Isnin, 20 September 2021 | 11:36am
Pertandingan ikan hiasan semarakkan industri perikanan negara. - Foto hiasan
Pertandingan ikan hiasan semarakkan industri perikanan negara. - Foto hiasan

Platform tarik minat penggemar baru

PERTANDINGAN ikan hiasan adalah aktiviti sihat dan digalakkan dalam usaha mengembangkan lagi industri ikan hiasan.

Melalui pertandingan, bukan sahaja dapat mempamerkan kecantikan ikan hiasan, malah ia sebagai platform untuk menarik minat penggemar baru.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly, berkata ikan hiasan mempunyai nilai yang tinggi untuk pasaran domestik dan eksport.

Ahmad Tarmidzi Raml
Ahmad Tarmidzi Raml

Penggemarnya dapat memanfaatkan bidang ternakan ikan hiasan untuk menjana pendapatan.

Melalui pertandingan, pasaran ikan hiasan dapat diperluaskan untuk ternakan dan industri sokongan kepada ikan hiasan seperti peralatan ternakan dan hiasan akuarium.

Ikan hiasan mempunyai nilai yang tinggi untuk pasaran domestik dan eksport.- Foto hiasan
Ikan hiasan mempunyai nilai yang tinggi untuk pasaran domestik dan eksport.- Foto hiasan

"Ini perkembangan baik dengan adanya pertandingan ikan hiasan dari jenis betta, guppy, emas dan lain-lain dianjurkan persatuan ikan hiasan di pelbagai peringkat.

"Jabatan Perikanan juga terbabit secara langsung dengan persatuan ikan hiasan terutama melalui Pejabat Perikanan Negeri di dalam menganjurkan pertandingan.

"Sebelum penularan COVID-19, hampir setiap minggu terdapat pertandingan ikan betta sama ada secara kecil-kecilan dianjurkan persatuan di seluruh negara.

"Ia mampu menarik minat lebih 1,500 penyertaan daripada penggemar ikan hiasan, sekali gus dapat memperagakan kecantikan ikan hiasan bagi tujuan keseronokan mahupun prestij, selain mengembangkan pasaran ternakan mereka," katanya .

Pertandingan secara maya

Walaupun penganjuran pertandingan ketika PKP agak terbatas dengan sekatan terhadap aktiviti yang membabitkan perhimpunan beramai-ramai, namun ia diadakan secara maya.

Jika sebelum COVID-19, hampir setiap minggu pertandingan diadakan, namun ketika PKP, dianjurkan dua bulan sekali.

Dari segi penyertaan dilihat berkurangan berikutan aspek penghakiman agak sukar dibuat dengan sempurna tanpa dapat melihat fizikal ikan hiasan dipertandingkan.

Jana pendapatan

Beliau berkata, penternakan ikan hiasan terutamanya ikan laga mampu menjana pendapatan.

gn4id:29905215

Justeru, ternakan ikan laga dan ikan hiasan lain membabitkan golongan belia dan suri rumah dapat membantu dan meringankan masalah ekonomi yang dihadapi.

Pada 2019, konsep ternakan Aqua Bijou diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan.

Konsep ini bukan sepenuhnya konsep baru tetapi diperkemas dan dimantapkan dalam usaha mengetengahkan ikan hiasan sebagai punca pendapatan.

Aqua Bijou berkonsepkan mudah ternak, modal rendah, tempoh singkat, skala kecil, nilai tinggi dan pulangan cepat melalui ternakan ikan hiasan seperti betta, guppy, udang hiasan dan tumbuhan akuatik.

Ramai pengusaha berjaya melalui konsep ternakan ini sejak ia diperkenalkan.

Beliau berkata, kira-kira 75 hingga 80 peratus dari jumlah pengeluaran ikan hiasan domestik adalah antara RM250 juta hingga RM300 juta.

Kawasan pengeluaran utama ikan hiasan negara bertumpu di Johor dan Perak dengan masing-masing menyumbangkan 77 peratus dan dan 22 peratus dari jumlah pengeluaran ikan hiasan negara.

Nilai eksport ikan hiasan mencatat peningkatan iaitu RM58.5 juta pada 2016 kepada RM72.7 juta pada 2018.

Berita Harian X