penghasilan spora) berupa paku pakis yang dapat dibezakan antara akar, batang dan daun, ketika fasa inilah tumbuhan paku pakis digunakan untuk pelbagai fungsi seperti sebagai tanaman hiasan, tanaman bio kejuruteraan (mengikat tanah tebing) dan sebagainya.

"Keunikan bentuk daun, batang dan rizom, memberikan nilai komersial kepada paku pakis sebagai tanaman hiasan seperti spesies daripada genus Adiantum, Davallia, Nephrolepis, Platycerium, Drynaria dan Asplenium," katanya.

Ancaman kepupusan

Akibat kemusnahan dan gangguan alam sekitar yang semakin meningkat di seluruh dunia menyebabkan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan semakin hilang dengan pantas setiap tahun termasuk spesies paku pakis.

Kira-kira satu pertiga daripada spesies tumbuhan vaskular dunia menghadapi ancaman kepupusan akibat pelbagai aktiviti termasuk pembangunan eksploitasi berlebihan, amalan pertanian, pembandaran, pencemaran alam sekitar, perubahan guna tanah, kemasukan spesies invasif, dan perubahan iklim global.

Justeru, Taman Botani itu sebagai usaha meningkatkan pemuliharaan, pemeliharaan ekosistem dan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan.

Paku pakis antara tumbuhan yang diancam kepupusan akita pelbagai aktiviti manusia. - Foto/Ihsan UKM
Paku pakis antara tumbuhan yang diancam kepupusan akita pelbagai aktiviti manusia. - Foto/Ihsan UKM

"Pengurusan taman ini menumpukan sumber untuk kajian dan pemuliharaan serta menjadikan kepelbagaian spesies tumbuhan diketahui oleh orang ramai," katanya.

Kewujudan taman botani membantu memelihara alam sekitar, selain untuk pengumpulan, penanaman, pemeliharaan dan paparan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang biasanya dilabelkan dengan nama botani.

"Taman botani mempunyai koleksi tumbuh-tumbuhan hidup yang didokumentasikan untuk penyimpanan bank gen spesies tumbuh-tumbuhan, penyelidikan saintifik, pemuliharaan secara 'ex situ' dan 'in situ', paparan, pendidikan dan pembelajaran," katanya.

TBB lakukan pelbagai kajian

TBB menjalankan pelbagai aktiviti antaranya kajian sistematik tumbuhan termasuk anatomi, sitologi, molekular dan lain lain.

Penyelidik di TBB juga menjalankan kajian dalam bidang mikrob dalam tanah, antimikrob, sitologi, patogen penyakit, selain kajian interaksi serangga-tumbuhan (insect-plant interaction) untuk melihat interaksi spesies tumbuhan seperti paku pakis.

"Taman botani ini menjalankan kajian fitokimia tumbuhan herba dan kepelbagaian serangga.

"Selain aktiviti pendidikan mengenai kepelbagaian flora dan fauna serta kepentingan penjagaan alam sekitar melalui Modul Semai Cinta Alam terbuka kepada segenap lapisan masyarakat daripada peringkat prasekolah sehingga kepada orang awam," katanya.

Info

Taman botani bertujuan memulihara dan memelihara tumbuh-tumbuhan dan habitat terancam.

* Konsep moden taman botani bermula di Eropah, iaitu dengan wujudnya Taman Botani Padova Itali dibina pada 1545.

* Jabatan Landskap Negara adalah organisasi bertanggungjawab menghubungkan taman botani di Malaysia.

* Kini 2, 500 taman botani disenaraikan dengan BGCI

* Lebih 6 juta aksesi tumbuh-tumbuhan hidup mewakili 80,000 takson atau satu perempat jumlah spesies tumbuhan vaskular di taman botani di seluruh dunia.

* Sasaran 70 peratus spesies tumbuhan terancam di dunia dipelihara secara ex situ

Berita Harian X