Isnin, 23 Ogos 2021 | 12:12pm
Haiwan albino dikategorikan sebagai unik.
Haiwan albino dikategorikan sebagai unik.

Eksotik haiwan albino

BERTEMU individu albino berambut, mata dan kulit berwarna putih sudah tidak asing kerana golongan itu antara populasi penduduk yang ada di seluruh dunia.

Selain manusia, ciri-ciri sama juga wujud dalam kalangan haiwan iaitu daripada kumpulan mamalia, reptilia, amfibia, burung mahupun ikan.

Namun jarang kita lihat. Hakikatnya haiwan albino ini seperti ular sawa, singa laut, ikan paus, buaya, badak, kuda, landak, harimau, katak, burung, dan ikan keli juga ada berkulit putih.

Haiwan albino sangat sensitif kepada cahaya matahari. Bagaimanapun, di habitat asal sangat sukar ditemui dan kemungkinan untuk ditemui satu dalam sejuta.

Justeru, haiwan itu boleh dikategorikan sebagai unik dan jika ditemui pemburu di habitat asal pasti akan ditangkap.

Ada individu yang menjadikan haiwan albino sebagai haiwan peliharaan seperti anjing, arnab dan burung, tetapi memerlukan penjagaan lebih rapi beza dengan haiwan lain.

Haiwan albino dikategori sebagai unik, jika ditemui pemburu di habitat asal pasti akan ditangkap.
Haiwan albino dikategori sebagai unik, jika ditemui pemburu di habitat asal pasti akan ditangkap.

Haiwan albino wujud disebabkan mutasi pada gen berfungsi untuk menghasilkan melanim.
Haiwan albino wujud disebabkan mutasi pada gen berfungsi untuk menghasilkan melanim.

Sebagai contoh seekor anjing albino apabila tuannya mahu membawa keluar, matanya perlu ditutup dengan penutup khas bagi mengelak silau atau jika cahaya berlebihan boleh menyebabkan buta.

Pensyarah Kanan Program Genetik, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shairah Abdul Razak, berkata haiwan albino tidak seharusnya terdedah kepada cahaya matahari kerana kulitnya sensitif.

"Namun, untuk makanan pula tiada beza dengan haiwan normal lain," katanya.

Dr Shairah berkata, kelainan pada haiwan albino menjadikan ia eksotik dan tidak dieksploitasi mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri.

Dr Shairah
Dr Shairah

"Ini kerana kewujudan haiwan albino adalah cara semula jadi dan menunjukkan kepelbagaian genetik," katanya.

Dr Shairah berkata, sama ada manusia atau haiwan kewujudannya dipengaruhi oleh faktor genetik atau disebut juga pewarisan.

Dalam aspek pewarisan ini, ada suatu kod arahan terdiri daripada asid deoksiribonukleik (DNA) yang menentukan baka atau ciri-ciri keturunan sekali gus membentuk gen.

"Gen ini menentukan ciri-ciri fizikal, iaitu warna kulit, mata atau yang tidak dapat dilihat dalam badan seperti penghasilan protein dan lain-lain.

"Salinan gen bagi setiap ogranisma ada dua, iaitu satu salinan diwarisi daripada induk jantan dan satu lagi induk betina.

"Sebagai contoh jika gen dalam induk membawa ciri warna kulit gelap dan menghasilkan banyak melanin, anak mewarisi salinan gen itu akan berkulit gelap.

"Gen ini juga wujud dalam manusia, haiwan, tumbuhan dan organisma hidup seperti bakteria juga," katanya.

Gen Tyrosinase babitkan haiwan

Albino berlaku disebabkan mutasi atau sebarang perubahan berlaku pada gen yang berfungsi untuk hasilkan melanin.

Proses penghasilan melanin itu dikawal oleh gen dinamakan sebagai gen protein Tyrosinase.

"Mutasi pula boleh berlaku secara spontan sebagai contoh jika berlaku kesilapan ketika DNA disalin dan diperbanyakkan dalam sel badan atau disebabkan oleh pelbagai punca lain termasuk persekitaran seperti bahan kimia, asap rokok, radiasi, sinaran ultraviolet (UV) dan sebagainya.

 Haiwan albino sangat sensitif kepada cahaya matahari.
Haiwan albino sangat sensitif kepada cahaya matahari.

"Dalam situasi normal termasuk manusia, gen protein Tyrosinase normal akan menjalankan fungsinya, iaitu bertindak sebagai pemangkin atau enzim dalam proses penghasilan melanin," katanya.

Gen Tyrosinase wujud secara meluas dalam banyak organisma haiwan bertulang belakang termasuk manusia.

"Dalam kes albino, ia mengalami mutasi iaitu berlaku perubahan pada kod DNA, mengakibatkan fungsi gen tadi rosak, hilang, terganggu dan sebagainya.

"Jika mutasi ini berlaku pada satu salinan gen sebagai contoh dari ibu atau dari ayah sahaja, kesan mungkin tidak ketara.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku hingga menyebabkan albino ialah dia menerima kedua-dua salinan gen Tyrosinase yang rosak akibat mutasi berasal daripada induk jantan dan betina, dan kini sel tidak lagi boleh menghasilkan melanin.

"Akhirnya, kesan ketiadaan melanin tadi dimanifestasikan pada fizikal seperti ciri keputihan pada kulit, bulu, mata, dan sisik haiwan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, ada haiwan yang berwarna putih tetapi bukan albino, namun untuk membezakannya adalah pada bahagian mata yang berwarna merah.

Dr Shairah berkata, ada juga haiwan separa albino seperti ular sawa Burma, berwarna putih dan kuning.

"Jika mata ular sawa itu berwarna hitam, ia separa albino tetapi jika matanya berwarna merah, ia albino penuh," katanya.

Haiwan albino di habitat asal sangat sukar ditemui dan kemungkinan untuk ditemui satu dalam sejuta.
Haiwan albino di habitat asal sangat sukar ditemui dan kemungkinan untuk ditemui satu dalam sejuta.

Dr Shairah berkata, jangka hayat haiwan albino, bagi yang dijaga baik seperti di zoo atau dipelihara sebagai haiwan peliharaan mereka boleh menjadi sama dengan haiwan biasa.

Bagaimanapun katanya, bagi haiwan liar habitat asal, jangka hayat mungkin tidak panjang seperti haiwan yang dipelihara kerana beberapa faktor.

Haiwan albino bermata merah mempunyai tahap penglihatan terhad, sekali gus menyebabkan ia senang menjadi mangsa haiwan lain.

"Potensi untuk haiwan itu hidup di habitat asal juga sangat tipis kerana warna putih menyukarkan mereka membuat penyamaran.

"Sebagai contoh alligator atau buaya albino disebabkan tubuhnya putih, ia sukar menyamar dan senang menjadi mangsa haiwan lain terutama yang bersaiz kecil," katanya.

Selain itu, haiwan albino juga sama seperti manusia mempunyai risiko tinggi menghidap kanser kulit.

Keunikan albino cockatiel pikat peminat burung

Spesies albino cockatiel yang jarang ditemui kerana bulu berwarna putih menjadikan ia begitu unik dan istimewa sekali gus memancing peminat burung untuk memeliharanya.

Bagi pemilik burung albino cockatiel, Mohd Sharizan Mohd Nasir, 37, berkata beliau mula membela spesies burung kakak tua yang paling kecil berasal dari Australia itu sejak setahun lalu.

Mohd Sharizan membela cockatiel albino, iaitu spesies burung kakak tua terkecil kerana keunikannnya.
Mohd Sharizan membela cockatiel albino, iaitu spesies burung kakak tua terkecil kerana keunikannnya.

Sebelum ini, beliau memang minat membela bermacam-macam jenis haiwan termasuk pelbagai spesies burung.

"Pada awalnya, saya memilih membela burung cockatiel kerana keunikannya boleh menyebut beberapa perkataan, menjerit memanggil tuannya, selain suka membuat bunyi seakan-akan menyanyi.

"Tetapi cockatiel itu terlepas daripada sangkar. Kemudian membeli cockatiel albino daripada kawan saya kerana warnanya putih.

"Spesies burung itu perlu penjagaan lebih rapi memastikan bulunya sentiasa bersih dan tidak terlalu terdedah kepada cahaya matahari. Burung ini sensitif kepada cahaya matahari," katanya.

Jangka hayat sehingga 32 tahun

Jelasnya, cockatiel sebenarnya mudah dipelihara. Bagi mengelak burung tidak terlalu tertekan berada lama dalam sangkar, beliau akan pastikan tempat tinggalnya sentiasa bersih, diberi makanan sihat termasuk sayur dan buah-buahan serta menyediakan mainan sesuai.

Mohd Sharizan juga akan membawa ke klinik veterinar avian sekurang-kurang setahun sekali untuk memeriksa tahap kesihatannya.

"Penjagaan sempurna bukan sahaja boleh membuatkan haiwan itu sentiasa sihat, malah jangka hayat cockatiel lebih panjang.

"Saya juga tidak ada masalah menjaga pemakanan albino cockatiel kerana tidak remeh," katanya.

Difahamkan, jangka hayat cockatiel boleh melebihi 15 tahun dan pernah direkodkan jangka hayat paling panjang sehingga 32 tahun.

Mohd Sharizan berkata, albino cockatiel yang dipeliharanya adalah betina dan ia tidak boleh menyebut perkataan namun boleh menjerit memanggilnya selain sekali sekala membuat bunyi seakan menyanyi.

Beliau kini memelihara tiga ekor cockatiel sekali gus boleh jelas melihat perbandingan antara cockatiel betina serta jantan yang boleh menyebut perkataan, menyanyi dan membuat bunyi dengan nyaring.

Cockatiel ini haiwan yang manja dan sentiasa meminta untuk dibelai serta menjerit memanggil tuannya untuk mendapatkan perhatian," katanya.

Berita Harian X