Ahad, 28 November 2021 | 6:53pm

Projek lebuh raya pertama di Sarawak

PROJEK jajaran Telok Melano ke Sematan dengan kos sebanyak RM400.7 juta itu bermula pada 15 September 2015 dan menjadi pakej kerja pertama yang disiapkan sepenuhnya mengikut jadual iaitu pada 6 Januari 2019.

Melalui kawasan berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi ekopelancongan dengan lokasinya yang strategik, jajaran Sematan-Telok Melano itu berdekatan dengan Taman Negara Tanjung Datu dan melalui Santuari Hidupan Liar Samunsan.

Dengan titik 0 kilometer terletak di Kampung Telok Melano, projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, yang dibina dengan 11 pakej kerja membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM16.117 bilion, menganjur sepanjang 786 kilometer merentasi negeri ini hingga ke Miri.

Projek lebuh raya pertama di Sarawak itu adalah antara inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menambah baik jaringan jalan raya sedia ada di Sarawak.

Ia menunjukkan komitmen dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam menambah baik jaringan infrastruktur jalan raya.

Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada September 2022 dengan kemajuan terkini sehingga Oktober lalu bagi 10 lagi pakej kerja dari Sematan ke Miri, yang kini mencapai 73 peratus siap.

Pada 20 November lalu, Pakej Kerja Kontrak 07 (Seksyen Julau) dilancarkan dan ia adalah sebahagian daripada tiga seksyen dari persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 75 kilometer.

Skop pembinaan Seksyen Julau itu membabitkan kerja menaik taraf jalan Persekutuan sedia ada, dari dua lorong ke empat lorong dari persimpangan Bintangor ke persimpangan Julau sepanjang 28.5 kilometer.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan seramai 10,300 anak Sarawak terbabit dengan projek itu secara langsung dan tidak langsung.

Lebih 83 peratus yang terbabit itu adalah kalangan anak jati Sarawak yang menjadi kontraktor, perunding, pembekal dan vendor.

Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano-Sematan. - Foto JKR Sarawak
Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano-Sematan. - Foto JKR Sarawak

Berita Harian X