Rabu, 22 Disember 2021 | 9:55am
Anak benih pisang Cavendish ditanam dengan kaedah kultur tisu di ladang Davi di Kota Belud.- Foto/Ihsan David Benjamen Lintua
Anak benih pisang Cavendish ditanam dengan kaedah kultur tisu di ladang Davi di Kota Belud.- Foto/Ihsan David Benjamen Lintua
David menunjukkan antara spesies pisang yang dihasilkan menggunakan kaedah kultur tisu di makmalnya. - Foto/David Benjamen Lintua
David menunjukkan antara spesies pisang yang dihasilkan menggunakan kaedah kultur tisu di makmalnya. - Foto/David Benjamen Lintua
Kakitangan sedang melakukan kaedah tisu kultur di makmal bagi menghasilkan klon benih pisang. - Foto/David Benjamen Lintua
Kakitangan sedang melakukan kaedah tisu kultur di makmal bagi menghasilkan klon benih pisang. - Foto/David Benjamen Lintua

Hasil tuaian tanaman melebihi enam kali ganda

SUKAR mendapatkan bekalan benih untuk tanaman pisang yang diusahakan membuatkan petani ini mendalami teknik kultur tisu bagi menghasilkan tuaian yang lebih banyak, mudah dan cepat.

Bagi petani dari di Kota Belud, Sabah, David Benjamen Lintua yang pada mulanya mengusahakan tanaman pisang seluas 0.81 hektar pada 2016, mendapati amat sukar mendapatkan benihnya.

Katanya, hanya dengan kaedah kultur tisu sahaja dapat menyelesaikan masalah itu, selain dapat meningkatkan pengeluaran hasil berlipat kali ganda.

Kemudian beliau mencari pelbagai maklumat bagaimana mengusahakan sendiri benih pisang.

Beliau berjumpa dengan sebuah organisasi di Sabah yang mempunyai makmal menghasilkan benih tanaman menggunakan kultur tisu dan sejak itu mula mempelajari teknik itu.

"Saya dapati teknik kultur tisu ini mampu menghasilkan benih dengan lebih cepat dan boleh dituai serentak.

"Buktinya jelas apabila pisang ditanam mampu berbuah lebih awal dua atau tiga bulan berbanding benih biasa.

"Saya juga mula memasarkan benih tanaman itu pada penghujung 2019.

"Menariknya teknologi baharu itu menghasilkan tumbuhan berkualiti dan bebas penyakit," katanya.

Kultur tisu adalah teknik pembiakan mikro babitkan proses memisahkan sekelompok tisu kecil (eksplan) tumbuhan atau haiwan.

Kaedah pembiakan mikro (micropropogation) ini membolehkan pengeluaran anak benih tanaman dilakukan secara komersil sehingga berupaya mencatat tuaian melebihi enam kali ganda berbanding teknik biasa sekali gus mampu memberi pulangan bernilai jutaan ringgit.

Hasilkan pelbagai jenis pisang

Mengulas lanjut, David berkata, kini beliau mampu menghasilkan benih pisang pelbagai jenis iaitu berangan, cavendish, nangka dan saba, selain benih halia tambunan serta kunyit hitam.

"Saya berhasrat menghasilkan benih limau kasturi pula pada masa akan datang, selain membesarkan lagi makmal supaya dapat menghasilkan lebih banyak tanaman lain menggunakan teknik kultur tisu," katanya.

Beliau yang juga pengarah KB Agro Tech Sdn menjual benih pisang pada harga RM5 bagi satu polibag yang ketika ini hanya dijual di Sabah.

"Ada permintaan untuk saya mengeksport benih pisang ke Brunei, tetapi menolaknya kerana terdapat pelbagai prosedur," katanya.

Kaji hasilkan benih bulu betung

Tahun lalu, beliau menerima dana penyelidikan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjumlah RM18,000 untuk menghasilkan benih buluh betung dan kini masih di peringkat kajian.

Katanya, lebih membanggakan beliau juga baru dilantik sebagai panel penasihat Sekolah Vokasional Pertanian Sabah.

"Saya harap lantikan ini membolehkan saya mengetengahkan lagi teknologi ini di peringkat sekolah pula kerana di Sabah teknik ini masih kurang dikenali.

"Malah, saya berharap selepas teknik ini akan terus berkembang dengan baik dan mendapat permintaan," katanya.

Dengan kepakarannya beliau kongsi dengan memberi ceramah dan demonstrasi mengenai teknik itu kepada yang berminat.

Sebelum ini, beliau memohon dana daripada Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) berjumlah RM100,000 untuk menyediakan makmal bagi menghasilkan pelbagai benih tanaman menggunakan teknik kultur tisu yang dimulakan pada 2018.

"Saya juga mengikuti kursus seminggu di Bogor, Indonesia, selain mengikuti bengkel di UMS dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi tujuan sama," katanya.

Berita Harian X