Isnin, 17 Januari 2022 | 10:31am
Malaysia kini ada teknologi lebih maju dan lebih bersedia atasi isu kepupusan harimau Malaya dengan teknologi pengklonan.- Foto hiasan
Malaysia kini ada teknologi lebih maju dan lebih bersedia atasi isu kepupusan harimau Malaya dengan teknologi pengklonan.- Foto hiasan

Sang belang klon

Bayangkan jika harimau Malaya yang menjadi spesies ikonik negara, pupus terus dan satu-satunya cara boleh 'dikenali' generasi muda hanya melalui imejnya yang terdapat pada jata negara.

Adakah nasib spesies haiwan liar itu yang hanya terdapat di Semenanjung akan pupus seperti badak Sumatera yang lenyap terus dari hutan Malaysia ini lebih dua tahun lalu?

Sehingga kini, kurang 200 harimau Malaya masih hidup berbanding hampir 3,000 ekor, pada 1950-an.

Jumlah itu akan terus lenyap jika tiada langkah drastik diambil dalam tempoh kurang sedekad yang berpunca daripada pelbagai kegiatan manusia, peningkatan suhu, pemburuan, pembalakan haram dan pembakaran serta penerokaan hutan.

Jadi apa langkah harus dilakukan?

Menurut Pakar Teriogenologi dan Sitogenetik Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Perubatan Malaysia (UPM), Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar, berkata spesies diancam kepupusan seperti harimau Malaya boleh dikekalkan kelestariannya melalui teknologi pembiakan terbantu (ART).

Kini kurang daripada 200 harimau Malaya masih hidup berbanding hampir 3,000 ekor, pada 1950-an. - Foto hiasan
Kini kurang daripada 200 harimau Malaya masih hidup berbanding hampir 3,000 ekor, pada 1950-an. - Foto hiasan

Beliau yang terbabit dengan kajian kesuburan pelbagai spesies seperti buaya, rusa dan harimau Malaya menjelaskan, ART merujuk kepada diagnosis dan rawatan kesuburan membabitkan parameter luas bagi meningkatkan hasil pembiakan hidupan liar.

ART membolehkan kepelbagaian genetik sesuatu spesies dikembangkan supaya sumber genetik ini dapat digunakan bagi pembiakan haiwan terancam pada masa akan datang.

"Pada masa depan, jika jumlah sesuatu spesies turun mendadak seperti berlaku pada harimau Malaya, teknik perbankan bio yang meluas digabungkan dengan aplikasi ART boleh digunakan bagi mengembalikan kepelbagaian genetiknya.

"Teknologi ini sudah digunakan dengan meluas terutama membabitkan haiwan ternakan cuma aplikasinya terhadap hidupan liar di negara ini bermula sejak 1990-an lagi, namun tidak digunakan secara meluas," katanya.

Wan Nor Fitri Wan Jaafar
Wan Nor Fitri Wan Jaafar

Perbankan bio yang meluas

Justeru, Wan Nor Fitri yang menerima Geran Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2021 bagi menjalankan latihan penyelidikan membabitkan pengklonan dan sel stem dalam pembiakan hidupan liar terutama harimau Malaya disebabkan populasinya yang kritikal.

Katanya, dengan penyimpanan yang baik, sampel dalam bank boleh bertahan selama berdekad, contohnya semen seekor lembu di makmal yang diambil pada tahun 1975, tetapi masih dalam keadaan sangat baik walaupun selepas 46 tahun ia disimpan.

"Sampel itu diperiksa semula tahun lalu dan ia dalam keadaan sangat baik seolah-olah baru dikumpulkan pada pagi itu," katanya.

Melalui teknologi pengklonan dan sel stem, spesies sudah pupus boleh 'dikembalikan' semula seperti berlaku di Sepanyol membabitkan kambing liar selepas sel daripada haiwan yang sudah pupus, diklonkan.

Meskipun anak kambing itu mati tidak lama kemudian, tetapi ia menunjukkan tidak mustahil untuk proses ini dilakukan.

"Dengan teknologi dan perancangan sistematik dan rapi, tidak mustahil spesies yang sudah pupus boleh dikembalikan.

"Tetapi perlu diingat, jika haiwan itu pupus, usaha untuk mengembalikannya adalah sangat sukar.

"Idea perbankan bio yang meluas ini ialah supaya bahan genetik sama ada semen atau ovum sesuatu spesies terus dalam keadaan baik, malah boleh digunakan generasi saintis muda dalam tempoh beberapa dekad dari sekarang," katanya.

Pembiakan secara semula jadi

Menurut Wan Nor Fitri, ART penting bagi mengatasi pelbagai isu pembiakan secara semula jadi yang sudah dibuktikan berlangsung dengan sangat perlahan disebabkan beberapa cabaran termasuk kualiti semen haiwan jantan serta faktor patologi dihidapi haiwan betina.

Wan Nor Fitri melakukan penyelidikan terhadap haiwan liar termasuk harimau Malaya yang hampir pupus disebabkan pelbagai faktor.- Foto/Ihsan Wan Nor Fitri
Wan Nor Fitri melakukan penyelidikan terhadap haiwan liar termasuk harimau Malaya yang hampir pupus disebabkan pelbagai faktor.- Foto/Ihsan Wan Nor Fitri

Katanya, dalam satu persidangan, ditunjukkan ribuan gambar fotomikrograf sampel semen yang tidak berkualiti dimiliki oleh badak jantan, Tam, iaitu seekor daripada tiga badak Sumatera terakhir di negara ini sebelum spesies itu pupus di Malaysia.

"Itu adalah realiti kualiti sperma Tam dan daripada gambar itu, kita tahu pembiakan semula jadi akan gagal sebahagiannya disebabkan faktor sperma badak jantan.

"Selain itu, spesies betina pula berdepan isu fibroid, tumor dan pelbagai penyakit yang menyukarkannya mengandung melalui pembiakan semula jadi.

"Begitu juga dengan harimau Malaya. Bukan tidak boleh dilakukan secara semula jadi, tetapi kita 'berlumba' dengan masa. Tidak mungkin apa yang berlaku pada badak Sumatera boleh dibiarkan berulang lagi," katanya.

Pembiakan secara terkawal dengan ART

Justeru, ART membolehkan pembiakan secara terkawal dan terancang bagi memastikan genetik sesuatu spesies tidak terganggu disebabkan pembiakan sesama adik-beradik atau dengan ibu dan ayah spesies itu sendiri.

"Ia juga membolehkan sesuatu ia dipadankan dengan pasangan yang bersesuaian dan serasi bagi memudahkan pembiakan," katanya.

Menurut Wan Nor Fitri, meskipun penyelidikannya melalui Geran Anugerah Merdeka mengkhusus kepada harimau Malaya, tetapi kaedah pengklonan dan sel stem itu secara prinsipnya boleh digunakan bagi semua spesies yang diancam kepupusan termasuk tenggiling, tapir dan seladang.

"Meskipun terdapat kaedah pengaplikasian berbeza bergantung kepada spesies tetapi daripada segi protokolnya, kaedah serupa akan digunakan iaitu dengan penyimpalan sampel, persenyawaan, dan kebuntingan," katanya.

Malaysia bersedia atasi kepupusan 'raja rimba'

Malaysia kini mempunyai teknologi lebih maju dan lebih bersedia bagi mengatasi isu kepupusan harimau Malaya.

Wan Nor Fitri Wan Jaafar, berkata situasi harimau Malaya pada masa ini lebih baik berbanding ketika negara terpaksa berdepan kepupusan badak Sumatera selepas badak terakhir, Iman, mati berikutan kemerosotan kesihatan disebabkan ketumbuhan dalam rahim semakin membesar.

"Dari segi kemajuan, teknologi berubah dengan pantas dan kita lebih bersedia disebabkan pengalaman lepas dengan badak Sumatera.

"Pada saya, Malaysia berada 20 tahun di hadapan dengan teknologi yang dimiliki kini," katanya.

Dengan populasi 200 ekor harimau Malaya kini, peluangnya adalah lebih tinggi untuk ART lebih menunjukkan kejayaan.

"Kini waktu sangat serius memandangkan hanya tinggal tiga ekor saja lagi badak Sumatera di Sabah pada ketika itu.

Spesies diancam kepupusan seperti harimau Malaya boleh dikekalkan kelestariannya melalui teknologi pembiakan terbantu (ART). - Foto/Ihsan Wan Nor Fitri
Spesies diancam kepupusan seperti harimau Malaya boleh dikekalkan kelestariannya melalui teknologi pembiakan terbantu (ART). - Foto/Ihsan Wan Nor Fitri

"Dengan sejumlah harimau Malaya itu, pengkaji mempunyai lebih banyak sampel untuk bekerja, belajar dan bereksperimen," katanya.

Harap dapat lakukan perubahan

Mengenai Geran Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2021 yang diperoleh, Wan Nor Fitri menyifatkan dirinya sangat bertuah kerana berpeluang mendapat akses bagi melakukan penyelidikan dan bekerja dengan spesies terancam itu.

"Tidak ramai orang mendapat akses sebegini. Saya amat berharap dapat membawa perubahan, terutama dalam penyelidikan yang dapat meningkatkan pembiakan spesis harimau Malaya yang kini menjadi haiwan terancam tahap kritikal di negara ini," katanya.

Berita Harian X