Ahad, 28 November 2021 | 6:54pm

Pan Borneo majukan Telok Melano

PENANTIAN penduduk Kampung Telok Melano untuk memandu kereta atau menunggang motosikal keluar dari kampung mereka berakhir apabila projek Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Sematan-Telok Melano siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019.

Sebelum itu, penduduk di perkampungan terakhir di sebelah barat daya Borneo, yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia itu terpaksa menempuh ombak Laut China Selatan jika mahu keluar khususnya ke pekan terdekat, Sematan.

Bagi penduduk yang kebanyakannya bergantung pada laut sebagai sumber rezeki, pembinaan jalan raya sepanjang 33 kilometer itu satu rahmat besar yang membawa perubahan terhadap kehidupan mereka.

Ketua Kampung, Kampung Telok Melano, Amezan Abdul Hassan, berkata sejak jalan raya berkenaan dirasmikan pada 26 Januari 2019, kehidupan penduduk kampungnya dan satu lagi penempatan berdekatan iaitu Kampung Telok Serabang, mula berubah.

Rezeki penduduk semakin bertambah dengan pelbagai peluang ekonomi mampu diraih dengan ada jalan raya berkenaan.

"Memang berubah sepenuhnya. Sebelum ini, penduduk bergantung kepada hasil laut sebagai punca rezeki selain mengusahakan kebun sara diri.

"Namun, dalam tempoh hampir tiga tahun sejak awal 2019, penduduk sudah mula beralih kepada sumber ekonomi lain yang terbuka selepas adanya jalan raya ini," katanya.

Amezan berkata, sejak adanya lebuh raya itu, Telok Melano menggamit kehadiran pengunjung bukan sahaja kalangan penduduk tempatan Sarawak, malah ada yang datang dari Semenanjung, selain pelancong luar negara, termasuk dari negara jian, Brunei.

"Pengunjung tertarik untuk datang ke Telok Melano kerana kedudukan kampung ini yang unik iaitu di penghujung sebelah barat Borneo selain pantainya yang indah.

"Apabila menjadi tumpuan pengunjung, penduduk kini mampu meraih rezeki dengan membuka perniagaan seperti kedai makan selain mengusahakan gerai makanan ringan di tepi pantai," katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, ramai penduduk Kampung Telok Melano kini sudah menjadi usahawan inap desa dengan jumlah penginapan itu kini sudah mencecah kira-kira 60 unit.

"Malah, ramai juga penduduk menyediakan ATV (kenderaan pelbagai bentuk muka bumi) untuk pengunjung yang ingin menunggangnya sepanjang pantai Telok Melano.

"Kaki pancing pula kini menaiki kenderaan terus Telok Melano untuk mendapatkan perkhidmatan bot yang disediakan penduduk kampung dan ia sekali gus membuka peluang rezeki kepada penduduk yang sebelum ini hanya bergantung hasil tangkapan ikan," katanya.

Katanya lagi, penduduk bersyukur dengan perubahan yang berlaku kerana sebelum ini ada yang tidak pernah terfikir adanya jalan raya untuk menghubungkan kampung itu dengan dunia luar.

Bagi peniaga kecil, Nurshakirah Naziera Razinaidin, 20, kewujudan jalan raya itu tepat pada masanya ketika beliau baru sahaja tamat persekolahan.

"Apabila jalan raya siap dibina pada 2019, saya yang baru tamat sekolah ketika itu, terus membuka perniagaan kecil-kecilan di tepi pantai.

"Syukur Alhamdulillah, pintu rezeki kami terbuka luas sejak adanya jalan raya ini," katanya.

Berita Harian X