X
Isnin, 18 April 2022 | 10:00am
Pokok kurma Ajwa ditanam Zulkifle di Selinsing berbuat lebat terutama pada bulan Ramadan.- Foto/Nor Amalina Alias
Pokok kurma Ajwa ditanam Zulkifle di Selinsing berbuat lebat terutama pada bulan Ramadan.- Foto/Nor Amalina Alias

Kurma Selinsing, Kelantan berbuah lebat di bulan Ramadan

Buah kurma kerap dicari dan menjadi hidangan sebagai juadah berbuka atau bersahur, selain dipelbagaikan cara penyediaannya kerana mengandungi pelbagai khasiat.

Justeru, makanan sunnah Nabi ini amat popular sepanjang Ramadan. Selain itu, pokok eksotik ini juga kian mendapat perhatian penggemarnya di negara ini untuk dijadikan sebagai tanaman hiasan atau ada yang dijual.

Tanaman terbukti boleh hidup subur dan mengeluarkan hasil, namun perlu mengikuti langkah penjagaan betul supaya pokok boleh berbuah dengan baik.

Penanaman di negara ini masih berskala kecil dan sederhana serta belum mampu memenuhi tuntutan komersial, meskipun ada anak semaian spesies kurma mampu dijual RM460 sepokok.

Ada ditanam di ladang berusia bawah lima tahun.

Bagi penanam kurma, Zulkifle Ali, 55, lebih 10 pokok yang ditanam di sekitar kediamannya, di Kampung Alor Hijau, Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan sudah mengeluarkan buah.

Menariknya, pokok kurma ini berbuah lebat terutama pada bulan Ramadan dan boleh dipetik dan dimakan begitu sahaja.

Beliau menjelaskan, pokok kurmanya berbuah setahun sekali dan tahun lalu sebanyak 15 tan dihasilkan.

"Alhamdulillah Ramadan tahun ini, lebih 18 tan dapat dihasilkan. Rezeki kurma ini dikongsi bersama ahli keluarga dan orang ramai.

Ramadan tahun ini, lebih 18 tan dapat dihasilkan ditanam di sekeliling rumah Zulkifle. - Foto/Nor Amalina Alias
Ramadan tahun ini, lebih 18 tan dapat dihasilkan ditanam di sekeliling rumah Zulkifle. - Foto/Nor Amalina Alias

"Saya sudah agihkan lebih 100 bekas kurma sepanjang Ramadan ini kepada pelbagai pihak.

"Setakat ini, saya tidak menjual kurma berkenaan sebaliknya diberi secara percuma kepada sesiapa saja yang mahu menikmati kurma dari tanah Selinsing ini," katanya.

Rahsia kurma berbuah lebat

Apakah rahsia pokok kurma mampu hidup subur, berbuah lebat dan rasanya sedap?

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing itu berkongsi rahsia di sebalik kesuburan dan pokok kurma berbuah lebat adalah dengan 'mengahwinkan' pokok jantan dan betina sebagai pasangan.

Beliau yang tertarik keistimewaan pohon itu ketika mengerjakan umrah dulu, pada awalnya untuk mengindahkan landskap kediaman, sebelum ditanam secara berperingkat sejak 2014.

Teruja berbuah lebat selepas empat tahun ditanam membuatkannya mendalami cara penjagaan. Saya dapati kurma ini akan berbuah hanya jika ditanam berpasangan.

"Jika ditanam daripada biji, jantina pokok ini hanya akan diketahui selepas pokok mengeluarkan bunga, mungkin selepas satu atau tiga tahun ditanam," tambahnya.

Pendebungaan pokok perlu dilakukan secara manual oleh penanam, selain perlu ditanam secara berjarak.

Usia pokok kurma mampu bertahan 60 hingga 90 tahun, dengan ketinggian tiga meter dan ke atas.

Guna baja organik khas

Zulkifle menjaga dengan konsisten dan menggunakan baja organik khas dua bulan sekali, selain menyuntik ubat pada batang pokok elak daripada diserang haiwan seperti burung, kelawar serta semut.

Mengeluarkan buah berwarna kekuningan yang sedia dimakan mentah - Foto/Nor Amalina Alias
Mengeluarkan buah berwarna kekuningan yang sedia dimakan mentah - Foto/Nor Amalina Alias

Menariknya kawasan kediaman beliau menjadi lebih redup, selain kehadiran beberapa jenis burung seperti burung kelicap dan burung cap tuli.

"Sekarang buah dihasilkan isi sikit tetapi biji besar, pada masa depan saya akan buat kajian untuk dapatkan isi lebih tebal," katanya.

Zulkifle yakin tanaman ini berpotensi dikomersilkan jika diusahakan dengan betul, pasti ramai teruja menikmatinya berbanding diimport kerana rasa tidak jauh berbeza.

Dijaga rapi untuk keluarkan hasil

Sependapat Malaysia sesuai dengan tanaman ini, usahawan pokok kurma, Mohd Syful Rizan Abd Manap, 40, dari Kuala Kangsar, Perak, menjelaskan penjagaan asas dan rapi sahaja memang pokok boleh hidup, tetapi ia tidak mampu mengeluarkan hasil.

"Bagi tujuan pengeluaran hasil perlu lakukan seperti mesti cantas pelepah rapat ke batang supaya tiada serangga, habuk atau pokok tumpang tumbuh di celahnya.

Pokok kurma bunga jantan (kiri) dan betina (kanan). - Foto/Ihsan Mohd Syful
Pokok kurma bunga jantan (kiri) dan betina (kanan). - Foto/Ihsan Mohd Syful

"Selepas itu tiada rumput di sekeliling pokok mesti sekurang-kurangnya 0.3 meter supaya air hanya untuk pokok itu dan perlu disiram setiap hari.

"Taburkan baja organik yang tidak berasaskan najis. Saya gunakan baja formula sendiri. Kalau cara penjagaan ini diikuti memang pokok boleh mengeluarkan hasil," katanya.

Cuaca Malaysia sesuai tanam kurma

Kongsi Mohd Syful Rizan, cuaca dan tanah Malaysia sesuai untuk tanaman pokok kurma, tetapi untuk hasil buah yang berkualiti memerlukan penjagaan dan pembajaan khusus serta berkala kerana ia bukan tumbuhan asal negara ini.

Buah ditanam di sini kebanyakan tidak menyamai rasa seperti negara asal terutama jika ada pemilik pokok kurma tidak mendebungakan atau mengahwinkan bunga jantan dan betina.

"Pokok jantan faktanya ia tidak akan berbuah, hanya bekalkan bunga untuk didebungakan dengan pokok betina. Tetapi pokok jantan boleh beranak, boleh dapat anak pokok dari induk, manakala pokok betina pula memang mengeluarkan hasil.

gn4id:33690763

"Kurma apabila tidak didebungakan rasa kelat-kelat manis. Tidak dapat rasa manis mesti ada kelat juga, tetapi kalau didebungakan rasa akan jadi manis berlemak.

"Bagaimanapun, ia tidak sama rasa seperti buah asal, kalau nak rasa seperti itu buah perlu dijemur dulu dan menjemur juga ada cara sendiri seperti dilakukan di Tanah Arab.

"Tetapi orang kita suka makan buah segar terus dari pokok," katanya.

Semai pokok kurma

Bapa kepada enam anak itu berpengalaman lebih 12 tahun melakukan pembenihan dan penyemaian pokok kurma bermula di Chemor, Ipoh sejak 2008, sebelum beliau dan keluarga berpindah ke Sayong, Kuala Kangsar pada 2019.

Menurutnya, sepokok boleh mengeluarkan antara lima hingga 10 tandan buah dengan beratnya tiga hingga tujuh kilogram (kg) setandan dan usia matang pokok boleh mencapai ketinggian lebih tiga meter untuk semua jenis pokok.

"Pokok kurma mampu hidup sehingga 100 tahun sebab itu pertumbuhan dan ketinggiannya lambat serta mula mengeluarkan hasil lima hingga tujuh tahun.

Lokasi pembenihan dan penyemaian pokok kurma, dilakukan Mohd Syful.
Lokasi pembenihan dan penyemaian pokok kurma, dilakukan Mohd Syful.

"Rekod terbaik kami ada yang berbuah dalam tempoh setahun. Itu yang memang ikut penjagaan. Ada juga berbuah dalam masa dua atau tiga tahun, ia perlu juga dilihat cara penjagaannya.

"Biasanya buah sulung atau keluaran pertama sikit dan kurang lawa. Selepas itu hasil akan lebih banyak dan tuaian ketiga dan keempat baru buahnya lebih berkualiti. Tetapi semua ini tetap bergantung kepada rezeki juga," katanya.

Harga mencecah RM460 sepokok

Bercerita lanjut, Mohd Syful Rizan menyatakan, mini nurseri di rumahnya mempunyai 550 anak pokok kurma dengan 350 pokok sudah melepasi tahap sesuai untuk dijual kepada pelanggan.

Setakat ini, lebih 4,000 pokok kurma sudah dijual kepada pelanggan dari dalam dan luar negeri ini pada harga bermula RM80 hingga RM460.

Spesies pokok di tapak semaiannya meliputi Ajwa, Mariami, Safawi, Madu, Deglite Nor dan Hibrid Siam. Semua benihnya disemai daripada biji kurma.

"Usaha ini tercetus selepas nampak lima biji kurma bertunas tetapi sudah mati dalam longkang. Ikut logik, pokok kurma boleh hidup di sini.

"Saya cari di beberapa nurseri dan pasar tani tetapi tak jumpa anak pokok atau benih kurma. Pernah ada orang di pasar tani cakap saya buat gila kerana pokok kurma tak boleh hidup di Malaysia. Ini menjadikan saya lebih bersemangat mahu tanam," luahnya.

Kemudian membuat kajian sendiri termasuk cara menyemai biji sebelum bermula dengan 10 pokok untuk 'berkenalan'.

Antara pokok kurma yang disemai dan harganya boleh mencecah RM480.
Antara pokok kurma yang disemai dan harganya boleh mencecah RM480.

"Semua pokok itu menjadi dan sejak itu saya terus terbabit dalam usaha itu. Saya merendam biji kurma selama seminggu sebelum disemai dan akan belai, bercakap, beri salam dan berselawat sebagai simbolik supaya ia dapat bertunas dan tumbuh dengan baik.

"Ramadan ini ramai mencari pokok kurma untuk diwakafkan di masjid, pondok, madrasah dan sekolah," sambil memberitahu pelepah, daun, mayang bunga dan akar pokok kurma juga mempunyai manfaat, selain bijinya juga boleh diproses menjadi kopi.

Berita Harian X