Isnin, 4 April 2022 | 10:33am
Masjid Al-Badr di Pangkor, Perak miliki lakaran 1,000 selawat. - Foto/Ihsan Yayasan Restu
Masjid Al-Badr di Pangkor, Perak miliki lakaran 1,000 selawat. - Foto/Ihsan Yayasan Restu

Kaligrafi 1,000 selawat

LAKARAN seni khat bait-bait ayat suci al-Quran pelbagai bentuk menggambarkan kehalusan, keindahan ilmu dan khazanah Allah SWT.

Ayat suci ini sebagai kalamullah diturunkan kepada Nabi Muhamad SAW mengandungi mukjizat untuk panduan umat-Nya.

Selain ditulis di dalam kitab atau buku untuk dibaca, ia diperluaskan dalam bentuk kaligrafi pada bangunan, seramik, kaca, ukiran kayu, logam dan lain-lain bahan.

Menariknya, seni khat ini memberi pesona sesebuah bangunan seperti masjid dengan ukiran ayat suci menambah seri hiasan dalamannya sekali gus mengangkat keagungan Islam.

Banyak masjid di seluruh dunia diperindahkan pada dinding, mimbar, mihrab, menara, dewan solat, kubah dan lain-lain sudut dengan hiasan kaligrafi.

Tidak terkecuali masjid di Malaysia. Antaranya, Masjid Al-Badr di Pulau Pangkor, Perak dibina pada 2014, dipenuhi dengan hiasan kaligrafi khat tulisan 1,000 selawat.

Yayasan Restu mengadaptasikan kalam suci di dinding bangunan masjid.
Yayasan Restu mengadaptasikan kalam suci di dinding bangunan masjid.

Tugasan itu disempurnakan oleh Yayasan Restu yang mengambil langkah mengadaptasi kalam suci di dinding pelbagai bangunan termasuk Masjid Al-Badr.

Memastikan kalam Allah terus hidup

Pengurus Cawangan Yayasan Restu Wilayah Utara, Anuar Omar, berkata pembinaan dan kaligrafi khat dihasilkan di setiap bangunan membawa konsep rekaan, motif serta warna tertentu sama seperti dilakukan melalui penyalinan mushaf al-Quran.

"Masjid Al-Badr dikenali dengan nama Masjid Seribu Selawat. Segala pembinaan, hiasan dalamannya dan kaligrafi dihasilkan membawa motif yang menjadi simbolik kepada negeri itu.

"Kerja penulisan seni khat mengambil masa kurang enam bulan disiapkan oleh sekumpulan penyalin kami," katanya.

Penyalinan kaligrafi ayat al-Quran di dinding bangunan adalah sebahagian usaha memastikan kalam-Nya terus dihidupkan dan tidak terhad kepada bahan bercetak sahaja.

Masjid Al-Badr di Pulau Pangkor, unik dengan rekaan dalamannya memaparkan seni khat al-Quran. - Foto/Ihsan Yayasan Restu.
Masjid Al-Badr di Pulau Pangkor, unik dengan rekaan dalamannya memaparkan seni khat al-Quran. - Foto/Ihsan Yayasan Restu.

Usaha itu bertujuan menterjemahkan makna al-Quran melalui binaan yang indah sebagai sebahagian daripada dakwah seni," katanya.

Tugasan mencabar

Bangunan lain turut menerima sentuhan rekaan dalaman serta penyalinan ayat al-Quran oleh yayasan itu termasuk Masjid Al-Khairiah yang turut dikenali sebagai Masjid Seribu Doa di Pangkor; Kompleks Nasyrul Quran (Putrajaya) dan Hotel Mudzaffar (Melaka)

Anuar berkata, antara cabaran dalam penulisan kaligrafi khat di dinding masjid ialah memastikan setiap ayat suci disalin dapat disesuaikan dengan ruangan dan penjuru yang terhad melalui kerjasama jabatan kaligrafi dengan pereka mereka.

Proses pertama dilakukan ialah pereka bentuk atau arkitek akan menyediakan ukuran awal sesuatu ruang sebagai panduan kepada penyalin al-Quran.

Ayat al-Quran di Masjid Al-Khairiah yang dikenali sebagai Masjid Seribu Doa di Pulau Pangkor. - Foto Yayasan Restu
Ayat al-Quran di Masjid Al-Khairiah yang dikenali sebagai Masjid Seribu Doa di Pulau Pangkor. - Foto Yayasan Restu

Sekiranya ayat itu perlu disalin ke atas mihrab, pereka bentuk akan mengambil ukuran mihrab serta penjuru berlekuk (curve) terlebih dahulu dan penyalin perlu menyalin kaligrafi khat mengikut saiz mihrab diberikan.

"Tugas menyalin ayat yang tidak sama ukuran panjang dan pendeknya untuk dimuatkan ke dalam ruangan terhad bukan satu tugas mudah dan ada masanya terpaksa dilakukan berulang kali," katanya.

Elak silap salinan ayat al-Quran

Proses penyalinan ayat al-Quran di masjid melalui beberapa semakan bukan saja secara dalaman melalui Jabatan Ulum, malah di peringkat Mufti Negeri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Meskipun penyalinan al-Quran sudah sempurna tanpa sebarang kesalahan tetapi masalah mungkin timbul pada peringkat percetakan menyebabkan ayat disalin menjadi tidak sempurna.

"Ketika percetakan, tidak mustahil berlaku sesetengah bahagian ayat al-Quran dakwatnya hilang dan sebagainya.

Penyalinan ayat al-Quran melambangkan simbolik keagungan Islam.- Foto/Ihsan Yayasan Restu
Penyalinan ayat al-Quran melambangkan simbolik keagungan Islam.- Foto/Ihsan Yayasan Restu

"Walaupun proses sudah memasuki peringkat akhir, tetapi ia akan tetap melalui semakan bagi memastikan tiada sebarang kesilapan pada ayat," katanya.

Banyak isu berlaku kini ayat al-Quran yang disalin atau dicetak di dinding bangunan mempunyai kesilapan dan akhirnya ia terpaksa dirobohkan dan inilah yang ingin dielakkan oleh pihaknya.

Tanpa menyebutkan bangunan mana yang terpaksa dirobohkan, namun bagi projek di bawah kelolaan mereka, perlu dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati.

Menurut Anuar selain bangunan besar, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan penyalinan kaligrafi ayat al-Quran di kediaman bermula pada kadar RM80 untuk setiap 0.02 meter mengikut material tertentu.

Anuar Omar.
Anuar Omar.

"Kebanyakan kediaman di ibu kota kini mempunyai surau khas, justeru kami menerima permintaan untuk ia dihiasi dengan kaligrafi ayat al-Quran

"Mungkin ia dianggap sebagai projek kecil bagaimanapun keutamaan kami ialah memastikan kalam suci ini boleh dilihat di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.

"Kalam suci ini sering memberi ketenangan hati dan jiwa malah ada juga bukan Islam yang terpesona dengan keindahannya," katanya.

Berita Harian X