Isnin, 14 March 2022 | 10:30am

Siapa Cik Yah bertudung kuning?

TELATAH riuh rendah Cik Yah, watak seorang wanita berusia setengah abad bertudung kuning berceloteh, membebel mengenai pelbagai isu membuatkan sesiapa melihatnya pasti tertawa dan tidak kering gusi.

Meskipun sekadar animoji dan bukannya figura manusia sebenar, namun watak dan nada suara mak-mak menggunakan dialek orang Johor kerap melintasi di laman TikTok membuatkan pengikutnya terhibur.

Selepas menonton isu diketengahkan dalam video Cik Yah, seakan terkena batang hidung sendiri dan ada yang berkata: "Eh macam aku aja..."

Siapa Cik Yah?

Malah, sejak videonya dimuat naik di laman sosial, pada Mac tahun lalu, bebelan wanita digambarkan berusia 55 tahun dari Kampung Gajah Termenong (kampung rekaan) itu sering mengundang tawa pengikutnya kerana isu dipaparkan memang tepat dengan karakter seseorang.

Video celoteh dimuat naik seperti tajuk 'Mak-Mak bila suruh ambil mangkuk' mendapat 2.2 juta 'likes' dan jumlah tontonan iaitu yang paling tinggi di Tiktok CikYahOfficial.

Cik Yah dicipta gunakan memoji, iaitu aplikasi gabungan animasi dan emoji di iPhone. - Foto/Ihsan Amar Reza
Cik Yah dicipta gunakan memoji, iaitu aplikasi gabungan animasi dan emoji di iPhone. - Foto/Ihsan Amar Reza

Namun, siapa sebenarnya Cik Yah ini?

Percaya atau tidak, di sebalik suara asli animoji Cik Yah adalah seorang pemuda berusia 28 tahun, iaitu Amar Reza Zainalabidin.

Ternyata suara Pensyarah Seni Kreatif dan Persembahan, Komunikasi dan Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Limkokwing itu saling tak tumpah seperti lenggok dan nada 'makcik yang suka membawang'.

Amar Reza berkata, Cik Yah dicipta menggunakan memoji, iaitu aplikasi gabungan animasi dan emoji yang disediakan iPhone.

Meskipun dicipta menggunakan aplikasi sudah tersedia, tetapi ia tidak bermakna tugas beliau untuk menghasilkan video Cik Yah adalah sesuatu yang mudah.

Jalan cerita, skrip dan jiwai watak Cik Yah

Di belakang tabir, Amar Reza bukan setakat menyiapkan jalan cerita dan skrip, malah ketika merakam video, beliau perlu memastikan aplikasi itu dapat mengimbas dan memetakan ekspresi muka yang dihasilkan sebelum ia 'diterjemahkan' kepada Cik Yah melalui video yang kita saksikan.

Sama ada mengerut dahi, menggelengkan kepala atau ketawa, juga apa sahaja ekspresi muka dihasilkan, beliau perlu dibuat berlebih-lebihan.

"Kalau angkat kening, saya perlu buat aksi itu secara berlebihan. Kalau otot muka tidak bergerak, ekspresi muka kita tidak akan dapat diimbas dan dirakam. Pencahayaan juga memainkan peranan penting.

Amar Reza menyiapkan jalan cerita, skrip, merakam, memuat baik dan lain-lain bagi melengkapkan karakter Cik Yah. - Foto/Ihsan Amar Reza
Amar Reza menyiapkan jalan cerita, skrip, merakam, memuat baik dan lain-lain bagi melengkapkan karakter Cik Yah. - Foto/Ihsan Amar Reza

"Memang tugas yang memenatkan sebab itu jika keletihan dan tiada 'mood' saya tidak akan buat video Cik Yah.

"Tambahan lagi apabila merakam video Cik Yah, bukan suara saya saja yang berubah, malah saya perlu betul-betul menjiwai watak wanita berusia 55 tahun itu," katanya kepada bhonline, baru-baru ini.

Menurut beliau penggunaan aplikasi Memoji menyebabkan rakaman setiap video Cik Yah yang biasanya melebihi seminit, tidak boleh dilakukan sekali gus kerana setiap klip video hanya boleh merakam selama 30 saat.

"Sebab itu, saya perlu sentiasa pastikan momentum tone, 'mood' dan emosi Cik Yah dikekalkan supaya video dirakam kemudian mempunyai kesinambungan antara satu sama lain," katanya.

Lebih 100 video dimuat naik

Selepas selesai merakam semua video diperlukan menggunakan telefon pintar. Semua video 30 saat itu akan dipindahkan ke iPad atau komputer riba untuk penyuntingan menggunakan beberapa aplikasi termasuk iMovie.

"Dalam proses ini, saya dan rakan yang turut membantu proses penyuntingan akan berbincang mengenai grafik yang sesuai diletakkan sebagai latar belakang video Cik Yah kerana aplikasi Memoji yang digunakan hanya menyediakan paparan muka," katanya.

Video pertama Cik Yah menemui rakyat Malaysia sejak Mac tahun lalu dan sehingga kini Amar Reza sudah menghasilkan lebih 100 video yang dimuat naik di akaun rasmi Cik Yah di Tik Tok, Instagram, Facebook dan Youtube.

'Suara' watak dalam video Cik Yah

Bagi 'menghidupkan' video dihasilkannya, Amar Reza juga mewujudkan animoji bagi watak anak Cik Yah iaitu Sepul, Dayah dan Paiz serta rakan-rakan seusianya dari Kampung Gajah Termenong, Abang Ajiz, Sudin, Sal, Biah dan Kuntum.

Selain menjadi 'suara' bagi watak utama, Amar Reza juga sebenarnya turut mengalih suara bagi semua watak lain dalam video Cik Yah.

Mengakui bukan mudah 'bertukar' watak dan suara, tetapi menurut Amar, cabaran itu diambilnya kerana menyertai bidang alih suara menjadi impiannya sejak sekian lama.

"Sejak bersekolah lagi saya sudah ke uji bakat alih suara di Astro sampai ke RTM, tetapi masih belum ada rezeki pada masa itu.

"Saya suka melihat proses belakang tabir bagaimana pelakon alih suara membangunkan dan meneroka kebolehan suara mereka.

"Tak sangka, rupanya video Cik Yah diwujudkan, saya dapat merealisasikan impian membuat alih suara," kata anak sulung pasangan Zainalabidin Mustaffa dan Hanizah Abdul Hamid ini.

Jaga suara, elak makan pedas

Bagi menjaga suara Cik Yah, Amar kini mula menjaga pantang dengan tidak mengambil makanan yang terlalu pedas selain mengurangkan pengambilan ais.

Ditanya bagaimana 'menemui' suara yang tepat untuk watak wanita separuh abad yang sering berbicara dalam dialek orang Johor itu, katanya ia melakukan banyak percubaan dan eksplorasi sendiri terhadap kebolehan suaranya.

"Suara Cik Yah ni bukan saya buat sekali dan terus jumpa. Banyak percubaan suara wanita yang saya lakukan.

"Masa awal-awal dahulu, tiga bulan saya batuk dan sakit tekak disebabkan tidak tahu teknik betul melakukan alih suara.

"Tetapi lama-kelamaan saya semakin terbiasa. Paling saya terharu apabila pengikut Cik Yah beritahu suara dan gaya percakapannya mengingatkan mereka kepada arwah ibu dan nenek," katanya.

Orang bahagia lihat video Cik Yah

Selain menghasilkan video dengan idea sendiri ke media sosial rasmi Cik Yah, watak animoji itu turut menerima permintaan pelbagai jenama bagi tujuan pengiklanan dan promosi.

Tahun lalu, Cik Yah terbabit dengan rakaman video bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau tidak pernah menyangka, video Cik Yah yang turut diinspirasikan daripada hubungan rapat dengan ibunya akan meninggalkan kesan kepada ramai individu.

Beliau juga pelajar sepenuh masa Ijazah Sarjana Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata akan terus menghasilkan pelbagai kandungan melalui video Cik Yah kerana kehadiran wanita berusia itu rupanya turut memberi kebahagiaan kepada ramai orang.

Selain animoji watak anak-anak Cik Yah turut diwujudkan rakan seusia mereka dari Kampung Gajah Termenong. - Foto/Ihsan Amar Reza
Selain animoji watak anak-anak Cik Yah turut diwujudkan rakan seusia mereka dari Kampung Gajah Termenong. - Foto/Ihsan Amar Reza

"Saya senang hati apabila ada yang beritahu watak Cik Yah buat mereka sekeluarga gembira.

Tetapi saya sentiasa ingatkan diri Cik Yah adalah rezeki yang Allah SWT pinjamkan kepada saya dan bila-bila ia boleh diambil-Nya.

"Jadi selagi berikan idea, kudrat dan nyawa, saya akan terus hasilkan video Cik Yah," katanya.

Impi Cik Yah dianimasikan di televisyen

Selepas setahun CikYahOfficial mula mengumpul hampir 286.3 juta pengikut di TikTik, Instagram (85.4 juta) dan 93,000 (Facebook), beliau menyimpan impian dapat dianimasikan dan disiarkan di televisyen.

Beliau mahu melihat watak wanita setengah abad diwujudkannya itu turut beroleh kejayaan sama seperti animasi popular kebanggaan tanah air, Upin Ipin, suatu hari nanti.

Mengakui Cik Yah masih lagi 'kerdil', Amar Reza menafikan beliau berniat bersaing dengan animasi popular.

"Orang kata nak bersaing dengan Upin Ipin tetapi animasi itu sudah gah ditempatnya yang tersendiri.

"Ada juga komen pengikut Cik Yah kalau kanak-kanak ada Upin Ipin, kenapa tidak Cik Yah menjadi animasi untuk orang dewasa.

"Memang ada permintaan untuk Cik Yah dianimasikan cuma ia bukan mudah dan memerlukan dana serta kos yang besar," katanya.

Bina jenama Cik Yah

Amar Reza berkata, tidak menafikan beberapa pihak sudah mendekatinya untuk menganimasikan animoji Cik Yah tetapi beliau perlu memastikan untuk tidak dipergunakan.

Jenama Cik Yah juga akan diperluaskan termasuk melalui perniagaan tudung pada masa akan datang.

Katanya, melalui perniagaan ini diharap lebih banyak peluang pekerjaan dalam bentuk keusahawanan dapat disediakan.

Berita Harian X