Isnin, 7 Februari 2022 | 11:10am
Singgahsana dan Balairong Seri Istana Mahligai, Istana Kesultanan Melaka berdasarkan huraian dari kitab sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. - foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat
Singgahsana dan Balairong Seri Istana Mahligai, Istana Kesultanan Melaka berdasarkan huraian dari kitab sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. - foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat

'Pulang' ke zaman silam

MESKIPUN dibangunkan secara maya menerusi teknik lukisan tiga dimensi (3D), lukisan berupa struktur bangunan tradisional yang wujud pada zaman dahulu bagaikan hidup semula.

Berbeza dengan penggunaan kaedah ilustrasi dua dimensi (2D), lukisan melalui teknik 3D menjadikan sesuatu gambar lebih hidup dan bernyawa, sekali gus dapat membawa generasi masa kini seolah-olah berada di zaman silam.

Penggunaan 3D juga boleh menjadi medium pendidikan terutama membabitkan sejarah memandangkan ia dapat mengilustrasikan setiap patah perkataan dalam bentuk gambar mirip di situasi nyata.

Medium seumpama itu ternyata dapat memberi sedikit sebanyak gambaran keadaan masa lampau terutama membabitkan catatan sejarah dan warisan orang Melayu.

3D lebih hidup, ada 'perasaan'

Tampil dengan pendekatan sedemikian, pereka grafik 3D, Mohd Faizal Mamat @ Rahmat, 41, memanfaatkan kemahirannya dalam bidang lukisan 3D ditambah minat mendalamnya dengan dunia sejarah khususnya berkaitan dengan warisan seni bina Melayu tradisional.

Mengapa 3D? Jelasnya ia bukan sekadar pembikinan imej statik sahaja, malah turut menghasilkan ilustrasi 3D kelihatan lebih hidup dan ada 'perasaan'.

Mungkin bagi orang yang tiada latar belakang kemahiran grafik 3D, ada mengatakan imej yang dihasilkan secara 3D kelihatan realistik.

Berpengalaman bekerja di firma arkitek, Faizal yang sejak kecil lagi cenderung meminati cerita mitos dan dongeng, sehingga apabila belajar di menara gading, minatnya semakin berkembang dengan seni bina warisan tradisional Melayu

Keghairahan terhadap sejarah 'membuak-buak' semasa anak bongsu kepada empat adik beradik itu belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Seni Bina apabila dia ditugaskan untuk menjalankan projek berkaitan warisan dan sejarah Melaka.

Ketika itu katanya, dia banyak berkecimpung dengan projek berkaitan sejarah Melaka dan pada masa itulah, umpama menjadi batu loncatan kepada untuk mendalami sejarah warisan tradisional orang Melayu.

"Dari kecil lagi saya memang minat sejarah. Semasa kecil juga saya minat dengan cerita dongeng dan apabila saya sambung di UTM tertumpu kepada seni bina falsafah dan sejarah. Bila di menara gading, saya diajar untuk buat kajian dan cari rujukan.

"Saya juga suka tonton cerita berdasarkan fakta sejarah. Minat dengan cerita Mahsuri dan saya kaji mengenai cerita itu.

"Sama dengan apa yang saya praktikkan dalam seni bina Melayu. Ia penting supaya kita tahu asal usul, falsafah, agama, adat istiadat dan pelbagai lagi. Barulah kita boleh dapat gambaran untuk terjemah menerusi ilustrasi 3D," katanya.

3D Istana Melaka

Selain menghasilkan rekaan Istana Melaka secara 3D, banyak juga terbabit dengan projek mereka semula ruang dalaman Istana Negara.

Mohd Faizal menunjukkan lukisan 3D Istana Melaka (Istana Mahligai yang juga dikenali Istana Hawa Nafsu) yang diterbitkan dalam majalah berbahasa Jerman. - Foto/Shahril Badri
Mohd Faizal menunjukkan lukisan 3D Istana Melaka (Istana Mahligai yang juga dikenali Istana Hawa Nafsu) yang diterbitkan dalam majalah berbahasa Jerman. - Foto/Shahril Badri

Untuk menghasilkannya, ia bukan tugas yang mudah kerana memerlukan pembacaan dan rujukan beberapa sumber.

Lebih sukar adalah untuk menterjemahkan bait-bait perkataan lenggok ayat dalam petikan buku sejarah, kemudiannya perlu berimaginasi sebelum mengaplikasikan dalam bentuk lukisan.

"Untuk rekaan Balairong Seri perlu rujuk adat istiadat Kesultanan Melayu. Istiadat-istiadat sekarang ikut Kesultanan Melayu Melaka.

"Jadi boleh bayang susunannya macam mana dalam itu. Misalnya untuk hasilkan Kota Melaka adalah berdasarkan petikan sejarah seperti dari buku Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuan dan banyak lagi.

"Ia memerlukan kerja mendalam dari segi pembacaan dan kefahaman tinggi kerana membabitkan frasa klasik sehingga ke moden," katanya yang berasal dari Pekan, Pahang.

Rekaan Balairong Istana Negara

Mengenai rekaan dalam Istana Negara, Faizal berkata ia hasil kerjasama dengan pereka fesyen terkenal negara, Datuk Rizalman Ibrahim pada 2019, yang mencakupi pelbagai ruang termasuk Balairong Istana Negara.

Balairong Seri Istana Melaka, dilakar menggunakan teknik 3D menjadikan ia lebih hidup, seolah-olak berada di zaman silam. - Foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat
Balairong Seri Istana Melaka, dilakar menggunakan teknik 3D menjadikan ia lebih hidup, seolah-olak berada di zaman silam. - Foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat

Projek itu mengambil masa dua bulan, bermula sesi penerangan sehingga ke bahagian saya iaitu 'completion'.

Projek mereka semula bahagian dalam Istana Negara itu membabitkan ruang bilik yang terbabit dengan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong seperti balairong, bilik seri maharaja, bilik seri negara, bilik seri mahkota dan dewan banquet.

"Ruang lain adalah bilik peraduan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Rekaan hasil kolaborasi saya dengan Datuk Rizalman...itu yang sekarang digunakan di Istana Negara," katanya.

Rumah Melayu tradisional 3D

Seni bina rumah Melayu tradisional turut mencakupi minatnya membuatkan karya berkenaan dihasilkan.

Setakat ini, beliau menghasilkan kira-kira 22 rumah menggunakan teknik 3D.

Faizal berkata, rumah tradisional orang Melayu sangat unik dan sarat dengan fungsi serta ada cerita di sebaliknya.

Antara rumah tradisional yang digambarkan dalam ilustrasi 3D.- Foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat
Antara rumah tradisional yang digambarkan dalam ilustrasi 3D.- Foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat

"Rumah tradisional Melayu jarang orang nak tahu. Ia mencakupi hal selepas dan sebelum penjajahan. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk betulkan cara orang ceritakan mengenai rumah Melayu.

"Bila nak ceritakan mengenai rumah tradisional seperti Rumah Kelantan, Terengganu contohnya...Rumah Melayu bersifat wilayah dan ikut pengaruh serta status, bukannya ikut suka dan negeri.

"Sejarah, pantang larang orang Melayu tidak semudah itu. Kenapa rumah (bahagian) tengah kita panggil rumah ibu? Kenapa kita panggil serambi? Setiap bahagian dan cerita dan fungsinya.

"Bukan bermakna kita tentukan kehendak kita baru bina rumah. Ia cerminan keadaan kita, cuaca setempat berbanding fungsi rumah sekarang yang lebih kepada kehendak komersial," jelasnya.

Elak istana negeri di manah zaman

Dengan minat mendalam terhadap seni reka struktur bangunan tradisional Melayu juga mendorongnya untuk menghasilkan ilustrasi 3D membabitkan Istana Kesultanan Melayu yang pernah tersohor suatu ketika dahulu, tetapi sudah roboh.

Ilustrasi 3D Istana Lembah Perak. - Foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat
Ilustrasi 3D Istana Lembah Perak. - Foto/Ihsan Mohd Faizal Rahmat

Tidak juga ada istana yang usang dan terbiar dimamah zaman sehingga tidak sempat menjadi tatapan generasi sekarang.

Antara istana yang dihasilkan dalam bentuk ilustrasi 3D adalah Istana Negara di

Bukit Chandan, Kuala Kangsar; Istana Mahkota Puri di Klang; Istana Seri Akar di Kota Bharu dan Istana Mahligai di Bukit St Paul, Melaka.

Ilustrasi 3D Istana Mahkota Puri, Selangor. - Foto/Ihsan Mohd Faizal Mamat
Ilustrasi 3D Istana Mahkota Puri, Selangor. - Foto/Ihsan Mohd Faizal Mamat

"Ada istana yang kita tak sempat lihat pada masa ini kerana roboh. Ada yang usang tidak terjaga dan sebagainya. Inisiatif yang saya ambil adalah dengan menghasilkan kembali istana berkenaan dalam bentuk 3D.

"Saya percaya ilustrasi menggunakan kaedah 3D dapat jadi medium pendidikan subjek sejarah dan menjadikan sejarah sesuatu yang menarik dan lebih difahami," katanya.

Buku kompilasi istana Melayu

Walaupun berstatus orang kelainan upaya (OKU) berikutan sebelah kakinya terpaksa dipotong akibat ulser kulit, Faizal cekal dan kekal komited untuk menghasilkan buku kompilasi istana Melayu bertajuk Pusaka Bangsa: Istana Melayu dalam seni visual 3D.

Buku akan menghimpunkan sembilan istana raja Melayu yang masih wujud, ada juga dalam keadaan ditinggalkan tanpa penjagaan dan yang sudah roboh.

Namun, dia sedang giat mencari dana tajaan untuk merealisasikan impiannya untuk menerbitkan buku berkenaan.

Info:

Mengenai lukisan 3 dimensi (3D)

* Kaedah untuk melihat objek dalam bentuk 3 dimensi bagi memudahkan untuk memahami dan memvisualisasikan reka bentuk sesuatu bangunan.

Fungsi - Menunjukkan aktiviti dalam ruang

- Gambar sebenar sesebuah objek

- Menunjukkan suasana ruang

Antara hasil 3D karya Faizal

1. Kota Melaka -seluruh kota, pelabuhan, perkampungan Bendahara, kompleks Istana Mahligai

2. Interior Balairong Seri Istana Mahligai dan singgahsana Sultan

3. Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah

4. Istana Mahkota Puri, Klang,

5. Kota Lama Duyong, Kuala Terengganu

6. Istana Sultan Mansur Syah 1 (Marhum Mansur) Terengganu

7. Istana Cempaka Sari, Pulau Indera Sakti, Perak.

8. Koleksi rumah tradisional Melayu

Berita Harian X