Isnin, 13 September 2021 | 12:00pm
Kaki terluka, melecet disebabkan kulit kaki lembab gara-gara redah hutan.- Foto/Ihsan WWF
Kaki terluka, melecet disebabkan kulit kaki lembab gara-gara redah hutan.- Foto/Ihsan WWF

Dikejar gajah ketika aktiviti konservasi

Pernah beberapa kali dikejar gajah, kaki terluka dan melecet disebabkan kulit kaki lembab gara-gara terlalu kerap menyeberangi sungai dan meredah hutan.

Selain perlu memikul beg sarat dengan makanan dan peralatan untuk sampai ke kawasan perkhemahan di hutan di Sandakan, Sabah, antara pengalaman biasa dilalui bagi pencinta haiwan liar.

Alah bisa tegal biasa. Itulah dilalui Pembantu Program Kanan (Konservasi Gajah) Tabung Hidupan Liar (WWF), dilupakan Engelbert Dausip, 46, sudah berkecimpung sejak lebih 20 tahun lalu melunaskan tugasan konservasi gajah.

"Bermacam-macam pengalaman dan cabaran dilalui. Inilah mengajar saya mengenai dunia gajah dan membuatkan saya mengetahui perilaku gajah serta langkah berwaspada," katanya.

Berjalan sepanjang malam

Antara cabaran di lapangan masih kekal dalam ingatan adalah beliau dan rakan berjalan di hutan sepanjang malam.

Pelbagai aktiviti bantu menyelamatkan spesies gajah.- Foto/Ihsan WWF
Pelbagai aktiviti bantu menyelamatkan spesies gajah.- Foto/Ihsan WWF

Namun, kerana minat dengan kerjaya itu, cabaran itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya meneruskan tugasan berkenaan.

"Minat mendalam dalam aktiviti konservasi gajah ini mendorong saya untuk kekal dalam bidang ini.

"Banyak lagi perkara baru masih saya pelajari sehingga hari ini.

"Saya sedar, segala aktiviti yang kami dilakukan untuk membantu memelihara dan menyelamatkan spesies gajah ini," katanya.

Gajah mati ditembak

Katanya, gajah Borneo berhadapan dengan pelbagai ancaman berterusan disebabkan beberapa faktor.

"Ancaman lazim terhadap spesies ini disebabkan kegiatan pemburuan haram bertujuan mendapatkan gadingnya.

"Sesetengah gajah mati akibat tembakan dan keracunan sehingga menjadikan habitat haiwan itu terancam.

"Kami menjangkakan populasinya akan berkurangan dalam jangka masa panjang," katanya.

Populasi gajah semakin kurang

Berdasarkan pakar gajah di Sabah dianggarkan jumlah gajah di negeri itu kurang daripada 1,500 ekor.

Namun, katanya kajian berkaitan populasi gajah di hutan tropika sememangnya mencabar.

"Buat masa ini, maklumat mengenai populasi gajah di Sabah masih kurang dan dapat melihat 'trend' atau pola sama ada populasinya meningkat, menurun atau stabil," katanya.

Gajah Borneo hadapi pelbagai ancaman berterusan disebabkan beberapa faktor.- Foto/Ihsan WWF
Gajah Borneo hadapi pelbagai ancaman berterusan disebabkan beberapa faktor.- Foto/Ihsan WWF

Bagaimanapun, katanya tugasan menjaga gajah tetap diteruskan seperti biasa dengan pelbagai strategi.

Pasang kolar satelit gajah

Dalam melaksanakan konservasi pihaknya menggunakan kaedah dan strategi, antaranya memasang kolar satelit gajah.

Menerusinya dapat mengkaji pergerakan dan tingkah laku gajah dan menggunakan maklumat ini untuk kerja advokasi.

Mereka juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan, industri perladangan dan orang awam untuk mencari penyelesaian jangka panjang menggunakan pendekatan sistematik.

"Ini termasuk bekerjasama beberapa pihak untuk melaksanakan pemasangan pagar elektrik

"Dengan kerjasama beberapa pihak ladang kami mewujudkan koridor untuk laluan dan habitat gajah.

"Kami turut mengadakan program kesedaran dengan syarikat perladangan dan komuniti setempat bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah," katanya.

Kerjasama erat pelbagai pihak

Mereka juga mengumpul dan menyalurkan maklumat daripada sumber tertentu dalam memerangi isu pemburuan haram bagi tujuan mendapatkan gading di Sabah.

"Maklumat berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

"Kami bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan agensi penguatkuasaan undang-undang di Kalimantan Utara melalui pasukan petugas Jenayah Hidupan Liar Sempadan untuk membendung penyeludupan gading ke Kalimantan.

"Kami juga memperhebatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk memudahkan perkongsian maklumat serta latihan berkaitan pemerdagangan hidupan liar," katanya.

Cabaran ketika COVID-19

Bertugas ketika pandemik COVID-19, Engelbert menjelaskan ia turut menjejaskan aktiviti sepanjang tempoh itu.

"Seperti sedia maklum kita berhadapan dengan pandemik dalam tempoh yang panjang.

"Ini menyukarkan kami untuk bertugas di lapangan kerana larangan pergerakan merentas daerah. Kebanyakan kawasan tumpuan kerja kami terletak di zon merah.

"Bagaimanapun, situasi ini kembali pulih secara berperingkat dan kini kami membuat aktiviti yang risikonya rendah contohnya mengumpul data mengenai demografi dan pemakanan gajah membabitkan pergaulan dengan orang ramai," katanya.

Melalui perancangan dirangka khusus oleh pihak WWF pihaknya yakin akan membantu memulih populasi dan habitat gajah di Sabah.

Berita Harian X